Thursday, May 26, 2016

Buangkan saja kenangan lalu...

Assalamualaikum pembaca yang disayangi semoga kehidupan anda dipermudahkan.

Maafkan aku kerana sudah lebih enam bulan tidak mengupdate blog ini. Kalaulah rumah dah bersawang sana-sini. Tak tahulah penyakit apa yang melanda sehingga rasa malas yang amat sangat. Semoga aku diberi kekuatan untuk menulis dan berkreatif. Terima kasih juga kepada kawan sekolahku yang sudi membaca blog yang hampir aku lupakan! Sebanyak sedikit ia memberi semangat untuk aku menulis semula.

Alhamdulillah Allah masih memberi kesihatan yang baik, tapi tidaklah sebaik 20 tahun sudah. Sakit lutut dan urat sudah menjadi penyakit lumrah. Berjalan lebih sikit, sakit mulalah menyerang urat-urat di celah pelipat kaki dan membuat tidak rasa selesa! Ok lupakan sahaja, anggaplah itu satu nikmat dari Allah tanda Dia mengasihi kita agar tidak sombong hidup di dunia!

Sekali lagi aku memanjangkan kesyukuran atas anugerah Allah kerana masih mampu bersujud kepada-Nya biarpun ibadahku tidaklah seberapa dan ilmu hanyalah sejengkal! Namun biarlah  harapan aku menjadi hamba yang ikhlas setiap kali melakukan ibadah dan kebaikan! Semoga Allah memberi kelapangan  untuk aku bertaubat dan beribadah.

Cukuplah apa yang aku miliki sekarang! Aku tidak punya impian yang tinggi untuk memiliki ini atau itu! Allah telah mentakdirkan inilah kehidupan aku. Cuma aku menunggu bila nafas akhirku berhenti! Semoga aku bersedia ke arah itu!

Kini aku benar-benar rasa bahagia dan bebas! Aku banyak masa untuk mengisi kekosongan yang bermakna. Namun adakalanya aku tewas pada nafsu, sepatutnya di kala ini aku melipat gandakan amalan. Semoga Allah memberi ruang untukku dan tidak rugi dalam kehidupan! Aku tidak mahu memandang kebelakang! Segala kesedihan ku simpan dalam lipatan sejarah.

Bagiku kehidupan dunia  sudah mencukupi rencahnya, masin, masam dan manis! Jangan lagi untuk menambah perasa semata-mata kepuasan duniawi! Lambat laun perasa itu akan menyebabkan sakit kepala dan rambut akan gugur. Mungkin kesan sampingan pula akan menjengah!  Aku tak mahu rencah masakanku selama ini enak menjadi pahit kelak!

Setiap ujian yang menimpa banyak mengajar aku tentang kehidupan. Jangan menjadikan kesilapan itu satu kelemahan tapi kesilapan itu membaiki diri! Setiap kesilapan itu mendekatkan diri kita kepada Pencipta! Semoga kita terus mengingati dan rapat kepada-Nya. Belajar dan lahirkan perasaan kasih kepada-Nya bukan dibayangi kenangan silam yang syahdu atau sedih.

Lupakanlah! Dia yang kekal, Dia yang Mendengar permohonan kita. Rintihlah, mohonlah pada-Nya semoga kita menjadi hamba pilihan-Nya. Dia tidak peduli kebahagiaan kita yang hilang. Kebahagiaan itu sebenarnya di tangan-Nya sekarang. Ayuh buangkan kenangan silam itu!





Bahagianya melihat burung camar ini terbang bebas dan meraih rezeki seadanya.