Monday, November 24, 2014

Iman dan Islam





Assalamualaikum pembaca dikasihi semoga terhibur membaca blog saya biarpun tidak begitu menarik!

Sebenarnya bukan mudah  untuk menarik pembaca agar terus menjadi pembaca setia. Tuan blog mestilah rajin update story dari masa ke semasa! Aku ni harap berangan aje lebih tapi slow dalam bab-bab update ni! Tapi kali ini aku berharap tak jadi macam dulu! Orang lain ada blog aku pun nak ada blog tapi....jadi hiasan saja!

Dalam usia setengah abad (hmmm... tak malu pun sebut usia janji hati muda) banyak pengalaman manis, pahit, gembira telah kulalui! Banyak perkara tidak tahu menjadi tahu! Banyak perkara tidak sewajarnya dibuat aku buat. Ya, aku tidak malu mengaku! Aku pun kerap ditegur dan dikritik! Walaupun hati terbakar bila ditegur aku lawan perasaan amarah ini!

Bagaimana ringannya mulut aku menegur dan mengkritik orang, macam tulah aku mesti terbuka menerima teguran orang! Alhamdulillah perlahan-lahan sifat-sifat mazmumah tu aku buang jauh-jauh! Nak tunggu apa lagi! Bila-bila masa saja Allah tarik kita! Buatlah persediaan dan banyaklah merenung keburukan dalam diri kita! Perbanyakkan memandang kebaikkan pada orang lain!

Sebagai orang lama banyak perkara jelik berlaku dikeliling aku! Hal ini bukan berlaku pada orang muda tapi turut berlaku pada orang tua! Sifat manusia mudah teruja pada sesuatu yang sempurna di depan mata dan cepat mencaci bila dilihat hodoh! Sudah menjadi satu fenomena bila seseorang wanita berpakaian sempurna dan tutup aurat di puji melambung-lambung! Yang berpakaian menjolok mata dihina dengan gelaran buruk!

Dalam dua kes ini, aku tidak menyebelahi sesiapa pun. Masyarakat kita masih membicarakan perkara yang remeh temeh. Begitu juga penyampai dakwah (tidak semua) asyik-asyik membicarakan  pasal tutup aurat! Maka ramailah yang tutup aurat termasuklah golongan artis! Kenapa tidak menekankan bab solat sebagai tanggungjawab utama. Kalau solat itu tidak diabaikan lambat laun perkara yang baik akan menyusul kemudian! Tidak hairanlah hari ini ada wanita menutup aurat tapi tidak solat, pakaian seksi dan membuat maksiat!

Ada artis menutup aurat tapi masih bercium pipi dengan lelaki! Apa makna ni? Ada artis menutup aurat dengan lengkap dan sopan tapi penuh riak. Bila diinterbiu terang-terang kata tak mahu bersalam. Oklah tu tapi siap mention lagi 'haram I bersalam'. Sehingga tersinggung wartawan! Apa wartawan tu jahil sangat ke? Apa hukumnya menjatuhkan air muka orang dengan sengaja?

Tapi yang buat aku amat-amat terkejut seorang awek ni berpakaian ala-ala ustazah! Pergaulan bagus dan rajin menghadiri majlis ilmu. Di surau bila habis solat berjemaah, dia sambung doa sendiri sampai aku pun tak tahu berapa lama dia berdoa! Kadang-kadang kita keluar surau dia masih berdoa. Setiap berdoa sampai tersedu-sedu dan keluar air mata! Bagi aku sebaiknya dalam bab ni buat saja di rumah pukul 3 pagi nanti! Bila dia uzur masuk surau sebaik habis azan dan berdoa! Salute habis aku pada awek ni! Bila cerita bab-bab agama ni berlinang air matanya. Pendek kata kalau aku ada anak lelaki memang dialah jadi calun menantu!

Satu hari  sebaik aku balik ofis waktu rehat, dari dalam kereta aku ternampak awek ni keluar dari pintu belakang dan berjalan terus sehingga hilang pandangan. Ketika itu jam sudah 2 petang. Setahu aku awek ni memang tidak pernah keluar  rehat dan jarang sangat makan! Yang pelik tu ikut jalan belakang apa yang ada silap-silap bangla tukang sapu tu boleh kidnap!

Dah lebih setengah jam aku tinjau tempatnya masih tiada sehingga hampir dua jam baru dia terpacul di ofis. Kini barulah aku tahu rupa-rupanya dia selalu hilang sebab bergayut lama telefon dengan pakwenya! Cleaner ofis  cakap, dah lama hal ni berlaku. Dia selalu terserempak awek ni bergayut telefon dalam dewan, dalam bilik meeting! Terkejut badak aku! Sejak itu aku selalu meninjau pada waktu-waktu tertentu ternyata awek ni memang selalu hilang! Mungkin kehilangan dia tidak disedari! Tapi Allah nampak dan apalah gunanya kau sujud pada-Nya tapi kau menipu diri sendiri! Aku tiada jawapan untuk awek tu. Kepercayaan aku hilang seratus peratus!

Daripada membayar bil telefon hanya untuk seorang lelaki lebih baik belanja perut sendiri! Selama ni aku abaikan saja bila ada sipolan kata awek ni suka bergayut! Aku rasa ralat sebab awek ni tidak amanah dalam menjalan tugasnya. Sudah pasti dia tahu hukumnya. Ibadah itu bukan solat saja tapi mencakupi dalam semua kehidupan kita apatah melibatkan kerja. Disitulah bermulanya keberkatan gaji yang menjadikan darah daging kita! Aku berharap awek ni berubahlah. Tanyalah diri sendiri ibadah ni untuk manusia atau untuk Allah swt?

Bagi mereka yang berpakaian seksi janganlah dikutuk dan dihina. Tegurlah cara berhemah. Yang penting doakan terbaik untuk mereka! Nak salahkan mereka ni seratus peratus pun tak boleh juga! Kadang-kadang ibu bapa mereka bersifat terbuka dan memberi kebebasan pada anak-anak. Sedangkan didikan terbaik dari ibu bapa, masih ada anak yang rosak akhlaknya akibat pergaulan  bebas!

Pendekatan ibu bapa dengan anak-anak adalah penting! Jangan memaksa atau sekadar menjadi ikutan. Didik anak dengan ilmu dan ibu bapa menjadi contoh! Tiada yang mustahil orang yang kelihatan jelik dimata kita tapi boleh menjadi terbaik! Kita dampingi  dan cerita yang baik untuk mereka. Kalau hati kita ikhlas untuk mengubah mereka insyaallah Allah akan mengubah mereka! Yang penting kita mohon pada-Nya agar Allah mendorong kita kepada kebaikan! Insyaallah, Allah akan makbulkan!

Sesekali aku layari ceramah Nueman Ali Khan dalam Youtube ternyata amat tersentuh! Paling aku terasa bila beliau menekankan pengertian al-quran dalam ibadah. Tambahnya lagi al-quran bukan sekadar dibaca dan belajar tajwid tetapi memahami maksudnya adalah satu keutamaan! Kenapa orang mabuk tidak sah solat sebab mereka tidak faham apa yang mereka baca sehingga mereka sedar dan bertaubat! Masyaallah, aku benar-benar terasa selama ini aku abaikan! Lazimnya anak-anak kita dididik agar pandai membaca al quran sehingga khatam tapi kita tidak ambil tahu maksud dan pengajaran dari al quran!  Kita abaikan kata-kata Allah! Walhal al quran terjemahan dan tafsiran berlambak di pasaran. Tidak hairanlah generasi sekarang hebat tapi mudah tewas bila kecundang!

Untuk diriku dan pembaca dikasihi semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk kita. Apa yang aku tulis ini atas dorongan Allah agar kita jangan abaikan ibadah dalam kehidupan di alam fana ini. Katakan selalu pada anak-anak kecil kita kalau  sayang dan cinta pada Allah swt buatlah kebaikan dengan ikhlas kerana-Nya. Ibadah itu tanggungjawab kita bukannya untuk dapatkan pahala! Selagi hidup selagi itu kita jadi hamba-Nya! Selayaknya kita wajib bersyukur atas pinjaman hak-Nya kepada kita. Wajarkah kita meminta-minta lagi! Syukurlah dengan anugerah Iman dan Islam, dengan izin-Nya kita mampu bersujud kepada-Nya!









No comments: