Monday, January 19, 2015

Kasih-Mu jua yang kekalnya!

Assalamualaikum pembaca disayangi supaya sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt.

Sudah lebih dua minggu melangkah tahun 2015! Aku baru terhegeh-hegeh nak posting story baru. Entahlah, tiba-tiba mood makin hilang! Tak tahulah story apa nak tulih erkk! Kalau cerita pasal azam, rasanya tak payahlah buang karan aje. Dah tua-tua ni apa yang dimiliki sikit atau banyak aku bersyukur banyak-banyak! Allah masih mengasihiku memberi nikmat pinjaman yang tiada ternilai iaitu badan dan akal yang sihat! Lagi satu Allah menganugerah ruang masa yang cukup untukku! 

Jujurnya hidupku simple dan mudah. Bila dihalusi aku dikategori manusia yang beruntung tapi bukan untung wang harta! Ibuku meninggal ketika aku masih kanak-kanak. Aku tidak sempat berbuat dosa pada ibuku melainkan kenakalan dan kedegilan di zaman kanak-kanak! Ayahku pula pergi sebaik selepas menunai solat subuh di pagi Jumaat. Bayangkan kalau ayahku sakit terlantar terpaksa aku menjaga, manalah tahu aku merungut-rungut dah tentu dapat dosa!

Namun aku diuji menjaga abang sulongku sakit kuat selama tiga bulan. Keadaan sakitnya amat luarbiasa. Kakak iparku ketika itu sarat mengandung dan anak-anak masih kecil. Akulah banyak mengambil peranan kerana memerlukan tenaga fizikal untuk menggerakkan abangku yang tiada kudrat! Sepanjang aku menjaganya aku tidak tidur, aku hanya terlena sekejap diwaktu pagi.

Di hari perkahwinan Acu dan Makcu. Cantikkan Makcu!
Setiap jam abang memanggilku untuk membangunkan dia kerana badannya amat berbisa bila terbaring. Aku pernah menangis kerana terlalu letih namun aku tanya diriku sendiri, aku yang sihat boleh menangis inikan abangku yang menanggung kesakitan yang amat sangat setiap detik dan masa! Kejamnya kalau aku pentingkan diri sendiri! Setelah menanggung sekian lama kesakitan abangku pergi menghadap Illahi! Alhamdulillah aku terima anugerah dari-Mu dengan kesyukuran.

Pemergian abangku banyak perkara baru yang aku pelajari! Pengalaman demi pengalaman menjadi  aku semakin matang dan sabar! Tak tahulah tanpa anugerah dari-Mu  mungkin aku bukanlah aku sekarang!

Bulan Disember lepas aku berkesempatan menziarahi bapa saudaraku di Taiping! Bapa saudara yang aku panggil Acu satu-satunya berkahwin dengan gadis pujaan luar Negeri Sembilan. Orang Selama anak mami. Memang cantik pun! Mereka ada sepasang anak lelaki dan perempuan! Anak mereka sudah berkeluarga tinggal jauh di Utara dengan kehidupan sendiri. Kini tinggal Acu bersama isterinya, Makcu.

Acu sudah berusia 80 tahun seorang pesara pengawai polis dah sakit-sakit lutut tapi masih mampu bergerak ke sana-sini. Penglihatan dah semakin kelam! Membaca pun dah agak sukar biarpun pakai cermin mata! Manakala Makcu berusia 75 tahun. Sakit lutut kronik. Terpaksa menggunakkan tongkat kaki empat untuk bergerak! Namun masih mampu memandu kereta kalau ke masjid. Kalau nak tahu Acu tidak berani memandu kereta dari muda sampailah sekarang. Ketika kaki kuat dulu Acu selalu mengayuh basikal hingga ke bandar Taiping. Tapi semenjak lutut dah sakit tiada lagi aktiviti berbasikal!

Yang lucunya jiran-jiran heboh bercerita Acu penakut pada bini! Bini sedap-sedap naik kereta sisuami mengayuh basikal! Itulah mulut manusia pantang sahaja bila melihat sesuatu yang agak pelik mulalah mengadakan cerita sesedap mulut!

Hubungan keluarga kami sangat rapat dengan Acu bukan kerana dia bapa saudara sahaja. Ketika Acu bersekolah arwah bapakulah yang menjaga dan menanggung persekolahan Acu hingga bekerja. Bila kehidupan Acu sudah selesa, beliau tidak lokek memberi duit kepada abang-abangnya. Seingat aku, setiap bulan Acu mengirim duit kepada bapaku. Malah dia membiayai ibadah haji bapa dan pak ngah! Sungguh mulia hatinya. Malah beliau tidak berkira memberi duit poket kepada anak-anak saudara!

Acu sanggup hadir ke majlis perkahwinan biarpun yang kahwin hanya anak cucu saudara! Bagiku tidak datang pun tak mengapa kerana tak sanggup melihat Acu yang sakit lutut naik bas dan turun bas! Tapi Acu rasa seronok kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara! Acu suka berburak! Sekejap berburak dengan anak saudara ini, sekejap lagi dengan anak cucu saudara! Tak letih-letih Acu berburak. Kalau ikut hatinya semua sanak saudara nak ditemubualnya!

Aku amat faham naluri seorang tua yang kesunyian. Baginya bukan duit tapi perhatian dan kasih sayang yang menjadi dambaanya sekarang! Masakan tidak kehidupan mereka hanya berdua. Tak tahulah esok lusa siapa yang pergi dulu!

Ketika saat aku melangkah balik, hibanya rasa hatiku melihat Acu meneruskan kerja rutinnya menyiang ikan untuk kucing-kucingnya yang berbelas ekor. Makcu pula bergerak lemah dan terketar-ketar menghantar ke kereta! Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Biarpun sekejap kami di rumah Acu, Acu sangat gembira! Semoga Allah melindungi dan merahmati mereka. Aku berharap biarlah Allah menjemput mereka bersama dan tidak sakit  berpanjangan hingga menyusahkan anak cucu mereka!

Begitu juga diriku biarlah Allah menjemputku ketika akumasih mampu beribadah, bekerja dan masih disayangi. Hanya itu harapan paling tinggi kepada yang Maha Pencipta! Semoga harapanku dimakbulkan Allah swt.

No comments: