Wednesday, September 24, 2014

Jom belajar renang!

Assalamualaikum pembaca disayangi semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati-Nya!

Aku berasa sedih bercampur geram membaca kisah adik bongsu dan kakak sulung mati lemas di dalam kolam renang di Kelab Rekreasi, Taman Melawati di dalam akhbar baru-baru ini!

Paling menyedihkan adik mangsa, Mohd. Alif menjerit merayu meminta pertolongan, boleh pulak dianggap gurauan! Bila dia betul-betul menangis barulah tergesa-gesa nak tolong tapi sudah terlewat! Hasrat Mohd. Alif berseronok bersama kakak dan adik menjadi tragedis! Sedihnya!

Dalam hal inilah, aku nak tanya siapa yang bersalah! Mangsa atau orang sekelilingnya? Sudah pasti  mangsa bersalah kerana mereka tidak pandai berenang! Tapi bagaimana pula yang pandai berenang, tiba-tiba diserang kejang otot atau serangan sakit jantung! Mereka juga boleh lemas! 

Jujurnya aku tidak boleh menerima kes kematian di kolam renang berbanding di laut atau sungai! Di kolam renang pastinya ada pengawal kolam! Apakah dalam kes ini tiada pengawasan dari pihak bertanggungjawab? Apakah sudah hilang nilai kemanusiaan di kalangan kita? Atau tiada kepekaan, masing-masing mementingkan diri sendiri?

Inilah permasalahan yang sering melanda dalam masyarakat kita. Undang-undang cantik, tapi pelaksanaan lemah. Apa guna kita dikenakan bayaran, tapi tiada kawalan! Kalau kolam rekreasi yang mempunyai kedalaman dua meter sudah pasti ada pengawal kerana risiko untuk lemas amat tinggi!

Kanak-kanak nalurinya memang sukakan air. Mereka tidak pernah fikirkan risiko! Aku pun dah tua pun sukakan air biarpun nampak macam badak air berendam! Apa aku peduli! Ibubapalah bertanggungjawab! Anak-anak disarankan belajar berenang sampai pandai!

Aku belajar berenang pun tidak dirancang setelah kawanku terlihat iklan kecil di dalam akhbar! Kami seramai enam orang rata-rata agak berusia belajar di sebuah kolam renang sewa! Kolamnya kecil tapi dasarnya curam. Paling cetek paras peha dan paling dalam dua meter. Pertama kali masuk kolam memang takut tapi rasa seronok.

Aku paling takut meluncurkan badan ke dalam air biarpun separas peha! Rasa nak lemas! Instruktor yang mengajar pulak ekpres! Dia lebihkan teknik dan skill. Belum rasa confident dan takut-takut dah di bawa ke bahagian dalam pulak! Aku hampir lemas setelah terteguk air bila mengambil nafas. Air tersangkut di anak tekak! Aku sesak nafas sampai fobia tak mahu belajar lagi!

Akhirnya dalam grup renang, akulah yang boleh berenang sehingga kini biarpun terlalu jarang berenang! Namun kesan yang ketara urat kaki yang sakit akibat jatuh tangga di Mekah terus hilang selepas belajar renang! Bukan itu saja berenang boleh keraskan lengan, kempeskan perut dan pinggul jadi mantap! Ia lebih berkesan dan cepat berbanding senaman kardio! Tapi itu dulu ketika aku gila berenang sekarang berenang atas katil aje!

Biarpun pandai berenang sifat waspada mesti ada bila berenang di kolam, sungai dan laut! Pastikan warm-up dulu sebelum masuk ke kolam kerana air kolam sejuk. Jangan terlampau berani biarlah kita takut asalkan selamat! Sebaiknya bagi yang tidak pandai berenang elakkan mengguna pelampung luncur! Ia menyebabkan terleka hingga ke tempat dalam! Itulah yang terjadi kepada kes lemas kerana terlepas pegangan  pelampung! Kalau tiada pelampung kita lagi rasa waspada kerana tahu di mana tahap kemampuan! Pesanku sekali lagi belum terlewat untuk belajar renang! Bukan saja menyeronokkan tapi hilang stres!
































Setengah kanak-kanak meletakkan pelampung luncur di bawah perut dan bergerak ke paras air yang lebih dalam. Ia amat bahaya bagi mereka yang belum pandai berenang! Bayangkan ketika itu tiba-tiba pelampung terpisah dari badan, risiko lemas boleh mengundang!

Friday, September 19, 2014

Aku tak mahu jikalau aku dimadu...




Adegan dari filem Indonesia Berbagi Suami. Banyak adegan lucu, sindiran dan ada juga seolah-olah menghina poligami. Satu babak yang lucu tapi terkesan bila El-Manik (dalam gambar) diserang strok dan tidak boleh bercakap. Dalam kepayahan untuk bercakap kepada anak lelakinya sambil menunjuk jari telunjuk keatas tapi tidak difahami! PUSINGGG!!! satu perkataan keras keluar dari mulut El-Manik. Spontan aku ketawa! Cukup bermakna!(Pesan ayah pada anaknya kahwin satu kalau tidak mahu pusing)


Aku tak mahu jikalau aku dimadu...Pulangkan saja kerumah orang tuaku... ( sekadar yang ingat dari nyanyian S. Ahmad dan penyanyi wanita dah lupa namanya)

Assalamualaikum pembaca budiman! Kali ini aku nak kongsi cerita pasal poligami! Aku pasti kaum wanita mesti sensitif punya dan marah-marah! Opps! Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan perlahan-lahan. Bertenang ya!

Aku terbuka dalam bab-bab poligami ni. Ini hukum Allah! Ia bukan haram tapi berdosa apabila suami gagal melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan saksama! Aku tidak sukalah pada kaum wanita yang suka membodohkan diri dan mengaruk macam orang gila semata-mata kerana seorang lelaki! Pedulikan!

Ada jiran di depan rumah yang aku lihat sebelum ini macam pasangan ideal saja. Isteri guru dan suami ustaz. Mereka ada seorang anak perempuan. Suaminya cool sahaja! Selalu juga terserempak dengannya! Dengar dia selalu pergi kelas menuntut ilmu agama. Ada juga aku ternampak sekumpulan jemaah dari Pakistan bertandang ke rumahnya!

Biasa juga ternampak jiranku ini balik dari masjid bersama-sama. Bagus! Alhamdulillah! Tapi...  yang tak bagusnya bila ternampak siisteri dalam keadaan masih bertelekung menumbuk suaminya. Kalau ya pun masuklah dulu ke dalam rumah! Ini mesti kes cemburu agaknya!  Ingat bergurau aje.... bila tenguk betul-betul siisteri beriya-iya menumbuk sisuami dalam keadaan marah! Puaslah sisuami menahan dengan tangannya! Macam mana ni tapi baru balik dari masjid!

Sejak itu selalu saja aku terdengar suara isterinya terjerit-jerit marah! Tenguk kereta sisuami tiada! Ini mesti bercakap dalam telefonlah! MasyaAllah kuatnya suara, sampai setiap buah butir patah perkataan jelas kedengaran bla...bla..bla... Pintu pulak terbuka luas! Semua cerita rumah tangga sepatutnya rahsia jadi semua orang tahu! Mengaibkan sungguh!

Selepas peristiwa terdengar suara terjerit-jerit macam orang gila tu aku jarang nampak kereta sisuami di depan rumahnya! Tanggapanku sisuami ni kahwin dua agaknya! Ada juga sisuami tu balik, tapi siisteri cepat-cepat tutup pintu dan kunci. Sisuami tunggu di luar dengan sabar! Berilah peluang pada suami membetulkan keadaan! Janganlah nak marah aje. Anak pun nak juga jumpa ayah juga!

Tapi yang pasti sisuami ni bila balik tak boleh masuk rumah lagi sebab kunci mangga sudah diganti lain. Sisuami kena panjat pagar. Bila buka gril tak boleh  masuk pulak! Kadang-kadang sisuami tu duduk lama di luar menunggu! Kasihan! Bagi pandanganku tidak wajarlah siisteri buat macam tu! Sisuami balik untuk menunaikan tanggungjawab! Kenapa dihalang pulak! Bukankah membodohkan diri namanya! Memanglah hati sakit! Tapi fikir panjang-panjang! Suami tu bukan milik kita! Kontrol macam mana sekalipun kalau dah miang nak kahwin, kahwin jugak! Buat apa nak halang! Anggaplah ini satu dugaan!

Bukan rugi pun buat baik! Kita patut marah kalau sisuami tu terus meninggalkan kita dan tidak menunaikan tanggungjawab! Bagilah peluang kalau sisuami terus bertanggungjawab pada isteri dan anak! Kan untung namanya! Banyakkan mengadu dan berserah kepada Allah bukan amarah sepanjang masa. Kasihan juga siisteri ni nak keluar rumah pun terhendap-hendap takut terserempak dengan sisuami. Kalau dulu selalu bersidai di luar rumah sekarang rumput dah jadi lalang di laman sebab asyik duduk dalam rumah aje!

Sesekali bila terpandang muka siisteri tu tak berseri langsung! Muka serius semacam! Takut juga aku tenguk! Apa nak dikata cempedak dah jadi nangka! Sabar ajelah! Itulah namanya bunga-bunga kehidupan!  Kalau nak kekalkan wanginya rajin-rajinlah baja dan siram pokok bunga tu! Insyaallah....bahagia akan datang. Jangan fikir bahagia fizikal saja tapi bahagia hati nurani tu yang penting!

Semua lelaki ada keinginan untuk berkahwin lebih dari seorang. Bak kata seorang kawan lelakiku kalau lelaki tu tiada keingingan nak kahwin dua sahlah dia memang gila! Dengar tu! Mahu atau tidak sahaja! Ada lelaki tu punya isteri cukup pakej tapi kahwin juga! Ada pulak isteri tak semenggah langsung tapi dapat suami masyallah baiknya! Semuanya adalah rezeki masing-masing! Allah tu Maha Pengasih! Sesuatu yang perkara yang kita tidak suka tu tetapi ia adalah terbaik untuk kita! Jadi janganlah meratap diri sehingga kemurungan!

Aku dah lihat sendiri dua isteri yang tidak boleh menerima takdir yang dia telah dimadukan walaupun suaminya tetap melayani dengan baik! Seorang tu terlalu banyak menangis akhirnya kena kanser otak hingga maut! Seorang lagi jadi sasau walaupun rumah besar, anak ada, cucu ada tapi itulah kalau kita asyik mengingatkan suami! Allahkan ada, berserahlah padanya! Tapi mesti orang kata kau tak rasa apa kau tahu! Cakap bolehlah! Bagi aku kalau kita memudahkan sesuatu masalah insyaallah ia akan mudah untuk kita! Hidup ini banyak pilihan, banyak perkara kita boleh buat untuk kita gembira selagi tidak melanggari batas-batas agama!

Kepada isteri muda aku ucapkan syabas selagi menjadi isteri yang solehah dan sentiasa bertolak ansur. Aku faham dari tidak berkahwin lebih baik berkahwin itu pun kalau usia dah agak-agak berumur. Kalau umur masih muda tak sampai 30 tahun dah ada boyfriend atau peluang nak dapat boyfriend muda tu cerah tapi nak juga kahwin suami orang memanglah nak cari masalah! Maklumlah lelaki-lelaki yang sudah berusia dan berjaya kebanyakkan suami orang! Jangan cari jalan pintas nak senang. Bukan senang nak jadi isteri muda! Kalau dapat isteri tua yang sabar oklah kalau dapat isteri tua yang queen control mati beraganlah isteri muda!

Pesanku kepada para isteri di luar sana jangan cepat lupa diri ya! Jangan rasa diri dah bahagia mula nak tunjuk angkuh!  Bila tenguk ada gadis kahwin suami orang kutuk habis-habisan. Silap haribulan terkena batang hidung sendiri! Apa yang penting sentiasa bersedia mantapkan mental, fizikal dan kewangan. Jangan terlalu bergantung pada suami ya!

Bagi gadis-gadis yang rasa dah agak lanjut usia jangan rasa kecewa kalau belum ada jodoh! Usaha, doa dan bertawakal! Kalau ditakdirkan ada suami orang yang suka, kalau sanggup terimalah jadi isteri! Yang penting jangan sampai A-Z urusan rumah tangga isteri seorang yang buat. Sisuami balik melepaskan hajat aje. Lelaki macam tu layak kahwin misyar aje. Bila rasa tak diperlukan sepak saja keluar! Amboi keras bunyinya!

Pesanan terakhirku kepada para isteri dan juga janda yang kesunyian dan bermasalah pandai-pandailah menjaga maruah diri! Kadang-kadang aku naik rimas dan geli geleman melihat ragam mereka (tak semua ya) asyik nak tarik perhatian aje dalam FB! Tiap kali tenguk FB asyik-asyik muka dia juga berselfie-selfie! Kalau remaja tidak hairanlah tapi kalau dah separuh usia apa hal pulak! 

Muka yang sudah berkedut-kedut dan berlekuk-lekak dicaptured dengan kamera 360 biar muka tampak licin, gebu dan mulus! Lepas tu tenguklah komen lelaki memuji cantiklah, ayulah, awet mudalah. Maka berbunyilah komen empunya badan syukur anugerah kepada-Nya walhal pujian itulah yang dinanti-nantikan! Macamlah orang tak tahu! Udah-udahlah masa muda dah berlalu! Buang sajalah tabiat yang tak untung pun!

Oklah lama pulak aku membebel! Anggaplah tulisan aku sebagai gurauan ya! Kalau ada yang terasa anggaplah kebetulan saja! Ambillah yang positif dan peringatan untuk aku juga! Hidup ini kalau tidak diuji bagaimana kita nak mengaku beriman kepada-Nya. Banyakkan bersabar dan carilah hikmah tersembunyi disebalik ujian tersebut!



Wednesday, September 17, 2014

Aku bangga menjadi anak nogri!
























Assalamualaikum pembaca sekelian! Semoga anda dirahmati Allah swt dan terima kasih sudi membaca blog aku yang suam-suam kuku! Walaupun aku orang nogri tapi tidak pernah berpeluang masuk ke dalam istana lama di Pertuan Besar, Seri Menanti. Bila berada di depan mata tak juga dapat masuk sebab dalam proses baik pulih!

Istana lama ini di bina tanpa menggunakan paku! Ciri-ciri binaan istana ini berasaskan pasak! Alat-alat pembesar diraja turut dipamirkan dalam istana tersebut. Bagi mereka yang pernah masuk istana ini merasa seram sejuk bila berada di tingkat paling atas! Balik rumah terus demam! Itu kata merekalah! Aku tak ada komen sebab tidak pernah masuk lagi!

Seantero tahu Negeri Sembilan satu-satu negeri mengamalkan adat perpateh. Aku nak syer dengan pembaca sebab ramai yang kurang faham tentang adat perpateh. Apa yang aku dengar banyak cerita buruk tentang adat perpateh ini! Aku pun bukanlah arif sangat memadai memahami yang asas saja!

Dalam adat perpateh ada empat lapisan ketua terdiri dari Buapak - ketua suku. Ada tiga belas suku, antaranya  suku selemak, mungkar, aceh, tiga batu raja lela, biduanda, waris yang aku ingat! Suku ini diwarisi dari sebelah ibu! Lapisan atas Buapak ialah Lembaga yang terlibat dalam istiadat dan pengurusan tanah adat. Lapisan atas Lembaga terdiri dari empat Undang Luak iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau. Keempat-empat Undang ini memainkan peranan besar pelantikan di Pertuan Besar. Lapisan paling tinggi sudah tentulah Di Pertuan Besar!

Ketika proses alih nama tanah adat hak milik nenekku kepada aku dan adik, Datuk Lembaga turut hadir dan duduk dikerusi khas di bilik bicara, pejabat tanah. Itulah pertama kali aku melihat fungsi datuk Lembaga dalam hal-hal tanah adat!

Bicara pasal tanah ini ramai orang luar berkata susah kahwin dengan perempuan nogri. Bila bercerai nanti suami tinggal sehelai sepinggang sebab semua harta dapat dek isteri! Ketawa aku mendengarnya. Yang si suami tu baik bagi semua pada si isteri apa masalahnya! Atau si suami tu memang pemalas macam mana nak ada harta benda harap menumpang harta isteri sahaja!

Untuk pengetahuan pembaca yang dikata tanah adat ialah tanah turun temurun dari sebelah ibu sahaja. Tanah ini tidak boleh dimiliki kaum lelaki hanya kaum perempuan sahaja. Seandainya tiada anak perempuan, anak lelaki boleh memiliki dengan 'masuk suku'. Tujuannya untuk memelihara kaum wanita! Kaum lelaki digalak merantau mencari harta. Manakala harta pencarian (pusaka) diwarisi mengikut hukum syarak.

Peratus pemilikan tanah adat amat rendah berbanding tanah pusaka yang terbiar dan tidak tahu statusnya! Ia bukan berlaku di Negeri Sembilan sahaja tetapi turut berlaku diluar negeri Sembilan! Percaya atau tidak tanah-tanah yang terbiar masih dimiliki generasi awal kerana kerana tiada hitam putih dalam jual beli. Kekaburan ini membuatkan generasi kemudian enggan berurusan menukar hak milik tanah! Mana yang ada usaha untuk menukar milik menjadi buntu bila mana tiada kerjasama dan tamak. Akhirnya banyaklah tanah menjadi hutan belukar! Siapa nak disalahkan?

Dalam masa itu ada juga generasi sekarang tidak faham dan perbezaan apa itu tanah adat dan tanah pusaka! Ada segelintir kaum perempuan rasa tamak dengan sewenang-wenang mahu memboloti semua harta dan tanah kononnya itu tanah adat punya! Tolonglah jangan memalukan kaum perempuan nogri! Fahamilah syarat-syarat dan hak-hak yang wajib dimiliki! Ini bukan adat ya! Tapi perangai tamak manusia yang tidak memahami hukum-hakam agama!

Aku mendengar banyak generasi sekarang mengeluh pasal adat perpateh menyusahkan. Sebenarnya permasalahan datang dari diri sendiri. Selagi tiada usaha untuk menyelesaikan hak milik tanah selagi itulah tanah terbiar terus terbiar! Sebarang projek untuk menaikkan taraf ekonomi turut terbantut!

Biarpun pelbagai polemik timbul dalam adat perpateh aku bangga dilahirkan sebagai anak nogri. Tiada timbul permasalahan dalam pengagihan tanah adat dan pusaka. Semua dihalusi dan permuafakatan adik-beradik. Syukur pada nenek moyang aku yang mempertahankan tanah adat dan pengorbanan ibu bapa mencari harta untuk meneruskan kelangsungan hidup! Al-fatihah untuk mereka!








Monday, September 8, 2014

Catatan Perjalananan Hajiku (Akhir)


Aku selalu ditanya oleh kawan-kawan ada jumpa benda ganjil tak? Ada cerita pelik tak? Kenapa pulak soalan itu ditanya? Kita ke sana untuk beribadah! Aku cakap banyak cerita pelik! Cerita pelik pasal ragam jemaah yang tidak sabar dan buat perangai macam berada di Malaysia! Pergi ibadah tapi masih membeza-beza pangkat dan darjat! Kenapa kita pakai ihram? Suka-suka ke? Kenapa kita tidak hayati sebab kita pakai ihram, kenapa ada pantang larang? Namun segelintir jemaah haji masih tidak memahami konsep haji.

Ketika aku berada di Madinah, aku melihat dengan jelas betapa jemaah haji dari grup lima bintang (tidak semua) menunjukkan tidak keselesaan bila grup kami dari satu bintang berkongsi hotel dan makan di tempat yang sama! Mereka marah-marah kepada petugas haji kenapa mesti berkongsi, kami bayar berpuluh ribu! Petugas tiada jawapan! Dalam pakej syarat terma sudah jelas, keistimewaan hanya di Mekah, hotel lima bintang dan dekat dengan masjid! Itu saja! Di Arafah, Mina dan Madinah tiada keistimewaan pun, semua sama tanpa perbezaan bintang pun!

Aku telah berjumpa dua orang jemaah dari grup satu bintang berkongsi cerita. Mereka tidak  menyangka berkongsi bas dengan jemaah dari grup lima bintang ketika berziarah menjadi cerita sedih! Ketika salah seorang jemaah dari grup lima bintang mengagih kurma dan minuman,  sampai giliran kepada mereka dengan spontan  jemaah ini bersuara sambil menyindir “eh eh dalam bas ni ada dua jemaah tersesatlah!” Lantas jemaah lain saling perpandangan pada dua jemaah tersebut. Lagi menyedihkan buah kurma dan minuman langsung tidak dibagikan kepada mereka walhal itu adalah sedekah dari individu!

Dua jemaah itu rasa amat terhina dan malu sangat dengan kata-kata dari jemaah tersebut! Cerita dua jemaah itu lagi sambil menangis di dalam masjid Nabawi. “Kami di arah naik bas itu bukan suka-suka nak naik!” Tak sangka di kota suci Rasulullah masih ada sekelompok manusia tidak memahami menjadi tetamu Allah! Allah telah mengizinkan hamba-Nya bertandang ke tempat suci tapi hamba-Nya juga yang mengotorkan! Semoga Allah ampunkan dosa mereka!

Perkara ini memang tidak diajar dalam kursus haji! Tapi akal dan iman menjadi pedoman manusia. Nafsu amarah berada di mana-mana saja biarpun di Mekah dan Madinah. Kitalah yang mengawalnya. Masakan ada pencuri, penyeluk saku biarpun telinga dialun azan dan bacaan al-Quran namun tiada berkesan di hati mereka yang sudah mati. Semoga kita tidak termasuk dalam kelompok ini! Nauzubillah!

Aku pun nyaris di raba bila terasa sesuatu bergerak-gerak dalam telekungku! Rupanya jemaah lelaki di hadapanku berhempas pulas mencuba memasukkan tangannya ke dalam telekungku. Nasib baik aku cepat perasan! Ditarik segera tangannya. Hish kalau diikut hati mahu aku debik belakangnya biar padan muka dia!

Alhamdulillah di Madinah, batuk dan selsema aku hilang. Jujurnya bersolat di masjid Nabawi terlalu terlalu syahdu bagiku! Mungkin juga jemaah wanita berasingan dengan jemaah lelaki! Pelbagai wajah dari seburuk-buruknya, secantik-cantiknya paras  dan tidak sempurna bersatu di atas saf dan sujud kepada-Nya! Allah tidak memandang rupa tapi memandang takwa hamba-Nya! Semoga aku terpilih menjadi hamba-Mu yang bertakwa! Aku amat bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu-Mu di kala tubuhku masih kuat dan sihat! 

Kau doronglah pada hamba-Mu yang hina ini melakukan kebaikan! Jauhkan dari sifat riak, angkuh, sombong dan berdendam. Aku yakin kalau baik yang kita minta insyaallah Allah akan limpah kurnia kepada kita! Kalau terniat kita untuk berbuat kebaikan dan ibadah segerakanlah kita lakukan!  Kalau kita berjaya melakukan, bersyukurlah kepada-Nya kerana itu adalah limpah kurnia dari-Nya! Jangan sesekali kita mendakwa kerajinan kita beribadah dan berbuat baik kerana kemahuan diri sendiri! Kerana segalanya datang dari-Nya dan keizinan-Nya. Kita tiada apa-apa pun...

 

Friday, September 5, 2014

Catatan Perjalanan hajiku! (Part 2)



Di Mina keadaan amat sempit! Nak baring pun semuat-muat badan! Jemaah berjuta. Pandangan semua sama, putih belaka! Jangan sesekali kita menganggap semua tahu dan ambil mudah! Silap haribulan kita boleh sesat! Seorang professor dari IPTA hilang beberapa hari dan ditemui di khemah jemaah Indonesia! Di Madinah sekali lagi beliau hilang!

Cuaca sejuk dan angin kering ditambah dengan aircon yang kuat aku hampir asma! Ditambah batuk dan selsema yang teruk! Bibir pecah berdarah biarpun  sudah disapu dengan pelembab.  Ubat batuk telan tiga botol pun tidak berkesan! Namun ibadah mesti diteruskan. Itu tanggungjawab
kita kepada-Nya!

Travel agensi haji yang aku ikuti merupakan jemaah paling ramai. Beribu! Dapat tak pembaca bayangkan kami jemaah wanita lebih 1000 orang berkongsi bilik air yang ada lima buah saja! Faham saja ya! Ada terkencing dalam seluar. Jemaah yang uzur kami  utamakan! Aku  ambil jalan mudah! Sepanjang tiga hari di Mina tak mandi pun! Basuh muka, gosok gigi, ambik wuduk! Nak buang air besar pun terencat! Lagipun badan tak berbau sebab angin sejuk kering, berpeluh sekejap sudah kering!

Akhirnya kami dapat sempurnakan wajib haji di Mina. Kembali ke Mekah aku meneruskan untuk melakukan rukun haji iaitu tawaf ifadah! Lazimnya waktu begini keadaan masjid sesak luarbiasa! Ini kerana para jemaah ingin bertahalul segera dan ada yang akan berangkat kembali ke tanah air masing-masing!  Terpulanglah rezeki masing-masing samada mudah atau sulit! Kami melakukan tawaf ifadah pada jam tiga pagi. Alhamdulillah selesai!  Namun ada jemaah mampu melakukan satu pusingan tawaf kerana pusingan hampir tidak bergerak dan terpaksa balik ke hotel kerana sesak nafas.  Terpaksa disambung keesokkan harinya!

Satu perkara yang aku ingin ingatkan, jangan kita sesekali fikirkan perkara tidak baik samada sengaja dan tidak! Selepas menunai umrah kali ketiga aku berniat nak buat umrah untuk arwah ibuku! Manalah tahu lepas ni tak dapat buat pulak! Bisik hatiku! Ketika aku bertawaf pada pusingan pertama, aku terbatuk langsung terkucil walhal batukku perlahan saja. Aku menyuruh suami teruskan tawaf dan aku mencari tandas. Setahuku tandas hanya di luar, ditempat lain tak tahu pulak! Bertawakal terus berjalan, bagaikan terdorong aku nampak pintu terus keluar. Hanya beberapa langkah tandas di depan. Selesa hanya beberapa kerat saja jemaah! Tak ingat aku pintu nombor berapa!

Sebaik menuruni tangga untuk menyambung tawaf, aku terlangkah dua mata anak tangga mungkin cahaya lampu kurang terang! Hampir aku tersungkur! Serta merta tapak kaki terasa amat sakit hingga tidak boleh berjalan! Macamana ni? Dataran kaabah semakin padat dengan manusia, aku masih dipinggiran buntu tak tahu macam mana berjalan!

Aku pasrah dan mohon pada-Nya semoga dipermudahkan! Dengan menggunakan kelima-lima jari kakiku, aku terincut-incut dalam kesakitan! Aku bergerak hampir dengan Kaabah agar cepat selesai dan kurang impak kesakitan!

Tamat pusingan ke tujuh dan berdoa, aku ternampak suami menunggu di tiang! Masa itu aku hampir tak larat nak jalan! Aku berpaut di bahunya untuk meneruskan saie sejauh 2.7 km! Betul-betul ujian! Lantas aku teringat dibenakku di hotel tadi. Cash Allah bagi! Aku tidak boleh  buat umrah lagi. Pergi ke masjid tidak dapat setiap waktu kakiku bengkak dan bentan! Apatah jarak hotel penginapan 500 meter dari masjid!

Kesakitan mengingatkan aku kepada mereka yang tidak sempurna dan uzur beribadah! Sepanjang di masjid berbagai rupa dan keadaan jemaah! Ada jemaah buta hanya berteman tongkat tanpa dibantu oleh sesiapa dengan mudah bertawaf. Subhanallah, kelilingnya lapang. Sedangkan kami bersesak-sesak dan tolak menolak! Ada jemaah menginsot dengan punggung bertawaf. Di tempat saie, aku ternampak jemaah wanita terlalu tua dan amat lemah sekali! Belum pernah aku melihat wanita terlalu tua dan uzur berjalan. Tapi dia mampu bergerak tanpa mengguna kerusi roda!

Bersyukurlah kita dalam keselesaan, adakalanya kita gagal untuk bersyukur dan merungut! Di dalam kesibukan beribadah dan mencari pahala jangan kita sampai membuat dosa. Ada jemaah Indonesia dan jemaah Arab hampir bertumbuk nak rebut saf! Aku pernah sujud dikelangkang lelaki Negro! Walhal itu tempat wanita. Sebaik bersolat tiba-tiba lelaki itu solat depanku! Di sini kita tidak dapat menyempurnakan fizikal dalam solat seperti di Malaysia! Yang penting kita sama-sama dapat berjemaah! Banyak bersabar, banyak istighfar!

Sebelum ke masjid lepaskan hajat. Kalau sakit perut jangan pergi ke masjid sebab tandas jauh! Kes najis berterabur di depan kaabah satu contoh sebab jemaah terlalu nak mengejar pahala akhirnya mendapat dosa. Ketika itu aku tawaf sunat! Selesai tawaf aku solat subuh. Balik di hotel terkejut aku melihat iparku dan isterinya serta kawan sebilik sudah ada didepan hotel. Cepatnya sampai! Rupa-rupanya ada cerita ketika bertawaf!  


Ketika mereka bertawaf tiba-tiba ada satu rempuhan kuat dan terdengar suara menyebut najis! najis! Suasana haru biru! Kelihatan najis sudah terpijak di merata tempat! Sekejapan itu tali dirintang dan kenderaan pembersih mencuci najis. Ia kena dilakukan secepat mungkin! Ipar dan kawan sebilik terus rasa was-was dan buang terus stokin. Mereka solat subuh di hotel saja! Nasibku baik kerana agak awal selesai tawaf sebelum kejadian itu berlaku!


Bersambung




Thursday, September 4, 2014

Catatan perjalanan hajiku! (Part 1)



Singkat sungguh masa! Pejam celik pejam celik, kita dah masuk bulan Zulkaedah. Kini jemaah haji sudah pun berperingkat-peringkat berlepas ke Mekah untuk menunaikan haji! Alhamdulillah bagi mereka yang terpilih semoga mendapat haji mabrur.

Bila sebut pasal haji teringat aku pada tahun 2004. Aku terpilih menunaikan haji. Gembira pun ada takut pun ada! Untuk persediaan aku telah mengikuti kursus haji sebanyak tiga kali biarpun namaku belum terpilih ketika itu. Kebetulan masjid menganjurkan kursus haji itu sangat dekat dengan rumahku! Biarpun kursus  haji ini nampak mudah, sebenarnya kita selalu terkeliru dan buntu bila berdepan dengan kemusykilan!

Aku dan arwah suami berpakat membuat haji ifrad. Kami berlepas awal Januari 2005. Ketika itu baru dua minggu tsunami besar melanda Indonesia, India, Thailand dan sebahagian kecil pulau. Aku berkesempatan menemubual dengan jemaah wanita dari Aceh yang terselamat dari tsunami! Terpegun aku melihat semangat beliau biarpun dia kehilangan orang tersayang!


Oleh kerana kami pergi haji akhir, aku berniat haji manakala yang buat haji Tamatuk  berniat umrah di dalam pesawat! Bila sudah berniat, bermulalah ihram, jaga pantang larang. Aku pula berihram selama sembilan hari. Selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada 10 Zulhijjah nanti, baru selesai ihram itupun tahalul kecil. Bertahalul sepenuhnya  selepas selesai melontar ketiga-tiga jamrah pada 14 Zulhijjah. 

Buat haji ifrad ini kena banyak bersabar kerana tempoh ihram yang lama! Bila kepala gatal aku tonyoh-tonyohkan dengan pen saja. Nak garu takut rambut gugur pulak. Kalau penyebab dari kita, diwajibkan bayar dam! Kalau tidak bayar berdosa! 

