Monday, November 9, 2015

Damaimu di sana…


 
Semasa menghadiri open house di akhir shawal. Kau termenung jauh...itulah wajahmu terakhir yang aku tatap!


Assalamualaikum kawan-kawan yang dikasihi semoga bahagia di sisi keluarga masing-masing.

Esok cuti Deepavali, apa rancangan kawan-kawan! Nampaknya aku lepak-lepak saja. Bila sebut Deepavali aku teringat masakan India. Sebenarnya aku amat mengemari masakan India. Tose, putu mayam, apom macam-macam lagi semua aku suka. Bagiku kalau dah makan tose tak makan nasi pun tak apa. Memang kenyang dan menyihatkan!

Ketika aku masih kecil, aku ingat-ingat lupa arwah ibu membuat putu mayam. Apa yang membuat aku teringat sangat setiap kali ibu menekan acuan sehingga terdengar suara ibu meneran! Berkerut-kerut wajah ibu menekan  acuan putu mayam ke dalam air panas. Agaknya adunan tu terlampau liat kut! Ibuku memang suka memasak dan mencuba resipi baru. Tapi aku tidak pasti sama ada aku makan atau tidak putu mayam tersebut!

Lupakan saja kisah lalu, aku terpanggil untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang kegigihan seorang wanita yang amat aku kenali. Biarlah saja aku namakan dia, M. M sebaya denganku. Orangnya cantik, tinggi lampai dan bermata bundar! Dia berkahwin ketika berusia 23 tahun dengan lelaki pilihan yang amat secocok. Aku juga mengenali rapat suaminya!

Ketika itu aku melihat kau pasangan yang amat bahagia. Kau telah melahirkan sembilan orang anak. Apa yang dibanggakan anak-anak M bukan saja pandai tetapi berdikari. Kau seorang ibu yang sangat penyayang. Ketika kau mengandung anak keempat kaki kau patah terpijak lubang ketika pergi ke kedai! Tetapi tidak menghalang kau memasak dan membuat biskut raya untuk berniaga! Anak ramai mana nak cukup pendapatan suami seorang!

Kau sanggup memenuhi permintaan anak membuat biskut, walhal ketika itu jam hampir pukul 12 tengah malam di rumah adikku. Balik rumah saja hampir pukul 1 pagi. Itulah pergorbanan ibu tidak mahu mengecewakan permintaan anak yang masih belajar!

Satu hari selepas membuat pemeriksaan doktor, doktor dapati ada ketumbuhan kecil di payudara M. Ketumbuhan itu mesti dibuang segera. Akhirnya ketumbuhan itu selamat dibuang. Doktor kata ketumbuhan itu memang kanser! Namun aku tidak pasti adakah M buat rawatan susulan atau biarkan saja. Apa yang aku lihat M menjalani kehidupan seperti biasa dan tiada nampak apa-apa perubahan pada fizikalnya. Macam orang sihat sahaja.

Tanpa diduga diluar jangkaan suami M dalam diam berkahwin lagi. Yang amat menyedihkan wanita itu sangat dikenali iaitu kawan M sendiri. Ia selalu bertandang ke rumah M. M tidak pernah mengesyaki apa-apa kerana wanita itu masih bersuami! Bermula dari itu  berlingkarlah episod sedih dalam hidup M! Apalah ada pada lelaki beranak sembilan dan bukan kaya pun! Tetapi wanita itu betul-betul merosakan rumahtangga orang. Dia bercerai dengan suaminya, dengan anak tiga hidup bersama suami M. Sedihhh!!

Kini bukan soal sakit hati lagi, M mesti survive kalau selama ini perbelanjaan tidak pernah mencukupi untuk satu keluarga inikan dua keluarga! M pernah bercerita... dia dan anak-anak pernah memungut besi-besi buruk untuk dijual! Aku salute dengan M, seorang wanita yang tabah! Baginya samada suami dapat memberi nafkah, balik atau tidak bukan persoalannya lagi. Kehidupan mesti diteruskan. Bukan perbalahan dicari! M menerima takdirnya!

2013 aku dikejutkan berita M dimasukkan hospital. Badannya tiba-tiba kejang dan tidak sedarkan diri! Rupanya kanser payudara yang sekian lama diabaikan oleh M rupa-rupanya telah menyerang tulang dan sendi! M disahkan menghidap kanser tulang tahap empat! Doktor menyatakan tiada peluang untuk M bertahan lama! Bila-bila masa sahaja M akan tewas. Doktor hanya memberi sekali rawatan radioterapi. Selebihnya bertahan dengan steroid! Kanser tulang ternyata terlalu sakit. Hari-hari M terpaksa mengambil steroid! Namun M terus dapat bertahan sehingga sempat melihat perkahwinan anak dan menyambut cucu!

Aku ingat M dengan bersemangat berkata dia mahu sihat, nak jaga anak-anak dan pergi haji. Dalam kesakitan M sentiasa berzikir dan tidak lupa bersolat! Kuatnya ujianmu M. Bagaimanakah kalau aku berada di tempatmu? Mampukah aku bertahan! Hati wanitaku tersentuh! Akhirnya bulan September lepas kau meninggalkan alam fana ini! Tiga tahun kau berjuang melawan kanser ganas bersama bebanan tekanan yang dipikul. Hanya anak-anak menjadi penguat suka duka bersama!

Bila aku melihat gambarmu bersama anak-anak, aku macam tidak percaya kau sudah tiada! Hatiku tersentap... aku menangis! Lahirmu didunia umpama lilin menerangkan insan-insan tersayang sedangkan hatimu terguris dan menanggung kesakitan fizikal tidak terkata! Aku masih teringat ketika kau menjemput perkahwinan sulung anakmu, kau cakap padaku kau tidak sihat! Rupanya sekian lama kau menahan sakit dengan menelan pain killer. Kau tanggung sendiri kesakitan itu tanpa berkongsi dengan sesiapa! M kau wanita yang sungguh hebat!

Aku bangga denganmu M. Anak-anakmu yang memandikan jenazahmu. Anak sulungmu menjadi imam ketika menyolat jenazahmu! Mereka anak-anak yang baik M! Sekian lama aku mengenalimu, kau mempunyai peribadi yang sangat baik. Berehatlah dengan damai M. Anak-anakmu meredhai pemergianmu! Semoga kau ditempatkan di taman alfirdausi!














Monday, November 2, 2015

Jauh berjalan luas pandangan!

Sambungan

Di Linxia, etnik Hui berugama Islam adalah majoriti. Ekonomi di bandar Linxia dikuasai oleh mereka! Tiada beza rupa mereka macam China jugak mata sepet! Aku lihat Islam di sini berkembang baik dan bebas lakukan aktiviti tanpa halangan. Bukan seperti di Xinjiang segala aktiviti agama di sekat, puasa dilarang!

Ketika  berjalan di sebatang lorong, aku terserempak sekumpulan pelajar baru pulang dari madrasah! Masjid-masjid lama di sini kebanyakan berciri binaan klasik China. Namun begitu masjid-masjid di China tidak mesra dengan kaum wanita. Kami tidak dibenarkan bersolat di masjid!

Akhirnya kami dapat bersolat di satu masjid kecil tetapi bahagian wanita terpisah dari bangunan masjid. Betapa untungnya di Malaysia tiada halangan untuk wanita bersolat di masjid.  

Di Lanzhou (bunyinya dalam bahasa mandarin lan...u) pembaca tekalah sendiri memang kotor bunyinya! Islam juga berkembang maju. Di masjid Xiquan terjumpa seorang China yang pandai bercakap Arab! Ada madrasah! Kalau pembaca tenguk rancangan di TV3 kisah hari raya korban di Lanzhou sangat menarik!

Aku perasan sepanjang perjalanan, aku tidak nampak pelancung Malaysia terutama Melayu. Jadi kami jadi perhatian. Bila kami beritahu dari Malaysia, spontan mereka cakap 'Shila Hamzah'! Wow nampaknya Shila Amzah memang popular di China!

Dari Lanzhou ke Xian aku naik flight dalam satu jam. Untuk pengetahuan pembaca, trip laluan sutera China yang aku ikuti adalah menyaksikan kesan peninggalan Islam, warisan dan budaya. Inilah laluan dilalui oleh pendakwah dari Tanah Arab untuk menyebarkan Islam dan ada yang terus menetap di sini!

Sedar tak sedar jarak perjalananku dari Urumqi di Xinjiang hingga Xian ialah 7000 km! Aku betul-betul rasa puas berjalan dan memanglah penat giler! Banyak perkara yang aku belajar dalam perjalanan ini disamping mengenali kawan-kawan baru yang baik dengan pelbagai latar belakang!

Lagi sekali aku naik flight ke Guangzhou untuk pulang ke Kuala Lumpur! Kali ini pemeriksaan tidaklah seketat seperti mana ke Xinjiang sebelum ini! Menurut ketua grup kami, kalau di Airport Xinjiang, kami kena buka tudung sewaktu discan seluruh badan! Oleh kerana itu trip kali ini, satu tempat menarik di Xinjiang di batalkan kerana terpaksa menaiki filght!

Jauh berjalan luas pandangan dan banyak pengalaman! Jangan lokek reward untuk diri sendiri! Bagiku melancung itu sangat bernilai dibanding seutas rantai emas dan berlian. Cantik di pandang tetapi tidak dapat dirasai dengan jiwa! Insyaallah kawan-kawan, kalau ada rezeki, sihat tubuh badan aku akan melancung lagi!

* Sesuatu yang menarik, ada porter wanita di salah sebuah hotel aku menginap! Mereka memakai skirt dan bertumit tinggi! Tetap bergaya walaupun memunggah beg besar berkali-kali dan menghantar hingga ke pintu hotel! 

* Di stesen keretapi di Turpan, beberapa porter wanita  mengangkat beg besar naik tangga tinggi! Stamina mereka kuat apatah ketika itu mengejar masa! Mungkin tekanan ekonomi dan desakan hidup mereka menjadi lebih gagah walaupun badan tidaklah sebesar manapun!


 Salah sebuah masjid di Lanzhou.

Peniaga ini sedang buat mi tarik di Muslim Street, Xian.

The teracotta warrior. Bangunan pameran ini seluas stadium bola. Ada tiga bangunan carigali teracotta.

Aku terserempak dengan pelajar pulang dari madrasah di Linxia.

Sebuah masjid lama berciri reka bentuk klasik china. Cholok dipasang dkawasan masjid untuk mewangikan suasana. Berbanding tokong china motif rekaan dengan haiwan dan patung! Hiasan dan rekabentuk dimasjid bermotif tumbuhan dan ukiran khat.


Pelbagai kismis dan kacang dijual.

Masjid Xiquan di Lanzhou.


Hiasan dan reka bentuk dalaman masjid lama.

Buah lai china yang muda di persekitaran masjid.

Muslim street di Xian.


The City wall  dibina dari diceroboh oleh musuh beberapa abad yang lalu.











Kulihat hijau...

Sambungan

Hari ini kami bergerak ke Xining. Lamanya perjalanan tujuh jam sebab mendaki daratan tinggi dan berliku-liku! Masak-masak... berkematulah punggung duduk lama sangat! Perjalanan ke Xining cuaca perlahan-lahan berubah kesejuk.

Kami melewati sempadan Qinghai menuju ke Tasik Masin Qinghai, Xining. Tasik Masin Qinghai adalah tasik terbesar di China. Kalau pembaca rajin mengoogle tasik ini sangat cantik dikelilingi sejenis pokok renik berwarna kuning! Kali ni bas tak boleh gerak laju. Pendakian semakin tinggi!

Biarpun perjalanan lama, aku tidak terasa bosan sebab dihidang pemandangan sangat cantik! Kiri kanan padang rumput hijau, air sungai jernih mengalir. Menakjubkan kelihatan bebiri, yak, kuda dan lembu meragut rumput.  Dari jauh di atas puncak bukit bebiri kelihatan seperti kapas! Malangnya kami tidak dapat turun kerana jalan sempit tiada ruang untuk bas berhenti!

Sepanjang perjalanan aku terlupa entah berapa kali kami masuk terowong. Gunung batu ditebuk menjadi terowong! Memang dahsyat teknologi dan pembangunan mereka. Aku melihat empangan yang sangat besar di aras 1500 meter dari laut!

Kami singgah di sebuah bandar kecil dihuni oleh etnik Tibet. Kebanyakan mereka Islam! Kami makan tengahari dan bersolat di sini! Hampir remang senja kami sampai ke Tasik Masin Qinghai, memang tak banyak aku snap gambar! Cuaca semakin sejuk. Bila dah banyak jalan perut pun lapar! Di sini banyak kedai halal dan hotel.

Akhirnya kami sampai ke Linxia atau di kenali sebagai Little Mecca! Hari ini perjalanan memang meletihkan! 8.30 pagi kami gerak pukul 12.00 sampai ke hotel. Fuuhhh!! Yang paling lucu daripada riuh rendah merungut bila nak sampai, akhirnya terus senyap kerana terlalu letih! Tapi aku tabik kepada mereka walaupun berusia dari aku tapi cukup berstamina kerana mereka semuanya kaki jalan!

Kami disambut dengan ucapan salam. Pekerja di lobi memakai tudung! Pekerja lelaki memakai songkok (kupiah) putih.



Bersambung...












Tuesday, October 27, 2015

Panas… tetap berbaloi!

Assalamualaikum pembaca...

Dari Turpan, Xinjiang kami menaiki keretapi laju ke Dunhuang (provinsi Gansu) sejauh 600 km. Sepanjang perjalanan kiri kanan hamparan gurun Gobi yang panas tanpa tumbuhan dan haiwan mengiringi kami! Kalut juga ketika kami nak keluar dari keretapi kerana masing-masing membawa beg besar. Kami merancang betul-betul agar beg boleh dikeluarkan mengikut waktu keretapi berhenti.

Mencungap juga sebaik sampai di stesen keretapi, masing-masing bekerjasama menyambut beg. Tak sangka sungguh efisen! Kami meneruskan perjalanan dengan bas selama tiga jam ke Dunhuang. Cuaca amat panas lebih 45 darjah celcius. Aku pastikan minum air secukupnya. Tabik kepada pemandu bas yang sabar dan tidak letih-letih! Kiri kanan gurun Gobi, bilalah nak nampak pokok-pokok!

Masuk saja bandarraya Dunhuang keadaan lengang! Besar, cantik dan bersih! Tetapi... di sini aku tak nampak orang muslim seperti di Xinjiang. Ketika kami keluar dari restoran, aku ternampak satu keluarga muslim lelaki berkopiah putih dan wanita bertudung ralit memerhatikan kami. Mereka berhenti dipersimpangan jalan seolah-olah ingin menegur kami sambil tersenyum! Kami memberi salam dan melambai-lambai...Malaysia, Malaysia! Mereka terangguk-angguk tersenyum. Mereka betul-betul teruja kerana kami muslim!

Di Dunhuang apa menarik ialah sand dune atau padang pasir berwarna pucat keemasan. Pasirnya sangat halus sehingga sukar untuk aku berjalan. Bagi mereka yang cukup stamina bolehlah mendaki ke atas bukit! Hasrat aku nak pijak padang pasir dan menyentuh pasir yang halus tercapai seperti mana sebelum ini hasratku ingin mengepal salji tercapai jua! Sempat juga aku merasa naik unta berbonggol dua. Seronoknya digeleknya pinggang aku! Kalaulah hari-hari naik unta mesti ramping pinggang!

Kami ke Jiayuguan melawat Jiayaguan Pass, Overhanging wall iaitu menara pertama tembok besar China! Paling kami tidak sabar dan tertunggu-tunggu untuk melihat Bukit Pelangi atau Danxia Landform di Zhangye. Subhanallah cantik dan unik. Tiada sebarang tumbuhan di sini. Ada tiga peringkat untuk melihat view bukit pelangi ini. Ketika aku mendaki keatas punyalah angin kuat. Tangga pula tiada pemegang pastikan berhati-hati mendaki! Nak putus nafas aku sampai ke atas kerana keletihan ditambah tekak kering dan angin kuat...cepat-cepat aku teguk air dan menarik nafas dalam-dalam. Tapi hasil pandangan sangatlah menakjubkan!

Bersambung

Inilah Bukit Pelangi...bukan tipu ya! Warna berbeza dari satu tempat ke tempat lain!

Oasis di Sand Dunes. Jernih airnya. Bukit pasir dibelakang macam ombak dan permukaan yang licin!

Siapa larat dakilah ke atas!


Pagoda di tengah padang pasir dan oasis di sebelahnya. Warna pasirnya pucat!


Sebahagian menara Jiayaguan Pass dan bersambung dengan tembok besar China.

Inilah pintu pertama tembok Besar China.

The hanging wall China. Sebahagian tembok besar china. Membezakan dia tidak selebar seperti di Beijing! Panasnya di sini macam di Mekah!


Beralun-alun sand dunes sangat cantik!

Bukit pelangi macam kek lapis pulak!



Sunday, October 25, 2015

Kembara laluan sutera China

Assalamualaikum pembaca yang dirindui semoga sentiasa di bawah lindungan-Nya.

Aku ingin meminta maaf kerana sudah lebih dua bulan meninggalkan halaman ini tanpa disirami air dan baja. Tak tahu kenapa rasa malas dan hilang mood! Mungkin faktor pc aku sudah uzur dan slow sebanyak sedikit menganggu konsentrasiku!

Dalam tempuh dua bulan menyepi diri macam-macam perkara aku lalui..sedih dan gembira. Rasanya biarlah aku kongsi cerita santai semoga pembaca terasa seronok!

Bulan lepas aku bercuti ke China. Usia macam aku memang selayaknya mengikut travel agensi! Sediakan saja duit! Satu kelebihan tidak perlu aku nak cari teman! Sampai sana akan ada teman baru! Pokoknya pandai menyesuaikan diri dan bergaul!

Sudah lama aku ingin ke sini. Ekplorasi laluan sutera China! Laluan sutera ini sudah bermula sejak 2000 tahun lalu di mana pedagang dan kabilah berdagang dari Xian (provinsi Shannxi) hingga ke Barat (Rom). Kesan dari sepanjang laluan ini pengaruh Islam dan budaya Islam ujud.

Perjalanan ku bermula dari KL transit ke Guangzhou. Selepas itu ke Urumqi ibu negeri Xinjiang, sebelah Barat China. Dulu di kenali sebagai Turkestan Timur! Pemeriksaan ketat keatas penumpang ke Xinjiang. Xinjiang sudah lama di anak tirikan oleh kerajaan china. Majoriti Islam, kaya dengan galian. Aku rasa pembaca boleh dapat maklumat mendalam tentang Xinjiang melalui internet.

Terdiri pelbagai etnik dan kaya dengan pelbagai budaya dan bahasa. Bahasa utama Uighur dan Mandarin. Wajah mereka unik dan menarik. Uighur  warisan dari Turki beragama Islam. Hui tipikal china tetapi muslim. Manakala Han tipikal China beragama buddha diimpot oleh kerajaan China sejak tahun 50an untuk membendung populasi Uighur! Sekarang populasi etnik Uighur dan Han hampir menyamai!

Aku berada di Xinjiang selama empat hari tiga malam. Kesempatan melawat Lembah anggur, Flamming Hill, Heavenly Lake sebuah tasik yang cantik. Malangnya ketika kami sampai cuaca berkabus. Gambar pun tak cantik.

Xinjiang sebuah negeri yang panas sebahagian besar diliputi gurun. Namun kelebihan ia menghasilkan buah-buahan yang sangat manis seperti anggor, tembikai, rock melon dan macam-macam lagi.

Ok cerita ni bersambung...tunggu ya!

Handsome jejaka ni dari etnik Uighur


Ladang anggor ni depan hotel  saja!

Semuanya manis! Nak bawa balik tak tahan pulak!

Heavenly Lake atau tasik Tianshi....cantik tapi matahari malu pulak!

Kemah etnik Kazakh...tidak jauh dari tasik

Cantik bunga liar ni di sekitar tasik ni

Pertunjukan budaya...memang best diseri pula jejaka tampan berhidung mancung...memang unik wajah mereka!

Masjid Menara Emir di bina di kurun ke 17...lupa pulak!

Anggor berjuntaian di lembah Anggor..tetapi ini bukan diladang - persinggahan untuk pelancung.


Flamming Hill teramat panas..ketika ini suhu 55 darjah celsius waktu petang...kalau tengahari mencecah 70 darjah celcius...boleh masak telor!

Saturday, August 1, 2015

Warnailah kehidupan ini!

Assalamualaikum pembaca disayangi dan rasanya belum terlewat di bulan syawal ini aku memohon maaf kalau ada tersinggung, terasa apa ditulis di dalam blog ini.

Rasanya satu bulan aku tidak update blog ini. Ya Allah sibuknya dan kemalasan yang melampau! Bagaimana sambutan raya pembaca masing-masing. Setiap orang menyambut dengan cara berbeza yang penting kita dapat berkumpul dengan keluarga.

Alhamdulillah tahun ni keluarga aku dapat berkumpul semua. Syukur anugerah dari Allah! Nikmat kasih sayang jangan kita abaikan! Kalau rasa kecil hati atau berjauh hati jangan diikutkan perasaan hati! Yang penting jangan jemu bermohon pada Allah agar apa yang sulit dapat dimudahkan!

Aku pernah melalui liku ini, berdepan pelbagai krisis dalam famili! Bukan bermakna keluarga aku tidak baik! Tapi Allah bagi ujian itu untuk melihat sejauh mana kita mampu mengatasi  masalah dengan hati terbuka. Adakah kita ikut saja ibarat air sungai yang mengalir ada kalanya deras dan ada kalanya lesu! Di bulan syawal cerita sedih, cerita gembira melingkari dalam keluargaku. Namun itulah hakikat kehidupan! Kalau baik yang kita pilih, baik jua hasilnya!

Jangan jadikan hari raya itu hari percutian peribadi! Allah jadikan hari raya itu untuk kita bergembira setelah sebulan berpuasa di samping berkumpul bersama saudara. Namun tidak dinafikan ada orang mengambil mudah dan tidak mengumpamakan apa makna hariraya itu. Di kala bersama keluarga dipagi raya dan pulang dari masjid dan bermaafan ada juga yang tercongok di stesen keretapi di luar negara! Sepatutnya di kala itu telinga kita di belai syahdu dengan takbir memuji Allah! Tapi lebih sanggup melihat warga asing di negara asing mabuk-mabuk di depan mata sendiri!

Itulah hakikat sebenarnya. Mereka yang memilih kehidupan itu adakah jiwa akan tenang?
Aku memahami orang begini mengalami kekosongan jiwa! Tapi kenapa mesti jauh dari Allah! Ia tidak akan menyelesaikan masalah. Aku berharap mereka ini berubah dan kembali menerima hakikat kehidupan sebenarnya kita! Kita adalah hamba-Nya. Selagi tiada nilai-nilai kehambaan dalam jiwa, tidak lengkaplah kita yang mengakui Allah itu yang kita sembah!

Masalah itu adalah anugerah dan sangat manis rasanya kalau kita dapat menikmati gula yang tersembunyi di dalamnya! Carilah jangan cepat rasa kecewa dan putus asa! Letakkan target waktu, masa dan usia untuk kita berubah menjadi terbaik di sisi-Nya! Hanya Allah yang layak memberi merit kepada kita! Kalau itu pegangan kita, insyaallah kita tidak mudah rasa kecewa dan putus harapan!

Semoga hari-hari yang kita lalui itu dihiasai bebunga yang wangi dan berwarna-warni!




Sunday, June 28, 2015

Kalaulah usia masih muda....

Assalamualaikum pembaca disayangi semoga ceria dan menjalani ibadah puasa ke 10 hari. Pantasnya masa berlalu. Rasanya satu minggu macam tiga ke empat hari sahaja. Pelik bukan jam tetap berdetik macam biasa tapi masa semakin pantas sehingga kita tidak mampu mengejarnya!

Bagaimana mereka yang mempunyai kehidupan berkeluarga, sedangkan aku sendirian berhad pun tidak cukup masa! Jadi rancanglah masa dengan bijak dan ikutlah kemampuan diri! Aku respek pada mereka yang boleh buat dua ketiga pekerjaan dalam satu masa! Contohnya dalam Ramadan ni ada yang mampu buat biskut hingga ke pagi lepas tu bersiap nak pergi kerja pulak! Itu pengalaman dari ofismate akulah!

Terus teranglah aku tak mampu! Badan ku bukan macam 20 tahun yang lalu! Dulu kerja apa aku tak buat! Kerja kasar lelaki aku buat! Masa tu badan kuat dan lambat rasa letih! Tenaga macam lelaki! Sekarang kenalah akur, Allah sudah tarik nikmat itu perlahan-lahan! Sendi-sendi, urat-urat semua dah sakit! Pendek kata badan ni sekarang terlebih manja sehingga sendi makin mengetat!

Bila fikir persiapan hari raya mulalah aku rasa lemah! Nak buat biskut hii malasnya! Beli pulak mahal rasapun tak seberapa...buruk-buruk biskut aku pun rasa masih sedap. Oleh kerana diserang sindrom malas yang melampau, aku buat biskut tak perlu guna acuan! Lecehhhh! Semua jenis biskut aku gentel letak dalam cup! Selesaiiii! Bila sudah masuk dalam balang rupanya cantik berwarna warni lama-lama biskut tu semua terpisah dari cup! Haha habis juga! Memang orang macam aku tak layak buat kerja berlembut ni!

Maklumlah aku perangai kasar macam lelaki. Masa kecik-kecik kawan dengan budak lelaki pakai seluar pendek panjat pokok, terjun dari jambatan ke dalam sungai! Memang seronok! Bulan puasa pun merayau tak tahu letih.

Satu ketika di bulan puasa beberapa tahun yang lepas, aku balik kampung. Kakak aku ada bela kambing boer yang besar. Seekor kambing beratnya mencecah lebih 40 kg. Ada seekor tu dah lama monyok tak sihat. Asyik sayang saja sembelih pun tidak juga. Memandangkan kambing tu makin lemah akhirnya kakakku menyuruh jiran sembelih kambing itu!

Masalahnya siapa nak melapah ni. Kebetulan jiranku pun sibuk dan ada hal maklumlah nak raya. Mahu tak mahu aku dan kakaklah buat kerja lelaki ni! Parang pulak tumpul...aduh sabar ajelah! Masa mengantung saja jiranku bantu sebab berat! Lepas tu kerja melapah bermula! Aku ni sebenarnya seorang penyayang pada haiwan. Mudah kasihan! Mungkin berkat bulan puasa tu Allah beri aku kemampuan melawan perasaan itu! Selesai mengeluarkan segala isi perut kambing kerja menyiang pulak!

Yang kelakarnya kakak aku entah berapa kali berbaring atas tikar yang di bentang kerana sakit pinggang! Pendek kata 70 peratus kerja melapah dan menyiang tu akulah yang buat! Huissh letihnya ujian bulan puasa! Kalaulah dapat teguk air batu bandung waktu itu mahu satu jug besar pun boleh habis kerana hausnya!

Bila aku renung balik macamana aku boleh selesaikan kerja itu! Hakikatnya kerja kasar tu memang kesukaanku sebab itu yang aku mampu berbanding kerja-kerja lembut biarpun usiaku bukan muda lagi! Jadi dalam hidup ini tidak perlu kita mengikut orang! Kita buatlah sesuatu yang kita suka dan mampu kita buat. Allah jadikan hamba -Nya berbeza-beza!

Tidak hairanlah lepas kenduri atau hari raya kerja-kerja menyental periuk hitam masih aku yang lakukan! Biarpun badan sana-sini dah rasa sakit. Masa tulah sendi-sendi diguna sepenuhnya! Tenguklah raya tahun ni! Harap-harap tahun ni taklah kut!

Kambing boer kesayangan kakakku kini sudah tiada lagi. Habis dijual! (Gambar hiasan)








Sunday, June 21, 2015

Syukur seadanya kita!

Assalamualaikum pembacaku dikasihi semoga sentiasa dirahmati Allah swt dan selamat menjalani ibadah puasa. Aku juga ingin memohon maaf seandainya ada perkataan yang menyinggung perasaan pembaca dalam posting tanpa disedari atau sedar! Yang buruk datang dariku dan yang baik datang darinya.

Syukur alhamdulillah Allah mengizinkan aku bernafas di bulan Ramadan tahun ini. Tiada apa yang beza, apa yang aku harap ibadah puasa tahun ini lebih terbaik dari sebelumnya. Sudah bertahun-tahun kehadiran Ramadan, tidak ada apa yang mengembirakan hatiku melainkan syukur kepada-Nya. Usia sudah separuh abad bukan lagi memikirkan soal keseronokan menyambut Raya....tetapi semakin dekat pada kematian!

Ibuku meninggal di bulan Ramadan dua minggu menjelang Raya! Usianya ketika itu 49 tahun! Betapa bersyukur kepada-Nya kerana aku masih hidup melewati usia 49 tahun. Aku mesti merencana kehidupan kearah sana bukan lagi keseronokan. Ini bukan bermakna aku menolak dunia! Cuma aku harap bila aku seronok aku tidak cepat lupa pada-Nya.

Biarpun kehidupan aku tanpa suami dan anak-anak, aku gembira tidak pernah rasa sunyi kerana tinggal bersama keluarga adik yang rapat sejak kecil. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi adikku dan suaminya yang amat memahamiku! Jangan kita rasa kekurangan diri terimalah takdir Allah dengan redha! Jangan kita rasa lokek untuk berkongsi masalah dan kewangan dalam keluarga.

Hidup ini berputar! Jangan kita mementingkan diri sendiri bermusuh dengan darah daging dan saudara mara. Kalau berselisih faham, cepat-cepatlah selesaikan bukan disimpan atau berdendam. Bagiku tidak kira siapa yang bersalah, jangan ego tapi hulurkan kemaafan. Terpulang pada mereka terima atau tidak! Kalau Allah mengizinkan perkara yang baik segeralah kita lunaskan! Itu tanda Allah mengasihi kita. Jangan jadikan hati menjadi hitam kerana sifat pendendam, sombong dan tidak boleh ditegur.

Aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca kisah tentang jiran di sebelah rumah! Mereka dua beradik, setahu aku mereka tidak pernah berkahwin. Kakaknya seorang pesara penjawat awam. Adiknya seorang doktor  berpangkat tinggi di sebuah organisasi penyelidikan! Anggapanku mereka dari keluarga berada kerana memiliki kereta mewah! Namun kami kurang bertegur sapa berbanding jiran di depan rumah. Mereka tidaklah sombong, tapi karektor mereka membuatkan kami terbatas untuk mengenali lebih dekat!

Tahun lepas dibulan ramadan aku mendapat berita adiknya jatuh di tangga dan koma. Berita itu pun kami tahu dari jiran selang serumah. Kerap juga adikku telefon dan mesej pada kakaknya untuk mengetahui keadaan adiknya tapi tidak pernah berjawap! Kami simpati pada kakak itu kerana dialah menjaga adiknya hampir setahun di hospital. Hanya hari Jumaat kakaknya pulang kerumah sekejap. Kakak itu kelihatan kurus dan macam orang sakit! Hanya Allah sahaja tahu beratnya dia menanggung ujian! Kalau sebelum itu ketika adiknya sihat, kakaknya ada menemani siadik bertugas ke luarnegara. Kakak ni ada juga bersembang dengan bibik adikku!

Tanpa disangka beberapa hari bulan ramadan menjelma, sibibik ternampak kakak tu keluar dari kereta memandang kiri kanan dalam keadaan amat berhati-hati! Mungkin bibik perasan kakak itu tidak selesa lantas dia masuk ke dalam rumah...rupa-rupanya adiknya yang koma itu berada dalam kereta dan dibantu oleh seorang perempuan Filipina. Aku meninjau di tingkap ternampak adiknya duduk di kerusi roda. Sedihnya! Sukar aku nak cakap keadaannya! Samada siadik berterusan dalam keadaan begitu hanya Allah yang mengetahui. Semoga dia sihat dan pulih seperti biasa.

Si bibik ada bercerita ternampak kakak itu ketika memanaskan enjin kereta adiknya sambil menangis, memukul stering kereta! Kasihannya dia melepaskan perasaan sedih  dan segera menyapu air mata sebaik keluar dari kereta! Namun sehingga ke hari ini aku mahupun adikku masih belum pergi menziarahi. Bukannya tidak mahu tapi sikap kakak itu membataskan kami. Pernah suatu hari tergerak aku menegurnya ingin bertanya khabar adiknya ketika dia menyiram pokok bunga tapi lidahku kelu kerana dia langsung tidak memandang.

Biar apapun caranya, berat mata memandang berat bahu memikul. Mungkin kakak itu bahagia dengan caranya! Aku berdoa agar kakak itu terus sihat dan adiknya segera pulih seperti sedia kala. Namun perkongsian itu tidak salah sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung. Kisah kakak itu telah mengetuk hatiku, bersyukurlah apa yang kita ada! Dalam kelebihan ada kekurangannya! Dalam kesedihan kita, ada orang lagi sengsara hidupnya!

Semoga sikakak tabah dan adiknya pulih sepenuhnya.







Sunday, June 7, 2015

Mana cakpong?

Assalamualaikum pembaca-pembaca yang sudi membaca blogku yang suam-suam kuku semoga dirahmati Allah Taala.

Rasanya sudah lebih dua minggu aku tidak posting story kerana kesibukan kerja yang tak habis-habis ditambah pulak kenduri sana-sini. Aku cuba sedaya upaya update untuk pembaca dikasihi! Tiada kata yang mengembirakan pabila pembaca-pembaca sudi membaca blog aku! Terima kasih aku ucapkan!

Bila sebut kenduri kahwin...terbayanglah kesibukan tuan rumah membuat persediaan sehingga tidak cukup tidur, risau takut tak cukup bajet hii macam-macamlah difikir! Pokok pangkalnya duit! Banyak duit lebih mudah persediaan, kalau kurang duit kenalah banyak guna tenaga dan pengurusan yang bijak. Terserahlah kepada tuan rumah!

