Tuesday, October 7, 2014

Mewangilah mu sepanjang hayatku!

Assalammualaikum kepada pembaca dikasihi semoga dirahmati dan dipermudahkan urusan!
Mata ini masih mengantuk lagi. Tersedar pukul 4 pagi bila rasa perut memulas-mulas. Tiga hari di kampung bercuti Aidil Adha, mashaAllah aku tak berhenti-henti makan. Sang perut dah menjerit surrender tapi anak tekak terus menelan. Sihannya sang perut kerana tuan punya badan tidak berhati perut langsung! Baiklah sang perut tuan punya badan ni bagi berehat dulu agar dikau tak merintih keletihan!

Pagi-pagi berjalan di laman kampung memang melekakan sambil menghirup udara segar! Bunyi unggas dan siamang bersahut-sahutan. Sebenarnya di kampungku akhir-akhir ini bunyi siamang dan ungka agak berkurangan. Kebetulan hujan malam yang agak lama haiwan ini merasa seronok dan berbunyilah mereka.

Pembaca kenal tak siamang? Siamang berwarna hitam dan tidak berekor. Dia sukar dilihat tidak seperti kera yang selalu kita nampak bersidai di tepi belukar atau taman!

Sambil menikmati bunyi unggas, aku menghidu aroma lang lang liar (kenanga) berguguran  di atas jalan di depan rumah! Baunya wangi. Di tepi rumah pula pokok kesidang tumbuh merimbun! Kali ini bunganya agak berkurangan seperti biasa. Ketika waktu berkembang baunya pasti menyapa kepada sesiapa yang bertandang. Baunya wangi lembut, manis dan seakan bau daun pandan pasti orang tertanya-tanya masak nasi lemak ke?

Pokok kesidang ni aku beli di Melaka. Pokoknya masih kecil hanya beberapa helai daun sahaja. Balik di rumah aku letakkan di tepi tingkap berhampiran bilik. Bila berbunga, bilikku pun turut berbau harum  sekali. Bunga kesidang ini turut aku jadikan perfume semula jadi. Pergi ofis aku selitkan di celah tudung! Tak payah pakai minyak wangi!

Teringat aku di bangku sekolah rendah, cikgu Rogayah suka menyelitkan bunga kesidang di sanggulnya. Setiap kali cikgu Rogayah berlalu di depan ku bau bunga kesidang menyusuk hidungku. Ya, baunya terlalu dekat di hati.

Akhirnya pokok kesidang kesayanganku terpaksa dialih. Daunnya sudah mula berwarna kekuningan kerana tiada ruang akar untuk membesar. Ia seakan terbantut. Aku bawa balik ke kampung. Akhirnya kesidang yang  selalu dibelai ini membesar dengan subur dan menghijau! Kadang-kadang risau juga kalau ada sang ular melingkar dicelah-celah daun!

Hatiku rasa nyaman setiap kali melihat pepohon kesidang berbunga. Yang pasti bunga kesidang akan ku sunting, dicium dan diletak di dalam kereta. Wahai kesidang semoga kau terus subur, berbunga dan menjadi terapi dikala aku stres!


Bau bunga kesidang yang harum dan manis ini menarik perhatian semut-semut kecil. Kerana suka mencium tak sedar semut masuk ke dalam lubang hidung.









2 comments:

sud@is said...

Mewngi satu kawasan rumah, dan rumah jiran pun boleh terhidu kewangiannya kan....

NOOR said...

Betul, klu boleh saya nak tanam bunga2 harum yg menjadi haruman klasik zaman dulu2