Aku kagum melihat sekelompok kecil jemaah muda lelaki menjalani haji ifrad. Ada ketikanya aku hampir ketawa melihat wajah mereka dengan misai yang mula tumbuh meliar, rambut terpacak-pacak dan kusut masai. Sudah pasti mereka tidak bersikat. Haji ifrad memang berat untuk jemaah lelaki kerana sentiasa memakai ihram dalam jangka masa yang panjang. Tapi ganjarannya besar kalau kita berjaya mengharungi ibadah itu dengan keikhlasan dan kesabaran!

Sampai di Jeddah, aku terkejut melihat jemaah wanita dengan selamba tanpa memakai stokin ke hulu ke hilir.
Tidak pasti samada dia faham atau tidak pantang larang dalam ihram! Perbuatan mendedah aurat dengan sengaja berdosa. Dalam keadaan begini serba salah untuk ditegur apatah kedudukan dia yang jauh dari ku!

Di hotel pula, aku terserempak seorang jemaah lelaki bersidai di depan pintu bilik yang leka mengetip kuku! Walhal kami semua masih dalam ihram! Kami akan ke masjid selepas Isyak kerana sampai di hotel hampir maghrib!  Bila ditegur dan cakap elok-elok lain pula fahamannya macam nak gaduh! Aku pun tak tahu apa terjadi pada jemaah lelaki itu  kerana kami masing-masing sibuk ke masjid!

Di masjid keadaan amat sesak! Dalam keadaan begini banyakkan berdoa dan solat taubat! Aku buat tawaf qudum dan rukun saie! Itulah kelebihan haji ifrad! Mana yang buat haji tamatuk sempurnakan umrah sampai selesai! 


Ketika sampai masa berangkat ke Arafah, pandangan manusia serba putih bagaikan salju terbentang luas berduyun-duyun untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta.
Namun ada cerita yang menyedihkan dalam rombongan kami, seorang jemaah lelaki membentak-bentak nak balik Malaysia. Dia buka ihram dan nak pakai baju. Puas ustaz memujuk dan kaunseling tetapi dia tetap berkeras! Ada juga jemaah wanita hanya pakai sarung kepala mengambil wuduk di laluan lelaki. Seluar terselak ke betis! Rupanya masih ada tidak ambil indah pantang larang  dalam ihram! Apa, ingat di Malaysia ke? 

Walaupun sesak, di Arafah tanah barakah, doa dimakbulkan! Bermalam di Arafah rukun Haji. Bagi yang sakit tenat dan tiada kemampuan wajib lalu selepas gelincir matahari dan berdoa. Masa ni memang banyak kelihatan  ambulan membawa jemaah yang uzur untuk memenuhi rukun haji! Selepas solat asar kami berdoa di luar khemah menghadap kiblat! Mohonlah pada-Nya seikhlas hati. MasyaAllah tiada terkata disaat itu. Syahdunya, bening, sepi...
 

Selepas tengah malam kami bergerak ke Mudzalifah seterusnya ke Mina. Walaupun jarak antara Arafah dan Mina tidak sampai satu jam, musim haji perjalanan boleh jadi lima ke enam jam! Rombongan bas kami sampai ke Mina selepas lima jam tersangkut dalam kesesakan. Tidak kurang ada yang sampai selepas zohor kerana tersesat!

Di dalam kesesakan ini aku menyaksikan bermacam ragam manusia. Kebetulan bas kami berhenti sekejap, kelihatan seorang jemaah wanita dari Iran dengan selamba terkencing tanpa disedari tingkah laku dia diperhatikan! Kelihatan air kencingnya melurut di atas jalan. Mengikut pandanganku air kencingnya mesti mengecik pada jubahnya. Hanya beberapa langkah dari jemaah wanita itu, sekumpulan jemaah lelaki bersolat! Selesai solat, salah seorang jemaah lelaki itu membentang pula sejadah betul-betul di atas kencing wanita tersebut. MasyaAllah! Pening kepala aku melihat kerenah mereka!



Bersambung



Wednesday, September 3, 2014

Kanvas Hidupku!

Gambar hiasan



Bersua kita hari ini. Semoga para pembaca dirahmati Allah swt. Mood aku tiba-tiba nak menulis! Tapi tak tahu apa nak tulis! Sebenarnya jiwaku aku tidak tenang sejak kebelakangan ini. Aku tahu jawapannya! Mungkin Allah telah mengetuk pintu hatiku agar aku perbanyakkan bertaubat lebih kerap lagi. Bumi mana tidak ditimpa hujan! Inikan manusia tidak pernah sunyi dari membuat dosa!

Aku berharap aku menjadi lebih terbaik selepas melakukan beberapa kesilapan! Allah menjadikan makhluknya dengan pelbagai ragam! Kalau tidak diuji, bagaimana kita nak mengaku beriman kepada-Nya! Hanya dengan ujian demi ujian yang Allah anugerahkan menjadi kita lebih dekat pada-Nya! Opps! Bukan sekadar dimulut tapi dengan rasa keinsafan!

Walaupun sudah setengah abad aku melalui kehidupan ini masih banyak perkara yang perlu aku belajar! Aku selalu terkhilaf, aku selalu tewas dalam amarahku! Sebenarnya tidak banyak perkara aku dapat berkongsi dengan semua orang!  Aku lebih banyak bermonolog dalam jiwaku! Ada kalanya aku terlalu ingin bercakap dengan seseorang tapi pada siapa?

Aku selalu bertanya pada diriku sendiri? Sampai bila aku harus hidup begini? Kasih saudara, kasih kawan hanya sementara! Itu pun masa kita sihat bagaimana kalau sakit berpanjangan. Sanggupkah mereka? Ya Allah, jangan kau uji aku dengan sakit berpanjangan, kronik sehingga aku tidak mampu beribadah kepada-Mu.

