Jadikan akal itu pemandu kita. Biarpun dalam kegelapan... kita tidak akan tersesat!
Monday, September 8, 2014
Catatan Perjalananan Hajiku (Akhir)
Aku selalu ditanya oleh kawan-kawan ada jumpa benda ganjil tak? Ada cerita pelik tak? Kenapa pulak soalan itu ditanya? Kita ke sana untuk beribadah! Aku cakap banyak cerita pelik! Cerita pelik pasal ragam jemaah yang tidak sabar dan buat perangai macam berada di Malaysia! Pergi ibadah tapi masih membeza-beza pangkat dan darjat! Kenapa kita pakai ihram? Suka-suka ke? Kenapa kita tidak hayati sebab kita pakai ihram, kenapa ada pantang larang? Namun segelintir jemaah haji masih tidak memahami konsep haji.
Ketika aku berada di Madinah, aku melihat dengan jelas betapa jemaah haji dari grup lima bintang (tidak semua) menunjukkan tidak keselesaan bila grup kami dari satu bintang berkongsi hotel dan makan di tempat yang sama! Mereka marah-marah kepada petugas haji kenapa mesti berkongsi, kami bayar berpuluh ribu! Petugas tiada jawapan! Dalam pakej syarat terma sudah jelas, keistimewaan hanya di Mekah, hotel lima bintang dan dekat dengan masjid! Itu saja! Di Arafah, Mina dan Madinah tiada keistimewaan pun, semua sama tanpa perbezaan bintang pun!
Aku telah berjumpa dua orang jemaah dari grup satu bintang berkongsi cerita. Mereka tidak menyangka berkongsi bas dengan jemaah dari grup lima bintang ketika berziarah menjadi cerita sedih! Ketika salah seorang jemaah dari grup lima bintang mengagih kurma dan minuman, sampai giliran kepada mereka dengan spontan jemaah ini bersuara sambil menyindir “eh eh dalam bas ni ada dua jemaah tersesatlah!” Lantas jemaah lain saling perpandangan pada dua jemaah tersebut. Lagi menyedihkan buah kurma dan minuman langsung tidak dibagikan kepada mereka walhal itu adalah sedekah dari individu!
Dua jemaah itu rasa amat terhina dan malu sangat dengan kata-kata dari jemaah tersebut! Cerita dua jemaah itu lagi sambil menangis di dalam masjid Nabawi. “Kami di arah naik bas itu bukan suka-suka nak naik!” Tak sangka di kota suci Rasulullah masih ada sekelompok manusia tidak memahami menjadi tetamu Allah! Allah telah mengizinkan hamba-Nya bertandang ke tempat suci tapi hamba-Nya juga yang mengotorkan! Semoga Allah ampunkan dosa mereka!
Perkara ini memang tidak diajar dalam kursus haji! Tapi akal dan iman menjadi pedoman manusia. Nafsu amarah berada di mana-mana saja biarpun di Mekah dan Madinah. Kitalah yang mengawalnya. Masakan ada pencuri, penyeluk saku biarpun telinga dialun azan dan bacaan al-Quran namun tiada berkesan di hati mereka yang sudah mati. Semoga kita tidak termasuk dalam kelompok ini! Nauzubillah!
Aku pun nyaris di raba bila terasa sesuatu bergerak-gerak dalam telekungku! Rupanya jemaah lelaki di hadapanku berhempas pulas mencuba memasukkan tangannya ke dalam telekungku. Nasib baik aku cepat perasan! Ditarik segera tangannya. Hish kalau diikut hati mahu aku debik belakangnya biar padan muka dia!
Alhamdulillah di Madinah, batuk dan selsema aku hilang. Jujurnya bersolat di masjid Nabawi terlalu terlalu syahdu bagiku! Mungkin juga jemaah wanita berasingan dengan jemaah lelaki! Pelbagai wajah dari seburuk-buruknya, secantik-cantiknya paras dan tidak sempurna bersatu di atas saf dan sujud kepada-Nya! Allah tidak memandang rupa tapi memandang takwa hamba-Nya! Semoga aku terpilih menjadi hamba-Mu yang bertakwa! Aku amat bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu-Mu di kala tubuhku masih kuat dan sihat!
Kau doronglah pada hamba-Mu yang hina ini melakukan kebaikan! Jauhkan dari sifat riak, angkuh, sombong dan berdendam. Aku yakin kalau baik yang kita minta insyaallah Allah akan limpah kurnia kepada kita! Kalau terniat kita untuk berbuat kebaikan dan ibadah segerakanlah kita lakukan! Kalau kita berjaya melakukan, bersyukurlah kepada-Nya kerana itu adalah limpah kurnia dari-Nya! Jangan sesekali kita mendakwa kerajinan kita beribadah dan berbuat baik kerana kemahuan diri sendiri! Kerana segalanya datang dari-Nya dan keizinan-Nya. Kita tiada apa-apa pun...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Betul tu yang peliknya pelbagai ragam manusia yang masih tak ingat mengerjakan Haji tu tiada darjat dan pangkat semuanya sama sahaja.
Sama juga bila berjemaah di masjid, yang duduk di saf depan bukan mengira pangkat dan darjat juga, siapa yang melangkah kaki dulu niat untuk mengerjakan ibadat solat wajib itulah boleh diberikannya saf tersebut.
Syukur Alhamdulillah dapat sudah melaksanakan ibadat haji.
Tukang kebun hati belum bersedia lagi.
Post a Comment