Monday, August 25, 2014

Semoga Allah Merahmati Mu!





'Kerap kali aku berjanji, kerap kali aku mengingkari! Malunya aku kepada-Mu! Apakah Kau menerima taubatku?' 

Amarahku memuncak bagaikan halilintar membelah bumi! Biarpun aku cuba belajar menjadi sabar dan terus sabar, namun kali ini aku tewas! Syaitan meniup-niup amarahku sehingga aku tidak sedar apa yang aku buat! Ya syaitan kau tersenyum puas, tapi kali ini aku tidak akan biarkan kau mengambil kesempatan! Kali ini aku yakin kau akan tewas!

Tidak adil kalau aku katakan kau tidak baik! Jujurnya aku amat mengenali dirimu. Cuma kau kerap mengulangi perbuatan yang aku kira kelemahan besar pada dirimu! Ya, aku juga mengaku sering mengulangi perbuatan yang sama yang aku kira kelemahan paling besar dalam diriku!

Kalau kau berjaya mengawal amarahmu dan aku berjaya menunduk amarahku pasti keadaan ini tidak terjadi! Aku gagal menjadi manusia yang berjaya mengawal amarah! 

Kami tidak dapat mengelak! Pasti kami akan bertembung dalam apa cara pun! Biarpun kau masih menyindirku, aku tidak kisah dan tidak berbekas langsung dihatiku. Apa yang aku hamburkan itu satu realiti cuma caraku terlalu sadis sehingga kau amat tertekan!

Aku tidak mahu menjadi manusia yang sia-sia! Jiwaku tidak tenang! Aku takut kalau Allah tidak memberi kesempatan untukku bertaubat.  Aku buang egoku jauh-jauh. Tidak kira siapa yang memulakan! Yang penting aku mahu membersihkan jiwa aku dari kekotoran penyakit hati. Aku mesti lawan!

Hari ini 25 Ogos bersamaan 29 Syawal dengan izin-Mu, Kau gerakkan hatikku untuk berbuat kebaikan. Aku memohon maaf dan ampun atas keterlanjuranku padamu. Terserah padamu untuk menerima atau menolak!  Aku lebih takut kalau Allah tarik sifat Pemurah-Nya kepadaku sehingga hatiku buta!

Syukur pada-Mu Ya Allah, Kau dorong hamba-Mu yang hina kepada kebaikan! Semoga empunya badan dirahmati Allah swt!


Friday, August 22, 2014

Peliharalah kami Ya Allah!




Hari ini 22 Ogos diistiharkan Hari Perkabungan Negara khas untuk jenazah M17 yang selamat 'kembali' ke tanah air. Tiada apa dapat diluahkan melainkan kesedihan dan doa mengiringi jenazah ke destinasi terakhir!

Perpisahan itu pasti! Yang tidak pasti di mana, bagaimana dan bila kita di panggil menghadap-Nya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui! Biar jasad hancur dan luluh bukan itu persoalannya? Tapi bagaimana hamba Allah itu mengakhiri kehidupan dengan bertakwa di sisi Allah! Semuanya ketentuan dan takdirnya! Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat!

Tidak dapat aku membayangkan di kala saat dan detik mangsa berhadapan dengan sakratulmaut! Ketika mereka sedang bersandar keletihan, berbual-bual, merenung awan memutih, termenung mengimbau kenangan manis pahit dan bayangan bertemu orang disayangi! Sekali gus, sekelip mata semua lenyap, pandangan hitam dan kesakitan....

Ya Allah hanya kau mengetahui apa dirasai oleh mangsa tersebut! Fikiranku tidak mampu menjangkau ke arah itu! Aku terlalu sedih bukan perpisahan tapi bagaimana kalau aku menjadi mangsa dan berdepan dengan kematian tanpa dijangka!

Apakah aku masih merasa kesakitan itu! Apakah aku dapat melihat mereka menguis-guis dicelah bangkai kapal terbang mencari jasadku yang hancur? Apakah aku dapat mendengar perbualan mereka bila jasadku dihimpun, dibelek, dimandi dan dikafankan? Begitulah apa bermain di kotak fikirankanku setiap kali aku mengenang tragedi M17!

Ya Allah, Kau Maha Pengasih dan Penyayang! Mereka yang terkorban akibat perbuatan rakus segelintir manusia yang tidak ada hati dan perasaan! Kami rakyat Malaysia menerima takdir-Mu! Anggaplah apa yang menimpa keatas MH370 dan MH17 adalah ujian Allah swt kepada rakyat Malaysia yang kian hari makin luntur kasih-sayang, fitnah berleluasa dan kuasa menjadi agenda!

Apa akan terjadi pada negara yang aku cintai dalam 10 tahun akan datang? Islam dijunjung bukan lagi untuk diamal dan ditaati!  Tapi untuk habuan dunia dan kuasa! Kita berada dalam 1001 kemudahan dan keselesaan dalam beramal. Apakah ini ujian yang Allah turunkan kepada kita semua? Renungkanlah dan hayatilah apa sebenarnya tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Allah swt?

Ya Allah, kau pelihara negaraku, lindungi dari sebarang bencana dan fitnah! Masih ada hamba-hamba-Mu yang mendamba kasih-Mu dan limpah Kurnia-Mu. Ya Allah, Kau ampunkan dosa-dosa mereka dan berilah petunjuk kepada mereka yang jauh tersasar!








Wednesday, August 20, 2014

Tepuk dada tanya iman!






Hidup ini bagaikan pantai! Sentiasa di pukul ombak! Begitu juga kehidupan kita sebagai kalifah di muka bumi ini! Allah meminjamkan segala nikmat yang tiada terhingga kepada hamba-Nya! Namun sejauh mana kita bersyukur atas nikmat Allah, hanya iman sahaja menjadi pengukur!

Memang mudah kita berbicara pasal iman! Hanya bermodal air liur dan bibir semua orang boleh berbicara mengikut kelebihan ilmu masing-masing! Bicara pasal iman, kita tidak teragak-agak mengatakan golongan ulama, ustaz-ustaz atau mereka berkelulusan bidang agama atau berkaitan saling dipandang tinggi imannya!

Malah mereka yang bertudung atau menutup aurat yang dikatakan sudah berhijrah turut dilabel tinggi imannya! Mudahnya masyarakat kita melabel dengan perkataan iman dan hijrah mengikut kefahaman mereka! Bagaimana pula mereka yang tidak menutup aurat tapi tidak pernah meninggalkan solat dan berakhlak mulia? Adakah mereka ini tidak berhijrah!

Kita imbau kehidupan wanita di zaman dahulu hingga era 80an. Rata-rata mereka tidak bertudung! Ibu saya pun tidak pernah bertudung sehingga beliau meninggal dunia! Adakah ibu saya tidak pernah berhijrah dan matinya pasti masuk neraka? Itu rahsia Allah!

Saya tersentap ceramah seorang ustaz di dalam video di mana sewenang-wenang mengata mangsa-mangsa M17.' Kalau mereka tidak puasa.... kalau mereka tidak menutup aurat...mereka matiii.....bla, bla.' Tidak sanggup saya mendengarnya. Marah dan sedih. Tak dapat saya bayangkan  kalau waris mangsa melihat ceramah ustaz itu! Kita nilailah dimana tahap iman ustaz tersebut!

Saya tertarik cara pendakwah terkenal seperti Dr Zakir Naik dan Yusof Estees menyampaikan ceramah. Pendekatan mereka mesra Islam bukan menjatuh hukum demi hukum. Mereka bukan saja  menarik non muslim mendengar ceramah tetapi mampu membuka pintu hati mereka sehingga mengucap syahadah! Subhanallah! Hebatnya mereka. Tak perlu ceramah  sehingga menjadi rancangan Raja Lawak untuk menarik hadirin! Mampukah ustaz-ustaz kita!

Tiada siapa yang mampu menilai iman seseorang! Namun kita boleh melihat dengan mata kasar cara kehidupan dan kesabaran seseorang bila diuji! Hakikinya hanya Allah sahaja yang layak menilainya! Siapa kita untuk mengukurnya dan mengaku sudah berhijrah! Kita hanya hamba! Sebagai hamba, kita mengikut perintah, jangan engkar, bukan meminta-minta pahala dan buat apa sahaja demi-Nya! Kita hanya layak meminta kepada-Nya agar kekalkan hidayah kepada kita. Tanpa hidayah kita sesat selama-lamanya! Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya yang kadangkalanya tertewas dalam ujian-Mu!










Saturday, August 9, 2014

Antara Lorong Nostalgik dan Sebuah Rumah!




Rumahku ini sudah hampir berusia 40 tahun. Aku bangga dibesarkan di sini walaupun aku bukan  dilahirkan di kampung! Tanpa pengorbanan orang tua sudah pasti aku tidak dapat menikmati kehidupan kampung! Biarpun rumah ini tidak segah dulu kerana sudah banyak dinding dan lantai mereput ia bukan menjadi halangan untuk kami berkumpul bersama keluarga di kala hari raya ataupun  majlis perkahwinan.

Apa yang  aku ingin berkongsi dengan teman-teman, keringat dan suka duka ketika di awal pembinaan rumahku ini! Kedudukan tapak rumahku lebih kurang 150 meter dari jalan raya. Ia dihubungi sebatang lorong yang selebar tidak sampai pun sedepa tangan orang dewasa! Hanya motosikal dan basikal sahaja yang mampu melewati lorong ini!

Lorong ini terlalu nostalgik. Di sepanjang lorong ini ada sebuah parit berpasir putih dan  sentiasa di genangi air jernih mengalir yang tidak pernah putus. Tidak hairanlah ikan-ikan  banyak bermain dicelah-celah tebing parit! Aku sudah beberapa kali terjatuh dari basikal mahupun motosikal di lorong sempit ini kerana hilang imbangan! Ketika perkahwinan kakakku, ada seorang ahli rombongan pihak pengantin lelaki turut terjatuh kedalam parit kerana di sangka ada laluan ketika di malam hari!