Aku tiada sesiapa? Hanya bersandar pada-Mu seluruh jiwa ragaku!

Walaupun Kau tidak anugerahkan aku seperti mana wanita lain yang mempunyai keluarga. Aku tetap bersyukur kerana aku lebih bernasib baik dari mereka yang kekurangan serba serbi! Di dalam kekuranganku, sebenarnya Allah banyak menganugerah masa untukku! Melalui masa inilah, banyak persoalan datang bertubi-tubi  kebenakku tanpa sedari Allah telah memberi jawapan melalui deria rasa dan kepekaanku!  Alhamdulillah! Hati ku masih belum mati sebelum masanya!

Biarpun aku pekerja bawahan, tiada pangkat, gaji kecil aku tidak pernah menyesal bekerja di sini! Biarpun ramai kawan silih berganti mencari padang yang lebih luas dan hijau aku tetap setia!  Di sini Allah ketemukan aku dengan hamba Allah yang sudi  mengajar ku membaca  al-Quran dengan bertajwid setelah lebih 10 tahun aku berdoa agar mendapat seorang guru al-Quran. Aku akui jiwaku kian lembut, hati ku tenang dan daya ingatan makin kuat!  Semoga hamba Allah itu dianugerah rezeki diberkati dunia akhirat!

Aku setia di sini kerana masih kuat ukhuwah dalam berjemaah. Hari-hari Allah memberi aku kesempatan berjemaah waktu asar. Adakalanya Allah limpahkan nikmat itu dikala aku terpaksa  berkerja lebih masa. Aku diberi kesempatan berjemaah waktu maghrib dan ada kalanya waktu Isyak! Semoga Allah melimpahi rezeki kesihatan yang sihat kepada hamba Allah itu yang ikhlas setiap masuk waktu mengalunkan azan dan menjadi imam untuk kami! 

Dulu aku selalu mempersoalkan nasib aku tidak sebaik orang lain. Aku selalu meratap diriku sendiri! Kini aku mesti bangkit perbaiki diri. Biarlah aku menangis kerana mengabai tanggungjawabku kepada-Mu! Kalau selama ini tugasku mewarnai dengan kreatif, sekarang aku harus mewarnai kehidupanku dengan lebih kreatif kerana hanya kita yang berhak melakari kanvas hidup ini!  Semoga Allah permudahkan tugasku!


Tuesday, September 2, 2014

Indahnya alam!






 Jambatan akar di Meghalaya.



 Zaman kanak-kanakku banyak masa dihabiskan di persekitaran rumah, sungai, pingiran hutan dan juga di kebun. Biarpun pernah membesar di bandar, aku amat beruntung kerana masih banyak ruang untuk bermain dengan alam! Tidak hairanlah jiwaku dekat dengan alam semula jadi!

Kasihan anak-anak zaman ini, mereka tidak sebebas seperti aku kerana kejadian jenayah semakin berleluasa. Kejadian culik pula semakin menjadi-jadi! Ibu bapa mana yang tidak risau! Anak-anak sudah tentu bosan kalau berkurung di rumah saja! Pilihan akhir ibubapa belikan alat gadget agar anak-anak tidak keluar rumah tidak tentu arah!

Namun bagi anak-anak yang tinggal di kampung,  mereka masih berpeluang bermain dan bertemankan alam sekitar! Bagi ibu bapa jangan terlalu membiarkan anak-anak asyik dengan gadjet sahaja! Sesekali bawalah anak-anak berkawan dengan alam! Kenalkan pelbagai spesis flora dan fauna! 

Masih ada anak-anak kita tidak kenal buah-buahan tempatan apatah pokoknya! Antara buah duku dan langsat pun tidak tahu! Kena tanya Mr Google dulu! Fikir-fikirkan wahai ibubapa!

Sebut tentang alam semula jadi, aku ingin berkongsi gambar yang ambil dari wikpedia dan blog! Tidak lupa kredit kepada Amos Chapple yang banyak menghasilkan foto menarik!

Meghalaya, India sebuah negeri yang paling lembab di dunia! Mawsynram daerah di Menghalaya diistiharkan kawasan paling lembab dengan taburan hujannya 1200sm!

Apa yang menariknya ingin aku kongsikan di sini tentang jambatan yang dibuat dari akar. Jambatan akar banyak dibina di Meghalaya kerana hakisan kerap berlaku ditebing sungai akibat hujan lebat yang luarbiasa.

Pokok yang selalu dijadikan jambatan akar dari spesis Ficus elastica! Jambatan akar ini mengambil masa 10 ke 15 tahun berfungsi sebaiknya. Kekuatan dan keteguhannya amat luarbiasa!



Jambatan akar di Padang.


Jambatan akar  turut didapati di Pulut-pulut dan Lubuak Glare, Padang, Sumatera Barat. Ia telah dibina oleh seorang ulama Pakih Sohan untuk memudahkan beliau berulang alik menuntut ilmu!  Jambatan ini dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun!

Alangkah menariknya kalau ada jambatan akar di negara kita! Sudah pasti menarik pelancung dalam dan luar negara! Pandangan unik ini  tidak kita temui di negara maju! Yang pastinya negara tidak maju mempunyai nilai artistik yang sukar ditafsir keindahannya! Kehebatan dan kreatif makhluk bernama manusia terserlah di mata zahir tersembunyi di mata hati!