Thursday, September 4, 2014

Catatan perjalanan hajiku! (Part 1)



Singkat sungguh masa! Pejam celik pejam celik, kita dah masuk bulan Zulkaedah. Kini jemaah haji sudah pun berperingkat-peringkat berlepas ke Mekah untuk menunaikan haji! Alhamdulillah bagi mereka yang terpilih semoga mendapat haji mabrur.

Bila sebut pasal haji teringat aku pada tahun 2004. Aku terpilih menunaikan haji. Gembira pun ada takut pun ada! Untuk persediaan aku telah mengikuti kursus haji sebanyak tiga kali biarpun namaku belum terpilih ketika itu. Kebetulan masjid menganjurkan kursus haji itu sangat dekat dengan rumahku! Biarpun kursus  haji ini nampak mudah, sebenarnya kita selalu terkeliru dan buntu bila berdepan dengan kemusykilan!

Aku dan arwah suami berpakat membuat haji ifrad. Kami berlepas awal Januari 2005. Ketika itu baru dua minggu tsunami besar melanda Indonesia, India, Thailand dan sebahagian kecil pulau. Aku berkesempatan menemubual dengan jemaah wanita dari Aceh yang terselamat dari tsunami! Terpegun aku melihat semangat beliau biarpun dia kehilangan orang tersayang!


Oleh kerana kami pergi haji akhir, aku berniat haji manakala yang buat haji Tamatuk  berniat umrah di dalam pesawat! Bila sudah berniat, bermulalah ihram, jaga pantang larang. Aku pula berihram selama sembilan hari. Selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada 10 Zulhijjah nanti, baru selesai ihram itupun tahalul kecil. Bertahalul sepenuhnya  selepas selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada 14 Zulhijjah. 

Buat haji ifrad ini kena banyak bersabar kerana tempoh ihram yang lama! Bila kepala gatal aku tonyoh-tonyohkan dengan pen saja. Nak garu takut rambut gugur pulak. Kalau penyebab dari kita, diwajibkan bayar dam! Kalau tidak bayar berdosa! 

Aku kagum melihat sekelompok kecil jemaah muda lelaki menjalani haji ifrad. Ada ketikanya aku hampir ketawa melihat wajah mereka dengan misai yang mula tumbuh meliar, rambut terpacak-pacak dan kusut masai. Sudah pasti mereka tidak bersikat. Haji ifrad memang berat untuk jemaah lelaki kerana sentiasa memakai ihram dalam jangka masa yang panjang. Tapi ganjarannya besar kalau kita berjaya mengharungi ibadah itu dengan keikhlasan dan kesabaran!

Sampai di Jeddah, aku terkejut melihat jemaah wanita dengan selamba tanpa memakai stokin ke hulu ke hilir.
Tidak pasti samada dia faham atau tidak pantang larang dalam ihram! Perbuatan mendedah aurat dengan sengaja berdosa. Dalam keadaan begini serba salah untuk ditegur apatah kedudukan dia yang jauh dari ku!

Di hotel pula, aku terserempak seorang jemaah lelaki bersidai di depan pintu bilik yang leka mengetip kuku! Walhal kami semua masih dalam ihram! Kami akan ke masjid selepas Isyak kerana sampai di hotel hampir maghrib!  Bila ditegur dan cakap elok-elok lain pula fahamannya macam nak gaduh! Aku pun tak tahu apa terjadi pada jemaah lelaki itu  kerana kami masing-masing sibuk ke masjid!

Di masjid keadaan amat sesak! Dalam keadaan begini banyakkan berdoa dan solat taubat! Aku buat tawaf qudum dan rukun saie! Itulah kelebihan haji ifrad! Mana yang buat haji tamatuk sempurnakan umrah sampai selesai! 


Ketika sampai masa berangkat ke Arafah, pandangan manusia serba putih bagaikan salju terbentang luas berduyun-duyun untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta.
Namun ada cerita yang menyedihkan dalam rombongan kami, seorang jemaah lelaki membentak-bentak nak balik Malaysia. Dia buka ihram dan nak pakai baju. Puas ustaz memujuk dan kaunseling tetapi dia tetap berkeras! Ada juga jemaah wanita hanya pakai sarung kepala mengambil wuduk di laluan lelaki. Seluar terselak ke betis! Rupanya masih ada tidak ambil indah pantang larang  dalam ihram! Apa, ingat di Malaysia ke? 

Walaupun sesak, di Arafah tanah barakah, doa dimakbulkan! Bermalam di Arafah rukun Haji. Bagi yang sakit tenat dan tiada kemampuan wajib lalu selepas gelincir matahari dan berdoa. Masa ni memang banyak kelihatan  ambulan membawa jemaah yang uzur untuk memenuhi rukun haji! Selepas solat asar kami berdoa di luar khemah menghadap kiblat! Mohonlah pada-Nya seikhlas hati. MasyaAllah tiada terkata disaat itu. Syahdunya, bening, sepi...
 

Selepas tengah malam kami bergerak ke Mudzalifah seterusnya ke Mina. Walaupun jarak antara Arafah dan Mina tidak sampai satu jam, musim haji perjalanan boleh jadi lima ke enam jam! Rombongan bas kami sampai ke Mina selepas lima jam tersangkut dalam kesesakan. Tidak kurang ada yang sampai selepas zohor kerana tersesat!

Di dalam kesesakan ini aku menyaksikan bermacam ragam manusia. Kebetulan bas kami berhenti sekejap, kelihatan seorang jemaah wanita dari Iran dengan selamba terkencing tanpa disedari tingkah laku dia diperhatikan! Kelihatan air kencingnya melurut di atas jalan. Mengikut pandanganku air kencingnya mesti mengecik pada jubahnya. Hanya beberapa langkah dari jemaah wanita itu, sekumpulan jemaah lelaki bersolat! Selesai solat, salah seorang jemaah lelaki itu membentang pula sejadah betul-betul di atas kencing wanita tersebut. MasyaAllah! Pening kepala aku melihat kerenah mereka!



Bersambung



No comments: