Saturday, December 28, 2013

Jangan cepat melenting bila terasa!

Assalamualaikum pembaca budiman. Malam minggu biasanya tak buat apa-apa pun. Lepak dan tonton TV aje. Tiba-tiba mood baik dan  ilham datang pulak...jadi jangan bertangguh! Lepaskan..tulis apa nak tulis!

Teman-teman sekelian apa perasaan bila diri kita dikenen dalam FB. Rasa marah dan balas balik, biar padan muka dia. Atau buat tak tau saja. Ha..inilah terjadi pada diri aku! Aku ni bukanlah pandai sangat tapi suka berkongsi dan ambil positif seandainya posting itu benar-benar berguna untuk kita!

Kebanyakan posting aku berdasarkan apa yang aku baca dan juga pengalaman! Jadi tak salahkan. Setiap kali aku posting, aku beriltizam akan belajar dari apa yang aku postingkan! Nak kenakan orang, jauh sekali. Namun kalau ia terkena pada batang hidung orang lain, mungkin kebetulan saja aku minta maaflah!

Pernah juga aku terbaca posting yang terkena batang hidung aku sendiri, tak pulak aku melenting! Ambillah yang positif. Nak ikut emosi? Silap tu..silap haribulan kerana emosi tak sedar posting kita lebih bersifat negatif. Akhirnya kawan-kawan kita dapat membaca perangai kita sebenarnya!

Dari tulisan kita orang lebih mengenali perangai kita sebenarnya! Jadi jaga-jaga bila nak posting tu! Ikutlah situasi yang sesuai. Aku ada seorang buddy berfb dengan si suami dan anaknya, berbual pasal nak ambil lesen memandu. Siap pulak nak minta diskaun pada sipolan untuk belajar memandu! Hissh merepek betullah! Apa masing-masing duduk lain bumbung ke sampai semua orang boleh baca hal peribadi kita! Memalukan saja! Inilah akibatnya terlalu ghairah berfb! Segala-galanya nak dikongsi dengan kawan!

Jadi kepada sesiapa yang tengah panas berapi dengan kawan, isteri, suami, anak dan sesiapa saja tak perlulah nak lepaskan kat FB! Sindir menyindir dan kenen mengenen. Elok orang tak tahu hal kita habis semua tahu! Apa yang dapat! Memanjangkan cerita pulak. Makin ramai yang komen lagi banyak memanjangkan dosa lainlah kalau komen yang baik! Kalau komen tuang minyak aje sah-sahlah semua dapat dosa.

Satu yang aku rasa pelik berdoa dalam FB. Doa terus pada Allah swt tak perlu ada perantaraan. Doa kita rahsia dengan Allah! Apa...doa pun nak kongsi juga ke dengan kawan! Hissh lupakan pasal doa macam tu....Agama kita dah ajar cara doa yang betul! Ikut saja yang disuruh! Oklah kawan-kawan, aku nak nonton TV ya!


Friday, December 27, 2013

Jangan lokek memberi hadiah istimewa untuk diri sendiri!

Maaf pada pembaca budiman! Agak lama aku tidak posting sebarang cerita. Kesibukan dan bercuti! Namun aku berjanji pada diri ku jangan terlalu membiasakan melewat-lewatkan posting! Lama-lama menjadi malas. 

Nak tulis apa ya! Sebenarnya blog ni sudah wujud sejak tahun 2009. Banyak cerita sudah aku posting. Oleh kerana bertahun-tahun tidak dipedulikan, dan tema blog itu pulak rasanya tidak bersesuaian lagi! Akhirnya semua posting lama aku delete!  

Kali inilah biarlah cerita segar, ceria! Tidak mahu yang sedih-sedih lagi! Cukuplah! 


Minggu lepas aku bercuti ke Hong Kong dan Macau. Seronok tapi meletihkan!  Kalau ikut trip memang macam tulah. Macam-macam ragam! Tapi yang seronoknya aku dapat kenalan baru! Semoga berpanjangan silatulrahim kami! 

Terdengar juga komen-komen negatif dari mereka bla,bla, bla. Fitrah manusia  memang mahukan yang terbaik. Tapi ingat kita merancang, Allah yang menentukan! Kalau rasa tak seronok, banyak sangat masalah lain kali nak bercuti pergi sendiri. Uruskan dari A-Z buat sendiri. Aku memang tak pandai dan memang malas mengurus bab-bab macam ni. Yang penting enjoy!

Terus terang  percutian di Hong Kong dan Macau bukanlah taste aku. Namun ketentuan-Nya aku berada di sini. Kalau tidak, tidak dapat pulak aku berkenalan dengan sipolan itu, sipolan ini! Tapi betullah kata pepatah berjalan luas pandangan. Dapat mengenal budaya orang, perbezaan iklim dan macam-macam lagi.


Bukan itu sahaja, aku banyak belajar perangai manusia dalam trip ini! Namun rata-ratanya semua mengembirakan dan menyenangkan! Kalau nak tahu dalam trip kami ada peserta paling tua berusia 70 tahun. Kalau yang lain datang berkeluarga, berkawan tapi makcik ni datang single saja. 

Dari airport lagi aku perasan makcik ni macam dah biasa travel. Sahlah bila berbual rupa-rupanya makcik ni pelancung tegar! Berpuluh-puluh negara sudah dilawati. Datang Hong Kong ni kali ketiga. Dia ikut trip ni sebab nak pergi Macau. Walhal baru balik dari Greece! Syabas makcik Rabiah! Lepas ni katanya nak pergi Alaska pulak! Aku tenguk makcik ni pakai baju sejuk pun nipis saja macam tak sejuk. Orang lain tebal-tebal belaka. Cuaca Hong Kong adakalanya sampai 9 darjah celcius walaupun tak ada salji!

Setiap tahun dua ke tiga kali makcik Rabiah melancung ke luar negeri! Sejak muda ketika bersama suami sehinggalah suami meninggal beliau masih meneruskan hobinya.  Inilah terapi yang membuat makcik Rabiah sihat walaupun lutut  sudah tidak kuat!  

Kalau ada duit lebih tak salah berikan hadiah kegembiraan pada diri sendiri. Asyik bekerja lama-lama badan sakit akhirnya semua tak boleh buat. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya selera!


Makcik Rabiah sporting bila disuruh bergambar. Beliau cekap dan teliti! Itulah tips utama bila berjalan ke luar negara lebih-lebih lagi bersendirian!

The ruins of Saint Paul Cathedral. Hanya inilah satu-satu sekeping tembok gerbang peninggalan Portugis. Macau sentiasa mempromosi tembok ini  untuk tarikan pelancung. Banyak bangunan baru berciri reka bentuk Portugis dibina di Macau. Dengan keluasan 28 km persegi dan penduduk 500,000 ribu, Macau berjaya menarik pelancung sebanyak 3 juta setahun! Sudah tentu kedatangan pelancung utamanya untuk berjudi!

Biarpun Hong Kong padat dengan penduduk seramai 7 juta dan bangunan pencakar langit,  namun ia tersusun. Jalan raya tidak banyak trafic light. Sebahagian besar penduduk menggunakan pengangkutan awam seperti keretapi dan juga tram. Bandar bersih dan rakyatnya berdisplin!

Di Venetian, Macau merupakan plaza bershopping, berehat, kasino yang sangat luas! Kami bersolat disuatu sudut. Seorang petugas datang kepada ku dan melihat grup kami yang sedang bersolat dengan penuh kehairanan. Dia bertanyaku awak ok ke. Dia tanya lagi kenapa keadaan bersepah (mungkin melihat kasut bersepah-sepah) Ini kawasan public. Aku cakap kami solat, mesti tanggal kasut. Tak lama pun 10 minit kami akan pergi.  Orang Islam wajib solat  tak kira dimana berada! Baru petugas itu faham. Memang tempat ni cantik, semua lantai ditutupi karpet! Satu perkara yang mesti anda tahu dimana saja ada hotel disitu ada kasino, mengalahkan Las Vegas!

Di ground floor Hard Rock Hotel, satu pandangan yang amat unik. Pada mulanya aku tidak ambil peduli. Beberapa ekor ikan duyung meliuk-liuk menari yang pastinya mengoncang mahkota lelaki! Dadanya yang subur tanpa ditutupi apa-apa hanya diwarnakan sedikit lukisan. Duyung-duyung itu adalah wanita betul tapi diadun dalam visual yang menarik. Namun sesuatu yang lucu ada seorang lelaki yang tidak berani memandang muka wanita bila berbual, tetapi dengan sengaja menatapi  ikan duyung yang meliuk-liuk ekor dan badannya! Hanya Allah saja tahu apa di dalam hati lelaki itu! Hihi


Monday, December 9, 2013

Sedapnya kari ikan masin talang!

Sabtu lepas aku bersama abang dan anak saudara pergi ke Padang Serai, Kulim, Kedah mengiringi rombongan pertunangan anak saudaraku. Perjalanan bermula dari 6.45 pagi dan selamat sampai 2 petang. Kalau tidak berpusing-pusing mencari jalan ke Padang Serai mungkin kami sudah sampai satu jam lebih awal!

Apa-apa pun syukur pada-Nya akhirnya kami sampai jua! Namun sesuatu yang ingin aku kongsikan bersama pembaca, banyak-banyak majlis pertunangan yang aku sertai, inilah majlis yang paling singkat! Tutur bicara dari wakil pihak perempuan amat mudah sekali dari awal pembuka kata sehingga penutup kata! Tidak sampai setengah jam! Selesai!

Bakal bisan abangku pada penglihatanku baik orangnya. Sederhana dalam segala-galanya dan tidak berlebihan! Baguslah dalam bab begini janganlah dibebankan ikutlah kemampuan.

