Monday, November 9, 2015

Damaimu di sana…


 
Semasa menghadiri open house di akhir shawal. Kau termenung jauh...itulah wajahmu terakhir yang aku tatap!


Assalamualaikum kawan-kawan yang dikasihi semoga bahagia di sisi keluarga masing-masing.

Esok cuti Deepavali, apa rancangan kawan-kawan! Nampaknya aku lepak-lepak saja. Bila sebut Deepavali aku teringat masakan India. Sebenarnya aku amat mengemari masakan India. Tose, putu mayam, apom macam-macam lagi semua aku suka. Bagiku kalau dah makan tose tak makan nasi pun tak apa. Memang kenyang dan menyihatkan!

Ketika aku masih kecil, aku ingat-ingat lupa arwah ibu membuat putu mayam. Apa yang membuat aku teringat sangat setiap kali ibu menekan acuan sehingga terdengar suara ibu meneran! Berkerut-kerut wajah ibu menekan  acuan putu mayam ke dalam air panas. Agaknya adunan tu terlampau liat kut! Ibuku memang suka memasak dan mencuba resipi baru. Tapi aku tidak pasti sama ada aku makan atau tidak putu mayam tersebut!

Lupakan saja kisah lalu, aku terpanggil untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang kegigihan seorang wanita yang amat aku kenali. Biarlah saja aku namakan dia, M. M sebaya denganku. Orangnya cantik, tinggi lampai dan bermata bundar! Dia berkahwin ketika berusia 23 tahun dengan lelaki pilihan yang amat secocok. Aku juga mengenali rapat suaminya!

Ketika itu aku melihat kau pasangan yang amat bahagia. Kau telah melahirkan sembilan orang anak. Apa yang dibanggakan anak-anak M bukan saja pandai tetapi berdikari. Kau seorang ibu yang sangat penyayang. Ketika kau mengandung anak keempat kaki kau patah terpijak lubang ketika pergi ke kedai! Tetapi tidak menghalang kau memasak dan membuat biskut raya untuk berniaga! Anak ramai mana nak cukup pendapatan suami seorang!

Kau sanggup memenuhi permintaan anak membuat biskut, walhal ketika itu jam hampir pukul 12 tengah malam di rumah adikku. Balik rumah saja hampir pukul 1 pagi. Itulah pergorbanan ibu tidak mahu mengecewakan permintaan anak yang masih belajar!

Satu hari selepas membuat pemeriksaan doktor, doktor dapati ada ketumbuhan kecil di payudara M. Ketumbuhan itu mesti dibuang segera. Akhirnya ketumbuhan itu selamat dibuang. Doktor kata ketumbuhan itu memang kanser! Namun aku tidak pasti adakah M buat rawatan susulan atau biarkan saja. Apa yang aku lihat M menjalani kehidupan seperti biasa dan tiada nampak apa-apa perubahan pada fizikalnya. Macam orang sihat sahaja.

Tanpa diduga diluar jangkaan suami M dalam diam berkahwin lagi. Yang amat menyedihkan wanita itu sangat dikenali iaitu kawan M sendiri. Ia selalu bertandang ke rumah M. M tidak pernah mengesyaki apa-apa kerana wanita itu masih bersuami! Bermula dari itu  berlingkarlah episod sedih dalam hidup M! Apalah ada pada lelaki beranak sembilan dan bukan kaya pun! Tetapi wanita itu betul-betul merosakan rumahtangga orang. Dia bercerai dengan suaminya, dengan anak tiga hidup bersama suami M. Sedihhh!!

Kini bukan soal sakit hati lagi, M mesti survive kalau selama ini perbelanjaan tidak pernah mencukupi untuk satu keluarga inikan dua keluarga! M pernah bercerita... dia dan anak-anak pernah memungut besi-besi buruk untuk dijual! Aku salute dengan M, seorang wanita yang tabah! Baginya samada suami dapat memberi nafkah, balik atau tidak bukan persoalannya lagi. Kehidupan mesti diteruskan. Bukan perbalahan dicari! M menerima takdirnya!

2013 aku dikejutkan berita M dimasukkan hospital. Badannya tiba-tiba kejang dan tidak sedarkan diri! Rupanya kanser payudara yang sekian lama diabaikan oleh M rupa-rupanya telah menyerang tulang dan sendi! M disahkan menghidap kanser tulang tahap empat! Doktor menyatakan tiada peluang untuk M bertahan lama! Bila-bila masa sahaja M akan tewas. Doktor hanya memberi sekali rawatan radioterapi. Selebihnya bertahan dengan steroid! Kanser tulang ternyata terlalu sakit. Hari-hari M terpaksa mengambil steroid! Namun M terus dapat bertahan sehingga sempat melihat perkahwinan anak dan menyambut cucu!

Aku ingat M dengan bersemangat berkata dia mahu sihat, nak jaga anak-anak dan pergi haji. Dalam kesakitan M sentiasa berzikir dan tidak lupa bersolat! Kuatnya ujianmu M. Bagaimanakah kalau aku berada di tempatmu? Mampukah aku bertahan! Hati wanitaku tersentuh! Akhirnya bulan September lepas kau meninggalkan alam fana ini! Tiga tahun kau berjuang melawan kanser ganas bersama bebanan tekanan yang dipikul. Hanya anak-anak menjadi penguat suka duka bersama!

Bila aku melihat gambarmu bersama anak-anak, aku macam tidak percaya kau sudah tiada! Hatiku tersentap... aku menangis! Lahirmu didunia umpama lilin menerangkan insan-insan tersayang sedangkan hatimu terguris dan menanggung kesakitan fizikal tidak terkata! Aku masih teringat ketika kau menjemput perkahwinan sulung anakmu, kau cakap padaku kau tidak sihat! Rupanya sekian lama kau menahan sakit dengan menelan pain killer. Kau tanggung sendiri kesakitan itu tanpa berkongsi dengan sesiapa! M kau wanita yang sungguh hebat!

Aku bangga denganmu M. Anak-anakmu yang memandikan jenazahmu. Anak sulungmu menjadi imam ketika menyolat jenazahmu! Mereka anak-anak yang baik M! Sekian lama aku mengenalimu, kau mempunyai peribadi yang sangat baik. Berehatlah dengan damai M. Anak-anakmu meredhai pemergianmu! Semoga kau ditempatkan di taman alfirdausi!














1 comment:

Unknown said...

My friend mentioned to me your blog, so I thought I’d read it for myself. Very interesting insights, will be back for more. web design web