Minggu lepas berlangsung majlis perkahwinan  saudaraku kebetulan sebelah rumah sudah pasti kami menjadi orang penanggah. Tak bolehlah sekadar menghadiri diri makan dan balik! Tu namanya kurang adab dan tidak umpamakan saudara! Hidup ni mesti tolong menolong!

Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang. Oleh kerana keluarga pihak pengantin lelaki datang dari jauh (pantai timur) keluarga pengantin perempuan telah menyediakan tempat bermalam di pusat kokurikulum kebetulan majlis berlangsung di situ. Memang selesa apatah rombongan yang datang  itu seramai satu bas dan satu kereta!

Anak saudaraku, cikgu sekolah yang biasa mengurus anak-anak muridnya bermain muzik cak lempong untuk majlis perkahwinan telah diberi mandat untuk mengatur program ketika pengantin sampai dan bersanding. Sepanjang majlis berlangsung para tetamu dihiburkan bunyian muzik cak lempong. Memang meriah!

Saat ketika  rombongan pengantin  dari pantai timur melangkah ke majlis tersebut, adik pengantin perempuan memberi tahu tak perlu ada kompang mengiringi kepada anak saudaraku! Terkedu anak saudaraku walhal dia diamanah oleh mak pengantin menyusun program tersebut. Murid-muridnya sudah standby dengan kompang. Serba salah dibuatnya!

Maka berlangsunglah rombongan pengantin menuju ke majlis itu dengan senyap tanpa iringan alunan kompang! Sebaik pengantin duduk di atas pelamin, rombongan pengantin lelaki terus serbu bergambar sakan dan mengamit yang lain untuk bergambar! Sepatutnya ketika itu murid-murid sekolah mempersembahkan paluan cak lempong tapi pelamin penuh dengan rombongan tanpa rasa sensitif kerana ini majlis orang! Majlis cicah inai sepatutnya diadakan ketika itu langsung tiada gara-gara seronok sakan bergambar!

Kini barulah aku tahu, anak saudaraku mengadu, dia sangat ralat! Rancangan sudah diatur, boleh pulak rombongan pengantin lelaki nak berselawat semasa mengiringi pengantin! Bila anak murid-murid sudah mula berkompang boleh pulak seorang dari rombongan itu menunjuk isyarat tangan 'stop, stop'! Eehhh sedar ke ni majlis orang dan kau tu tetamu! Tanpa rasa bersalah, mereka pun berselawat tapi tetamu tidak dengar pun sebab mereka tak pakai mic.

Rupa-rupanya ada juga perangai manusia tak tahu adab ke majlis orang. Konon nak cari pahala nak tunjuk sangat Islamik tapi sedar tak apa hukum merosak majlis orang! Sedangkan tetamu dilayan dengan baik dan diberi kemudahan sebagai tetamu! Bukannya tidak biasa mengiringi pengantin dengan selawat Nabi! Kalau berhajat sangat nak berselawat beritahu awal-awal sebab pihak pengantin perempuan sudah menempah kompang dan itulah majlis perkahwinan sulong anak mereka! Insyallah kompang mengiringi pengantin, selepas itu rombongan pengantin lelaki boleh berselawat dengan mic dan semua tetamu berdiri bersama-sama berselawat! Bukan susah pun! Tapi nak merosakan majlis memang mudah!

Nak kata mereka muda tapi sudah berusia! Kadang-kadang kita lupa di mana kita berdiri! Islam itu mudah! Menghormati majlis adalah adab yang termasuk dalam ajaran Islam. Konon pahala hendak dicari tapi dosa yang dapat. Jadikan kejadian itu iktibar untuk kita semua! Bila tuan rumah menghargai tetamu, tetamu sepatutnya berterima kasih tapi sudah melawan tauke! Tepuk dada tanya iman!

MC tak sempat annouce mereka dah serbu atas pelamin bergambar sakan tanpa perdulikan
tetamu tuan rumah yang hadir!






Saturday, May 16, 2015

Namun ku punya hati!

Kekal hati yang hijau sehingga akhir hayat kita.....







Assalamualaikum pada pembaca yang disayangi semoga sihat disamping dapat beramal di sisi-Nya.


Alhamdulillah ketemu kita di alam maya! Maaf sudah lama aku tak posting kerana kesibukan tugas! Nak tulis apa errrk! Ilham-ilham datang kau segera! Hiii apa nak tulis ni! Kalau aku terus malas alamat blog ni terus jadi gajah mati...biarlah merangkak asalkan ada penyerinya!


Tiba-tiba aku teringat satu peristiwa sedih! Akulah menjadi saksi dalam peristiwa tersebut! Abu anak jiran berusia belasan tahun memang pelajar pandai dan aktif aktiviti sekolah. Namun kelebihan dia tidak pernah disanjung tinggi oleh ibu bapanya. Apa saja Abu buat terbaik ibu bapanya buat-buat tak nampak!


Ibubapa Abu lebih memberi tumpuan kepada abangnya, Lokman seorang oku yang cacat kaki dan tangannya sehingga sukar untuk makan dan bergerak sendiri. Ini membuat Abu menjadi bengang dan sakit hati. Sudahlah tidak pernah dipuji  disuruh pulak Abu memberi makan bila ibu tiada di rumah!


Hati Abu bertambah bosan dan marah! Maka terdengarlah bisikan syaitan agar membuat sesuatu kepada abangnya, yang sedang menganga mulut minta disuap! Biarpun Lokman insan cacat dan tidak boleh bercakap tapi akalnya normal! Hati Abu panas meluap-luap bila tenguk abang Lokman mengangga-nganga mulut macam anak burung! Nahhhh! Makan, makan lapar sangat ya! Tanpa rasa kasihan Abu menyumbat nasi kedalam mulut abangnya tanpa berhenti-henti! Belum habis mengunyah Abu suap lagi!


Lokman tercekik sampai naik buntang matanya! Tercekik ya! Minum air ni. Abu menyua air paip yang ditadah di dalam kole. Bila Lokman nak minum ditarik kole itu sambil ketawa mengekek-gekek! Sempat dua tiga teguk abang Lokman minum, Abu menyiram air ke atas kepala abangnya! Puas hati Abu meninggalkan abangnya yang menangis tersedu-sedu!


Perbuatan jahat Abu tidak pernah diketahui oleh ibu bapanya yang selama ini menaruh harapan boleh menjaga ketika mereka pergi ke ladang. Satu hari Abu buat hal lagi. Lagi sekali Abu ditugaskan memberi makan abang Lokman kerana ibu Abu membantu  jiran memasak kerana ada kenduri. Abang Lokman seperti biasa duduk di lantai sedia untuk disuap. Abu menyenduk luah kari kedalam baldi dan ditambah air paip sehingga setengah baldi.


Ambik kau! Kau mandi sekarang ya! Abu mencurah air bercampur kuah kari itu ke atas kepala abang Lokman. Abang Lokman menangis kepedihan sambil mengosok mata dengan tangannya yang bengkok itu! Abu bagaikan dirasuk hantu...dan terus mencelup air itu dan melumur pada muka abang Lokman! Abang Lokman terus meraung-raung!


