Monday, January 26, 2015

Fesyen apa ni?



Assalamualaikum pembacaku yang dikasihi semoga dimakmurkan rezeki dan kerahmatan dari-Nya!

Gamat rakyat Malaysia tiba-tiba disentap berita 'Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah'! Biar betul ni. Susahlah hati mak bapak lepas ni! Apa sebenarnya yang dimaksudkan rotan tu? Kalau merotan anak sampai separuh mati aku setuju sangatlah kerana ini sudah masuk kes dera. Tetapi sekadar dirotan dengan rotan halus dengan niat mengajar rasa tak salahkan!


Namun aku tidak terfikir Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan akta ini. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, pandangan ibu bapa dan ulama! Bagi aku kalau ibu bapa boleh menjadi ikon untuk anak-anak mereka insyaallah anak-anak tidak perlu dirotan memadai untuk tujuan mendidik seperti liat bersolat dan mengaji. Terpulang kepada ibu bapa masing-masing untuk mendidik anak. Aku tak boleh cakap lebih-lebih aku tak ada anak!


Aku teringat zaman kanak-kanak selalu kena rotan dengan mak aku. Mak aku memang garang. Tak cukup dengan rotan apa sahaja yang dapat dicapai habis singgah di badanku. Tapi percayalah mak mana tak sayangkan anak-anak! Mereka mewarisi seperti mana orang tua mereka mendidik! Ibu bapa sekarang dibekalkan ilmu keibubapaan secara langsung dan tidak langsung. Anak-anak pulak dari usia dua tahun sudah didedahkan mainan gadget dan internet. Cara merotan tidak praktikal lagi. Mereka lagi memberontak!


Di zaman persekolahanku ramai juga budak-budak nakal kena rotan. Ada dirotan di depan perhimpunan kerana melakukan kesalahan besar. Malu! Cikgu zaman dulu tak fikir soal malu! Tunggu sajalah hukuman kalau buat salah! Ternyata cabaran mendidik sentiasa diuji apatah anak-anak sekarang semakin bijak. Ibu bapa dan guru-guru jangan putus asa dan emosi ya! Sebab emosi itulah mencetus kesan negatif!


Bila cerita pasal sekolah teringat aku seorang kawan yang aku panggil Fid. Dia memang cantik, berwajah seksi, berambut ikal dan aktif bersukan! Kami jadi rapat bila bila Fid jatuh hati pada jejaka bernama K. K sepupu kepada kawan sekelas Fid bernama S. Kebetulan rumah S berdekatan dengan rumahku! Tidakku nafikan K seorang yang handsome, berbadan sasa dan tinggi. Aku amat mengenali K kerana dia juga ada pertalian persaudaraan denganku begitu juga S.


Teringat aku disatu malam ketika majlis perkahwinan kakak sepupu S berlangsung di rumah S. Fid tidur di rumah S. Wow cantiknya Fid! Berbaju kebaya sendat dan berkain batik. Rambut dilepaskan mengerbang. Malangnya tiada gambar untuk ku berkongsi bersama! Sempat aku melihat K melirik tajam kepada Fid yang betul-betul mantap malam itu! Namun aku tidak pasti kenapa perhubungan Fid dan K terputus di tengah jalan. Aku dengar Fid mengajak K berkahwin tapi K tidak bersedia sebab masih muda dan baru bekerja!


Aku bersama Fid ketika di tingkatan enam rendah tapi tidak lama! Fid berhenti sebab ibunya sakit. Kadang-kadang Fid ponteng sekolah sebab menjaga ibunya di hospital! Walaupun rumah Fid jauh dari sekolah, Fid tak mahu tinggal di asrama seperti aku. Alasannya nanti tak boleh dengar radio! Masa tu pun Fid tengah angau dengan K sudah pasti nak hantar surat cinta pun susah silap-silap kena tapis pulak!


Fid ni memang tegar dalam bab mengikat rambut. Getah rambut sentiasa ada dalam poket walaupun di arah mengikat atau bertocang. Itu peraturan sekolah! Zaman tu tak ramai lagi pakai tudung boleh dikira dengan jari! Pernah juga aku tersentuh rambut Fid cepat-cepat dia mengilas takut rambutnya kusut walhal memang kusut pun! Kalau naik bas, orang buka tingkap Fid tutup tingkap tak mahu rambut kusut! Puaslah orang di belakang kepanasan.


