Saturday, August 9, 2014

Antara Lorong Nostalgik dan Sebuah Rumah!




Rumahku ini sudah hampir berusia 40 tahun. Aku bangga dibesarkan di sini walaupun aku bukan  dilahirkan di kampung! Tanpa pengorbanan orang tua sudah pasti aku tidak dapat menikmati kehidupan kampung! Biarpun rumah ini tidak segah dulu kerana sudah banyak dinding dan lantai mereput ia bukan menjadi halangan untuk kami berkumpul bersama keluarga di kala hari raya ataupun  majlis perkahwinan.

Apa yang  aku ingin berkongsi dengan teman-teman, keringat dan suka duka ketika di awal pembinaan rumahku ini! Kedudukan tapak rumahku lebih kurang 150 meter dari jalan raya. Ia dihubungi sebatang lorong yang selebar tidak sampai pun sedepa tangan orang dewasa! Hanya motosikal dan basikal sahaja yang mampu melewati lorong ini!

Lorong ini terlalu nostalgik. Di sepanjang lorong ini ada sebuah parit berpasir putih dan  sentiasa di genangi air jernih mengalir yang tidak pernah putus. Tidak hairanlah ikan-ikan  banyak bermain dicelah-celah tebing parit! Aku sudah beberapa kali terjatuh dari basikal mahupun motosikal di lorong sempit ini kerana hilang imbangan! Ketika perkahwinan kakakku, ada seorang ahli rombongan pihak pengantin lelaki turut terjatuh kedalam parit kerana di sangka ada laluan ketika di malam hari!

Kisah ayahku ketika pulang dari masjid bertembung dengan seekor ular yang sedang menyusur dilorong ini! Hanya berteman cahaya dari sebatang mancis ayahku mengangkang kaki selebar-lebarnya untuk memberi laluan kepada ular tersebut! Tak dapat aku bayangkan dikala itu! Tidak lupa juga di saat cemas, kakakku diusung ketika saat melahirkan! Ada yang hampir terjatuh kerana tak cukup tanah untuk berpijak! Disebalik cerita lucu itu ada juga cerita seram dipohon rimbun  buluh ditepi lorong ini!

Setiap kali menghampiri rimbun buluh ini bau seakan tapai masam menyucuk kuat ke hidung! Oleh kerana cerita yang sama juga didengari dari orang lain kami mengelar penunggu tapai masam!  Aku sendiri pernah disapa bunyi ngeraman suara keras ketika balik dari mengaji! Fuhhh seramnya!  

Berbalik semula tentang  pembinaan rumahku. Ia bermula lima bulan terakhir pada tahun 1974! Ketika  itu aku di darjah lima dan bersekolah di Johor Bahru! Ayahku pula akan pencen polis pada penghujung tahun 1974 ketika cuti sekolah bermula! Kesibukan ayahku pada tugasnya saat-saat perkhidmatannya, ibukulah yang berulang alik ke kampong untuk memantau proses pembinaan rumah!

Sukarnya dikala itu. Manakan tidak tapak rumah harus ditarah dan diratakan hanya menggunakkan cangkul! Ini kerana jentera berat, bulldozer tidak boleh masuk melalui lorong ini. Biarpun  ada perundingan dengan tuan tanah untuk mengizinkan laluan sementara untuk bulldozer namun tuan tanah tetap berkeras! Walaupun ibuku berjanji akan membayar dan membaik pulih dimana tanah tuan tanah terlibat! Disinilah bermulanya keringat pilu mengalir di dahi ibuku.

Ibuku seorang perisau, dia tidak senang duduk! Manakala ayah hanya sempat menjenguk sekejap-kejap  sahaja kerana terikat dengan tugas! Maka ibuku lebih banyak menghabiskan masa di kampong dan tinggal di rumah nenekku! Sepatutnya proses meratakan tapak rumah hanya mengambil masa yang singkat! Tapi apakan daya, ia terhalang kerana tiada persetujuan dari seorang tuan tanah!

Proses meratakan tapak rumah secara manual sudah tentu mengambil masa yang lama selain terpaksa membawa  barang-barang binaan dari jalan besar.  Ini menyebabkan ia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rumah! Untuk mempercepatkan proses pembinaan, ibuku mengupah anak-anak jiran untuk mengangkat batu bata selain pekerja binaan dan ibuku juga turut terlibat sama! Malah ibuku turut sama-sama menarah tanah tanpa memperdulikan kesihatannya yang mula merudum!

Akhirnya  rumah kebanggaanku berdiri dengan megahnya! Ketika segala  barang-barang perpindahan kami dari Johor Bahru di bawa masuk, tangga  rumahku masih belum siap sepenuhnya dan rosak kerana dipijak berkali-kali! Tapi ibu tersenyum puas!  Takdir Allah, hanya empat bulan tuhan mengizinkan ibu tinggal di rumah ini.  Selepas itu ibu sakit terlantar kerana menghidap kanser rahim diperingkat akhir. Kini baru aku tahu  kenapa ibu bersungguh-sungguh untuk menyiapkan rumah kami biarpun dia sudah ada penyakit kanser!

Ketika itu penyakit kanser terlalu asing bagi kami untuk memahaminya. Walaupun ibu diberi peluang akhir untuk menjalani kemotrapi, tapi dia menolak kerana badannya sudah tidak dapat bertahan!   Aku tidak lupa ketika ibu diusung di atas kerusi rotan  setelah mengambil keputusan tidak mahu di rawat di hospital! Sukarnya dikala itu ketika ibu diangkat beramai-ramai melalui lorong sempit itu!

Akhirnya pada malam Isnin di bulan Ramadhan selepas kami berbuka, ibu nazak! Kami mengelilingi ibu! Ibu menarik nafas panjang!  Di dalam kepayahan ibu mengangkat takbir! Ia pergi dalam tenang!  Di kala jasad ibu terbujur, tuan tanah itu datang meraung-raung! Menyesal  tiada berguna!

Kini lorong nostalgik  itu sudah terbentang menjadi jalan! Walaupun kini ada laluan alternatif ke rumahku namun lorong nostalgik ini banyak mengajar aku erti kasih sayang, telus sesama insan. Yang penting  lorong nostalgik ini dapat menembus kesalahan dan hutang dari mereka yang tidak sempat membuat kebajikan. Aku yakin, dengan terbentang jalan ini, mereka yang pergi pasti bahagia di sana. Ya, kita yang masih hidup teruskan kesempatan  untuk melaksana usaha yang murni demi kasih sayang samada pada yang hidup dan yang sudah pergi! Semoga roh mereka dicucuri rahmat!







3 comments:

Zul said...

Memang sedih mengenangkan kisah lama...Walaupun begitu kita tidak pernah membenci mereka...

NOOR said...

Kekurangan dia bukan bermakna dia tidak baik...

Unknown said...

Sodih bilo membaco peristiwa ini moga kito yg hidup akan lebih peribatin dgn peristiwa ini jgn lah permara yang lalu menjadj lesen utk kito membalas domdam...