Kisah ayahku ketika pulang dari masjid bertembung dengan seekor ular yang sedang menyusur dilorong ini! Hanya berteman cahaya dari sebatang mancis ayahku mengangkang kaki selebar-lebarnya untuk memberi laluan kepada ular tersebut! Tak dapat aku bayangkan dikala itu! Tidak lupa juga di saat cemas, kakakku diusung ketika saat melahirkan! Ada yang hampir terjatuh kerana tak cukup tanah untuk berpijak! Disebalik cerita lucu itu ada juga cerita seram dipohon rimbun  buluh ditepi lorong ini!

Setiap kali menghampiri rimbun buluh ini bau seakan tapai masam menyucuk kuat ke hidung! Oleh kerana cerita yang sama juga didengari dari orang lain kami mengelar penunggu tapai masam!  Aku sendiri pernah disapa bunyi ngeraman suara keras ketika balik dari mengaji! Fuhhh seramnya!  

Berbalik semula tentang  pembinaan rumahku. Ia bermula lima bulan terakhir pada tahun 1974! Ketika  itu aku di darjah lima dan bersekolah di Johor Bahru! Ayahku pula akan pencen polis pada penghujung tahun 1974 ketika cuti sekolah bermula! Kesibukan ayahku pada tugasnya saat-saat perkhidmatannya, ibukulah yang berulang alik ke kampong untuk memantau proses pembinaan rumah!

Sukarnya dikala itu. Manakan tidak tapak rumah harus ditarah dan diratakan hanya menggunakkan cangkul! Ini kerana jentera berat, bulldozer tidak boleh masuk melalui lorong ini. Biarpun  ada perundingan dengan tuan tanah untuk mengizinkan laluan sementara untuk bulldozer namun tuan tanah tetap berkeras! Walaupun ibuku berjanji akan membayar dan membaik pulih dimana tanah tuan tanah terlibat! Disinilah bermulanya keringat pilu mengalir di dahi ibuku.

Ibuku seorang perisau, dia tidak senang duduk! Manakala ayah hanya sempat menjenguk sekejap-kejap  sahaja kerana terikat dengan tugas! Maka ibuku lebih banyak menghabiskan masa di kampong dan tinggal di rumah nenekku! Sepatutnya proses meratakan tapak rumah hanya mengambil masa yang singkat! Tapi apakan daya, ia terhalang kerana tiada persetujuan dari seorang tuan tanah!

Proses meratakan tapak rumah secara manual sudah tentu mengambil masa yang lama selain terpaksa membawa  barang-barang binaan dari jalan besar.  Ini menyebabkan ia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rumah! Untuk mempercepatkan proses pembinaan, ibuku mengupah anak-anak jiran untuk mengangkat batu bata selain pekerja binaan dan ibuku juga turut terlibat sama! Malah ibuku turut sama-sama menarah tanah tanpa memperdulikan kesihatannya yang mula merudum!

Akhirnya  rumah kebanggaanku berdiri dengan megahnya! Ketika segala  barang-barang perpindahan kami dari Johor Bahru di bawa masuk, tangga  rumahku masih belum siap sepenuhnya dan rosak kerana dipijak berkali-kali! Tapi ibu tersenyum puas!  Takdir Allah, hanya empat bulan tuhan mengizinkan ibu tinggal di rumah ini.  Selepas itu ibu sakit terlantar kerana menghidap kanser rahim diperingkat akhir. Kini baru aku tahu  kenapa ibu bersungguh-sungguh untuk menyiapkan rumah kami biarpun dia sudah ada penyakit kanser!

Ketika itu penyakit kanser terlalu asing bagi kami untuk memahaminya. Walaupun ibu diberi peluang akhir untuk menjalani kemotrapi, tapi dia menolak kerana badannya sudah tidak dapat bertahan!   Aku tidak lupa ketika ibu diusung di atas kerusi rotan  setelah mengambil keputusan tidak mahu di rawat di hospital! Sukarnya dikala itu ketika ibu diangkat beramai-ramai melalui lorong sempit itu!

Akhirnya pada malam Isnin di bulan Ramadhan selepas kami berbuka, ibu nazak! Kami mengelilingi ibu! Ibu menarik nafas panjang!  Di dalam kepayahan ibu mengangkat takbir! Ia pergi dalam tenang!  Di kala jasad ibu terbujur, tuan tanah itu datang meraung-raung! Menyesal  tiada berguna!

Kini lorong nostalgik  itu sudah terbentang menjadi jalan! Walaupun kini ada laluan alternatif ke rumahku namun lorong nostalgik ini banyak mengajar aku erti kasih sayang, telus sesama insan. Yang penting  lorong nostalgik ini dapat menembus kesalahan dan hutang dari mereka yang tidak sempat membuat kebajikan. Aku yakin, dengan terbentang jalan ini, mereka yang pergi pasti bahagia di sana. Ya, kita yang masih hidup teruskan kesempatan  untuk melaksana usaha yang murni demi kasih sayang samada pada yang hidup dan yang sudah pergi! Semoga roh mereka dicucuri rahmat!