Setiap kali masuk kelas Fid jadi perhatian! Dahlah lambat sampai! Begnya pulak tergantung banyak keychain. Kelincing! Kelincing! Kelincing! Bunyi keychain berbuai-buai. Cikgu Salim melirik dengan mata sehingga kepalanya turut berpusing memerhati Fid. Ni fesyen apa pulak ni’ cikgu Salim memegang tocang Fid! Orang lain bertocang dua Fid bertocang sampai empat seronok sangat cikgu Salim memegangnya sememangnya dia suka mengenyam! Cikgu Salim ni tak silap aku menjadi ADUN beberapa penggal. Terlupa pulak aku tahun berapa?


Pernah satu hari Fid terlewat lagi disuruh berdiri di atas kerusi! Malunya Fid tak terkata, bukannya budak-budak didenda macam tu. Dah boleh kahwin dah! Itu semua membuatkan Fid semakin tak minat bersekolah! Memang Fid marah sangat pada cikgu Salim! Akhirnya Fid hilang begitu sahaja tanpa ucapan selamat tinggal kepada kami! Zaman tu mana ada handphone macam sekarang!


Beberapa tahun selepas itu Fid datang ke rumah bersama suami dan anaknya! Terkejut aku! Tak sangka Fid masih ingat kepadaku! Selepas itu perhubungan kami terputus. Jenuh aku menjejaki Fid melalui kawan dan juga dalam FB! Tidak di sangka dua bulan lepas Fid muncul dalam FB grup sekolahku. Tak terkata gembira hatiku! Sekarang Fid dah jadi mutawif! Aku berharap dapat bertemu Fid satu hari nanti yang sudah ada beberapa orang cucu!


Semoga hubungan aku bersama Fid berkekalan hingga ke akhir hayat. Biarpun kami belum ada kesempatan bertemu, dari perbualan Fid dalam whatsapp aku dapat mengagak keletah Fid tidak berubah! Masih nakal dan lucu!




Tahun 1977 ketika itu ada konsert di sekolah kami. Salah seorang penyanyi undangan ialah Sudirman Hj Arshad. Sudirman ketika itu baru dikenali selepas menjuarai Bintang RTM 76! Ketika beliau menyanyi Fid naik ke pentas memberi bunga. Tiba-tiba Sudirman menarik Fid mengajak menari bersamanya. Kebetulan Fid memang pandai menari! Menjadilah... Rupa-rupanya cikgu Y (cikgu displin) memerhati dari bawah pentas. Sebaik Fid turun, cikgu Y terus memarahi Fid sehingga menangis. Sudirman perasan dari atas pentas lalu turun ke padang mohon maaf pada cikgu Y dan menerangkan keadaan sebenarnya! Aku dengar lepas tu Sudirman pujuk Fid dan belanja makan! Untungnya Fid!

* Al fatihah untuk Sudirman, penyanyi yang aku minati, seorang sensitif dan prihatin!










Monday, January 19, 2015

Kasih-Mu jua yang kekalnya!

Assalamualaikum pembaca disayangi supaya sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt.

Sudah lebih dua minggu melangkah tahun 2015! Aku baru terhegeh-hegeh nak posting story baru. Entahlah, tiba-tiba mood makin hilang! Tak tahulah story apa nak tulih erkk! Kalau cerita pasal azam, rasanya tak payahlah buang karan aje. Dah tua-tua ni apa yang dimiliki sikit atau banyak aku bersyukur banyak-banyak! Allah masih mengasihiku memberi nikmat pinjaman yang tiada ternilai iaitu badan dan akal yang sihat! Lagi satu Allah menganugerah ruang masa yang cukup untukku! 

Jujurnya hidupku simple dan mudah. Bila dihalusi aku dikategori manusia yang beruntung tapi bukan untung wang harta! Ibuku meninggal ketika aku masih kanak-kanak. Aku tidak sempat berbuat dosa pada ibuku melainkan kenakalan dan kedegilan di zaman kanak-kanak! Ayahku pula pergi sebaik selepas menunai solat subuh di pagi Jumaat. Bayangkan kalau ayahku sakit terlantar terpaksa aku menjaga, manalah tahu aku merungut-rungut dah tentu dapat dosa!

Namun aku diuji menjaga abang sulongku sakit kuat selama tiga bulan. Keadaan sakitnya amat luarbiasa. Kakak iparku ketika itu sarat mengandung dan anak-anak masih kecil. Akulah banyak mengambil peranan kerana memerlukan tenaga fizikal untuk menggerakkan abangku yang tiada kudrat! Sepanjang aku menjaganya aku tidak tidur, aku hanya terlena sekejap diwaktu pagi.