Woiiii ni kerja kau ya Abu! Terkejut Abu tak sangka bapanya balik awal. Bapa Abu hilang sabar terus merembat Abu sampai separuh mati. Belum aku mati kau dah kerjakan abang kau! Macamana kalau aku dah mati nanti! Nah rasakan! Bukan setakat itu bapa Abu mengheret Abu ke halaman diikat pada pokok rambutan!


Ditinggal Abu hingga ke malam tiada siapa peduli. Abu kelaparan, sakit dan digigit nyamuk lagi. Timbul penyesalan di hati Abu. Tiba-tiba Abu ternampak pintu dapur berkuak perlahan-lahan, macam tidak percaya Abu melihat abang Lokman mengensot-gensot dan dimulutnya menjinjing air minuman di dalam plastik! Ya Allah kau ampun dosa aku. Mulianya hati abang Lokman! Bagaimana abang Lokman turun dari tangga dan mengisi air minuman ke dalam plastik!


Abang Lokman mendekati Abu, dan menyua bekas plastik kepada Abu. Tapi Abu tidak dapat mencapainya sebab tangannya terikat! Abu meraung menyesal malu pada dirinya sendiri. Baiknya hati abang Lokman biarpun selalu dihina oleh adiknya.


Airmataku meleleh entah berapa kali aku menyeka menyaksikan peristiwa tersebut! ....Pukkk! pukkk! Pukkk! Terkejut aku, rupa-rupanya Mardiah menepuk cermin kereta aku setelah 10 minit berada di dalam kereta dengan enjin kereta terpasang! Potong steam betul si Mardiah sambil mengesat air mata yang benar-benar menyentuh jiwaku setelah  kehilangan anak saudaraku lima bulan lepas.


Itulah rancangan kegemaranku Aku, Dia dan Lagu (Radio Klasik) berkumandang setiap jam 5.30 hingga 6.30 petang. Biasanya aku tidak sempat mendengar satu cerita sehingga habis! Cerita benar dikongsi dari pengirim yang pernah melalui peristiwa silam dengan cerita gembira, sedih dan lucu. Belum sempat habis cerita, aku dah sampai di depan rumah!


Selamat mendengar rancangan Aku, Dia dan Lagu.

Sunday, April 26, 2015

Tegarnya hatimu!

Alhamdulillah bertemu sekali lagi dengan pembacaku yang dikasihi semoga dipermudahkan segala urusan!

Rasanya lebih sebulan juga corat-coretku kisah percutian di Turki! Harap-harap lepas ni hasrat untuk pergi ke satu negara yang lama terpendam akan dimakbulkan Allah swt! Hanya masa dan ketika sahaja. Betullah berjalan ni ketagih dibuatnya! Kenalah cari extra money dan berjimat cermat!

Kali ini aku nak berkongsi dengan pembaca sekelian tentang hati! Yalah, aku ni sorang-sorangkan! Dah tua-tua ni nak fikir yang baik-baik saja! Sebenarnya aku rasa sedikit kesal tentang seorang kawan dan juga sepupuku biarlah aku namakan S berterus terang memutuskan silatulrahim denganku! Ini ekoran posting blogku bertajuk 'Antara lorong nostalgik dan kisah sebuah rumah' diposting pada bulan Ogos tahun 2014. Kisah itu ada menyebut tentang tuan tanah iaitu datuk kepada S dan juga moyang kepadaku!

Aku tidak mahu komen panjang hal ini. Baru-baru ini aku mesej sekali lagi bertanya khabar bila mendengar kau masuk hospital! Aku mengajak berbaik-baik semula! Lagi sekali aku memohon maaf! S sekarang mengalami krisis dalaman dengan keluarga dan juga sepupunya sendiri! Aku tahu tika ini jiwa S kusut dan gelisah apatah sudah berpisah dengan suami! Anak sulung pula berkahwin dengan suami orang yang ada firma guaman sendiri! 

Aku ingat bila perkara ni dah lama berlaku S akan sejuk! Aku tersilap! Aku dibalas perkataan seolah-olah tiada iman di dalam dirinya! Selama ini aku mengenali S seorang yang manis bertutur! Tenguk saja dalam FBnya ramai terpesona dengan perkataan hebat dan motivasinya! Seorang pemaaf ! Rupa-rupanya kau berhati serigala! Aku benar-benar tertipu! Pengalaman pahit kau diuji tuhan rupa-rupanya menjadi kau lebih tegar dan mulut kau amat berbisa!

Selama ini aku bersangka baik pada S rupa-rupanya tersilap! Aku masih belum cukup mengenali S! Artikel aku dijadikan alasan untuk menghukum aku. 'Tulisan kau, aku anggap pemutus silatulrahim dan hubungan darah aku dan kau! Itulah mesej dari dia! Teruk sangat ke artikel aku tu! Sedangkan kaum kerabatnya tidak kisah pun! Hebat sangatkah kau sehingga tidak boleh tersentuh sikit biarpun artikel itu berkisar tentang semangat ibuku yang melawan penyakitnya! 

Kebaikan aku dan perkongsian kisah sedih kau bersamaku langsung tidak dihargai! Siapalah aku! Aku tiada anak! Kau ada anak-anak yang cantik dan tampan yang boleh menjaga kau di masa depan! Kau menjatuhkan hukum atas kesilapan orang, tapi kau tidak menyedari bila anak saudaraku dan juga anak saudara sepupumu sendiri meninggal dunia! Apa kau kata? Jauh sekali nak ucapkan takziah....tapi kau semburkan kata-kata tidak sepatutnya pada orang yang menyampaikan berita tentang kematian itu!

S, aku ingat hati kau selembut baldu! Ya, aku sentiasa muhasabah diri dan buang egoku, mengaku kesilapan dan kelemahanku! Aku  mohon maaf padamu kerana aku tidak mahu diperkatakan cerita buruk tentang diriku bila aku mati kelak! Aku tiada daya untuk mengubahmu melainkan doa yang baik untuk mu! Semoga Allah beri petunjuk dan hidayah dan berubah sebelum jantung kau terhenti! Kau tahu bukan apa hukum memutus silatulrahim yang termaktub di dalam al-Quran. Berbaik-baiklahlah kau dengan abang kandungmu, sepupu-sepupumu dan orang keliling yang benar-benar mengenalimu!  


Tariklah perkataan yang kau lepaskan padaku. Aku takut ia menjadi ketulahan pada diri kau sendiri! Kalau kau benar-benar sayangkan arwah datukmu, buatlah terbaik bukan menyakitkan kerana arwah mengharapkan waris-waris yang hidup untuk menyambung kebajikan yang tidak sempat dilunaskan! Kau hanya hebat berbicara dengan ilmu tapi kau tidak pernah berbicara dengan hati! Semoga Allah ampunkan dosa kau dan renung-renunglah kataku dengan mata hatimu!