Oleh kerana majlis pertunangan bermula pukul 3 petang, tidak hairanlah perut masing-masing sudah keroncong biarpun aku sudah melapik perut terlebih dahulu. Maklumlah majlis orang, kita tidak pasti apa yang bakal dijamunya. Buatnya dijamu sekadar air dan kuih sahaja, tentulah tidak berbaloi sementelah kami datang dari jauh! Takkan nak merungut pulak!

Tak sangka pulak, menu nasi dan berlauk kari ikan masin talang, nangka rebus dengan sambal belacan dan kuinin, menjadi pilihanku biarpun ada lauk pauk yang lain. Memang sedap! Seingat aku, aku menikmati masakan ini ketika aku kecil. Arwah ibu selalu memasak menu ini. Selepas itu aku tidak pernah menikmati masakan ini! 

Alhamdulillah, selesai majlis  dalam sekitar pukul 5 petang kami bertolak balik. Pemanduan santai membuat kami tidak stres, tapi yang tidak seronoknya dalam perjalanan ada seekor kura-kura melintas! Kereta wiraku yang rendah yang berusia 12 tahun telah menyebabkan  kura-kura itu terkorban! Sedih, ngeri apakan daya sudah ketentuan Allah kura-kura itu mati dalam keadaan begitu!

Selepas kami meninggalkan perhentian rehat Sungai Perak, kami terperangkap dalam jam kerana ada kemalangan maut melibatkan sebuah lori! Oleh kerana kami agak awal selepas kejadian berlaku, jadi lebih kurang setengah jam sahaja kami dalam kesesakan!

 Akhirnya hampir pukul 12 malam kami selamat sampai ke rumah! Tak sangka kereta tua ku masih mampu berjasa membantu dalam misi menjalin kasih! Apa ingin kuluahkan aku amat-amat bersyukur dan gembira dapat menyempurnakan tanggungjawab kepada anak saudaraku! Syukur kepada Allah swt atas keizinan dan kemudahan pada hamba-Nya!


Kari ikan masin talang. Selepas ini ekspedisi mencari ikan masin talang untuk dimasak dengan nenas atau terung bulat!







Friday, December 6, 2013

Makan untuk hidup!

Assalamualaikum kepada pembaca budiman. Hari ini mood baik sikit dan ada masa untuk mencorat-coret! Cuaca seperti biasa sejuk, lembab dan sesekali hujan renyai. Bila cuaca lembab, selera perut pun bermacam-macam ragam. Mula membayangkan makanan yang sedap-sedap.

Janji  pada diri sendiri konon nak kawal makan dan bersenam....tapi tak pernah menjadi. Aku ni jenis seorang yang berselera makan. Tolak batu kayu aje. Kalau sedap makan banyak, kalau tak sedap makan sikit.

Bersyukurlah pada-Nya kerana kita dianugerah selera makan. Bayangkan kalau Allah tarik selera makan, tenaga  kita tiada, nak beribadah dan bekerja pun tak lalu. Aku pernah kehilangan selera yang teruk lebih dua minggu akibat demam panas! Rasa nak nangis,  hilang kudrat, segala-galanya rasa pahit.

Betullah, segala-galanya terletak pada akal untuk mengawalnya. Perut sudah kenyang, tapi nafsu itu mengeletek akal. Akal tak tahan digeletek, akhirnya tewas pada nafsu. Lagi sekali perut menjadi habuan segala makanan hingga kita menjadi malas!

Biarlah catatan ini menjadi pendorong untuk aku berubah! Bukannya sekadar angan Mat Jenin. Sudah sekian lama aku berangan seperti Mat Jenin. Cuma nasibku tidaklah seburuk Mat Jenin sehingga terjatuh dari pokok kelapa! Jadi sebelum 'aku terjatuh dari pokok kelapa' lebih baik aku berwaspada,  jaga pemakanan dan bersenam. Harap kawan-kawan yang bermasalah di luar sana sama-sama berazam untuk berubah!

Minggu lepas balik kampung, sarapan makan nasi lemak. Nasinya lemak giler. Oleh kerana musim durian, selesai makan nasi lemak, makan durian pulak! Fuhhh dasyatnya. Peringatan untuk diri sendiri:  Jangan selalu buat macam ni.

Thursday, December 5, 2013

Aku kembali!

Terlalu lama blog ini terbiar tanpa dibelai dan dimanja. Entahlah... aku semakin ketandusan idea! Mungkin terlalu lama dibiarkan aku semakin lupa bahawa di blog inilah tempat curahan hati yang bisa menjadi aku terhibur! Aku sentiasa tercari-cari apakah konsep yang bakal aku persembahkan. Dan aku berharap juga agar blog ini menjadi kesukaan  kepada pembaca yang sukakan bacaan lebih ringan dan santai!

Namun lebih mudah aku menulis tentang apa sahaja dari berita dan kejadian semasa yang berlaku sekelilingku. Kepada pembaca di luar sana terima kasih kalau membaca blog aku biarpun blog ini tidaklah berapa menarik!

Tasik Meninjau di Bukit Tinggi. Keindahan-Mu tiada tandingannya.