Di hari perkahwinan Acu dan Makcu. Cantikkan Makcu!
Setiap jam abang memanggilku untuk membangunkan dia kerana badannya amat berbisa bila terbaring. Aku pernah menangis kerana terlalu letih namun aku tanya diriku sendiri, aku yang sihat boleh menangis inikan abangku yang menanggung kesakitan yang amat sangat setiap detik dan masa! Kejamnya kalau aku pentingkan diri sendiri! Setelah menanggung sekian lama kesakitan abangku pergi menghadap Illahi! Alhamdulillah aku terima anugerah dari-Mu dengan kesyukuran.

Pemergian abangku banyak perkara baru yang aku pelajari! Pengalaman demi pengalaman menjadi  aku semakin matang dan sabar! Tak tahulah tanpa anugerah dari-Mu  mungkin aku bukanlah aku sekarang!

Bulan Disember lepas aku berkesempatan menziarahi bapa saudaraku di Taiping! Bapa saudara yang aku panggil Acu satu-satunya berkahwin dengan gadis pujaan luar Negeri Sembilan. Orang Selama anak mami. Memang cantik pun! Mereka ada sepasang anak lelaki dan perempuan! Anak mereka sudah berkeluarga tinggal jauh di Utara dengan kehidupan sendiri. Kini tinggal Acu bersama isterinya, Makcu.

Acu sudah berusia 80 tahun seorang pesara pengawai polis dah sakit-sakit lutut tapi masih mampu bergerak ke sana-sini. Penglihatan dah semakin kelam! Membaca pun dah agak sukar biarpun pakai cermin mata! Manakala Makcu berusia 75 tahun. Sakit lutut kronik. Terpaksa menggunakkan tongkat kaki empat untuk bergerak! Namun masih mampu memandu kereta kalau ke masjid. Kalau nak tahu Acu tidak berani memandu kereta dari muda sampailah sekarang. Ketika kaki kuat dulu Acu selalu mengayuh basikal hingga ke bandar Taiping. Tapi semenjak lutut dah sakit tiada lagi aktiviti berbasikal!

Yang lucunya jiran-jiran heboh bercerita Acu penakut pada bini! Bini sedap-sedap naik kereta sisuami mengayuh basikal! Itulah mulut manusia pantang sahaja bila melihat sesuatu yang agak pelik mulalah mengadakan cerita sesedap mulut!

Hubungan keluarga kami sangat rapat dengan Acu bukan kerana dia bapa saudara sahaja. Ketika Acu bersekolah arwah bapakulah yang menjaga dan menanggung persekolahan Acu hingga bekerja. Bila kehidupan Acu sudah selesa, beliau tidak lokek memberi duit kepada abang-abangnya. Seingat aku, setiap bulan Acu mengirim duit kepada bapaku. Malah dia membiayai ibadah haji bapa dan pak ngah! Sungguh mulia hatinya. Malah beliau tidak berkira memberi duit poket kepada anak-anak saudara!

Acu sanggup hadir ke majlis perkahwinan biarpun yang kahwin hanya anak cucu saudara! Bagiku tidak datang pun tak mengapa kerana tak sanggup melihat Acu yang sakit lutut naik bas dan turun bas! Tapi Acu rasa seronok kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara! Acu suka berburak! Sekejap berburak dengan anak saudara ini, sekejap lagi dengan anak cucu saudara! Tak letih-letih Acu berburak. Kalau ikut hatinya semua sanak saudara nak ditemubualnya!

Aku amat faham naluri seorang tua yang kesunyian. Baginya bukan duit tapi perhatian dan kasih sayang yang menjadi dambaanya sekarang! Masakan tidak kehidupan mereka hanya berdua. Tak tahulah esok lusa siapa yang pergi dulu!

Ketika saat aku melangkah balik, hibanya rasa hatiku melihat Acu meneruskan kerja rutinnya menyiang ikan untuk kucing-kucingnya yang berbelas ekor. Makcu pula bergerak lemah dan terketar-ketar menghantar ke kereta! Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Biarpun sekejap kami di rumah Acu, Acu sangat gembira! Semoga Allah melindungi dan merahmati mereka. Aku berharap biarlah Allah menjemput mereka bersama dan tidak sakit  berpanjangan hingga menyusahkan anak cucu mereka!

Begitu juga diriku biarlah Allah menjemputku ketika akumasih mampu beribadah, bekerja dan masih disayangi. Hanya itu harapan paling tinggi kepada yang Maha Pencipta! Semoga harapanku dimakbulkan Allah swt.