Jadikan hati kita umpama salji yang mencair di bawah panahan mentari
dan memudahkan setiap langkah kearah kebaikan!













Saturday, April 18, 2015

Istanbul aku akan datang lagi!

Assalamualaikum para pembaca yang sudi membaca blogku. Semoga kalian sentiasa diberkati rezeki dunia dan akhirat!

Sebaik aku melangkah keluar dari lif aku terpandang seorang lelaki kurus berambut hitam, berjanggut dan bermisai nipis. Aku dah dapat agak inilah si Ardan. Berbadan kurus, bermata coklat gelap dan wajah agak serius. Sebaik naik bas Ardan memberi salam. Bahasa Inggerisnya lebih fasih dan lancar! Bila memberi salam terasa seronok kami menjawabnya! Sebab Aydin tidak pernah memberi salam! Aydin ni syiah! Biasalah orang syiah memang susah nak beri salam!

Pagi ini kami akan melayari selat Bosphorus selama dua jam! Alhamdulillah hari ini panas! Suasana terang benderang. Wow! Memang cantik panorama sepanjang perjalanan selat ini yang memisahkan Asia dan Eropah! Selat ini dihubungi dengan dua jambatan antara Asia dan Eropah! Jambatannya macam Golden Bridge, San Francisco!

Biarpun panas, cuaca amat sejuk! Apa yang dapat aku lafazkan dikala itu betapa pengasih Dia meminjamkan keindahan-Nya kepada hamba-Nya. Kami turun naik, bersidai di tepi bot biarpun sejuk kerana tidak mahu terlepas menyaksikan pemandangan indah! Adakalanya aku bersendirian di tepi bot sambil melelapkan mata! Aku menyedut  nafas segar sedalam-dalamnya! Tiba-tiba satu perasaan hiba menerjah jiwaku... aku benar-benar dapat menghayati betapa Allah amat mengasihiku! Alhamdulillah aku dapat merasainya!

Banyaknya masjid indah dan bangunan cantik tinggalan sejarah! Turki kaya sejarah, kaya keindahan, orangnya cantik tampan tapi adakah jiwa mereka seperti keindahan Turki? Seperti diterangkan oleh Aydin, golongan muda ramai tersasar dari pegangan agama! Kehebatan Ottaman tidak akan berulang lagi! Tanpa Ottaman Turki tidak segah seperti sekarang. Allah memberi nikmat kepada rakyat Turki hasil perjuangan kerajaan Ottaman menegakkan Islam! Namun sejauhnya mana hamba-Nya menikmati rahsia anugerah dari Allah... hanya Dia sahaja yang tahu!

Melalut pulak aku! Kami pergi ke Spice Bazaar pula! Pelbagai rempah, manisan, kekacang, aneka teh, cenderahati dan bermacam-macam lagi ada jual di sini! Dalam masa sejam aku pastikan barang diperlukan saja aku beli. Memang menarik! Teringin juga nak beli rempah dan saffron. Tapi takut terperam sampai expired pula! Aku sekadar membeli karkade (rouselle kering), lokum, kekacang dan barang hiasan sebagai kenangan!

Selepas itu kami berkunjung ke Masjid Ayub Al-Ansari iaitu sahabat Rasulullah dan pernah menjadi panglima perang mengalahkan Constantinople. Makamnya ada di sini. Kami berkesempatan solat berjemaah. Sedia maklum ruang solat wanita  amat sempit. Sedangkan jemaah wanita ramai dan bersesak-sesak nak solat. Ada seorang wanita Turki baik hati memberi ruang untukku setelah sekian lama berdiri tersepit! Syukur pada-Nya! Aku menepuk-nepuk bahu wanita itu sambil tersenyum. Sebaik nak mulakan solat, seekor kucing gemok tidor betul-betul tempat aku bersujud! Buat dek aje! Tak takut langsung pada orang ramai! Mungkin dia nak cari tempat panas kut! Puas juga aku bersilat mengelak dari menghimpit dia! Bertuah punya kucing!

Di depan makam Ayub Al-Ansari ada punca air yang dikatakan suci. Kawasan berpagar ini tak nampak apa-apa sebab diselaputi salji. Aku lihat ramai orang Turki berdoa! Banyak juga kepercayaan dan bidaah di kalangan mereka! Lawatan terakhir kami ke Masjid Sulaimaniyyeh. Ketika Ardan briefing, beberapa anak-anak kecil mengelilingi kami minta duit! Aku bagi coklat tapi sebenarnya mereka mahukan duit! Aku lihat ibu-ibu mereka duduk tidak jauh sambil memerhati. Wajah mereka tidaklah seperti Turki mungkin Kurdistan!

Masjid Sulaimaniyyeh dibina pada abad ke 16 oleh arkitek Ottaman, Mimar Sinan. Di dalam masjid ini kemudahan seperti hospital, perpustakaan, madrasah, dapur dan ruang untuk orang miskin. Ardan walaupun agak garang tapi amat tertib di dalam masjid. Sambil duduk dia memberi keterangan panjang lebar ada kalanya aku lost sekejap! Cerita Ardan lagi, pakar khat sampai mata berdarah mengejar masa untuk menyiarkan lukisan khat yang menghiasi dome dan dinding! Dahsyatnya! Dari reka bentuk masjid hinggalah hiasan dalaman semuanya cantik dan indah! 

Inilah lawatan terakhir kami di Istanbul. Hatiku bercampur baur antara gembira, sedih dan rindu! Esok kami akan meninggalkan Istanbul, bumi Turki yang indah. Terus terang aku katakan trip ini sangat menghiburkan dan bertambah seronok lagi dapat mengenali kawan baru yang baik hati dan masing-masing ada kelebihan. 

Pada keluarga Sharkawi, Ronnie, Kak Tila, Kak Sarah, Azlina & Razak dan teman sebilik Aishah, aku sentiasa mengingatimu semua! Semoga perhubungan kami berkekalan dan terus menjadi teman travelling! 

Tidak lupa pada Aydin, Ibrahim dan Ardan! Namun Aydin dan Ibrahim selalu di hatiku! Mereka baik! Ibrahim walaupun tidak faham bahasa Inggeris tapi dia mampu berbual dengan kami macam itek dan ayam! Aku ingin pergi Turki lagi! Insyallah kalau Allah izinkan, Istanbul aku akan datang lagi!

Bangunan lama dan baru  menghiasi sepanjang selat Bosphorus
Manisan dan pandangan di pintu depan Spice Bazaar
Ardan ... di depan masjid Ayub Al Ansari
Mereka berdoa di depan tempat dikatakan air suci yang ujud di sini
Kenangan... bila dapat bersama lagi!
Bersama Ibrahim yang sentiasa tersenyum dan cool
Tak sangka pulak Aydin mahu berkongsi kisah peribadi!
Kak Tila lepas ni nak jalan ke mana pula?
Ronnie dan Aydin sampai terjatuh... ini mesti Ronnie teruja sangat!