Rumahku ini sudah hampir berusia 40 tahun. Aku bangga
dibesarkan di sini walaupun aku bukan
dilahirkan di kampung! Tanpa pengorbanan orang tua sudah pasti aku tidak
dapat menikmati kehidupan kampung! Biarpun rumah ini tidak segah dulu kerana
sudah banyak dinding dan lantai mereput ia bukan menjadi halangan untuk kami berkumpul bersama keluarga di kala hari raya ataupun majlis perkahwinan.
Apa yang aku ingin berkongsi dengan teman-teman,
keringat dan suka duka ketika di awal pembinaan rumahku ini! Kedudukan tapak
rumahku lebih kurang 150 meter dari jalan raya. Ia dihubungi sebatang lorong yang selebar tidak sampai pun sedepa tangan orang
dewasa! Hanya motosikal dan basikal sahaja yang mampu melewati lorong ini!
Lorong ini terlalu nostalgik. Di
sepanjang lorong ini ada sebuah parit berpasir putih dan sentiasa di genangi air jernih mengalir yang
tidak pernah putus. Tidak hairanlah ikan-ikan
banyak bermain dicelah-celah tebing parit! Aku sudah beberapa kali terjatuh
dari basikal mahupun motosikal di lorong sempit ini kerana hilang imbangan! Ketika
perkahwinan kakakku, ada seorang ahli rombongan pihak pengantin lelaki turut
terjatuh kedalam parit kerana di sangka ada laluan ketika di malam hari!
Kisah ayahku ketika pulang dari
masjid bertembung dengan seekor ular yang sedang menyusur dilorong ini! Hanya
berteman cahaya dari sebatang mancis ayahku mengangkang kaki selebar-lebarnya
untuk memberi laluan kepada ular tersebut! Tak dapat aku bayangkan dikala itu! Tidak lupa juga di saat cemas, kakakku diusung ketika saat melahirkan! Ada yang hampir terjatuh kerana tak cukup tanah untuk berpijak! Disebalik cerita lucu itu ada juga cerita seram dipohon rimbun buluh ditepi lorong ini!
Setiap kali menghampiri rimbun
buluh ini bau seakan tapai masam menyucuk kuat ke hidung! Oleh kerana cerita yang
sama juga didengari dari orang lain kami mengelar penunggu tapai masam! Aku sendiri pernah disapa bunyi ngeraman
suara keras ketika balik dari mengaji! Fuhhh seramnya!
Berbalik semula tentang pembinaan rumahku. Ia bermula lima bulan
terakhir pada tahun 1974! Ketika itu aku
di darjah lima dan bersekolah di Johor Bahru! Ayahku pula akan pencen polis
pada penghujung tahun 1974 ketika cuti sekolah bermula! Kesibukan ayahku pada
tugasnya saat-saat perkhidmatannya, ibukulah yang berulang alik ke kampong untuk
memantau proses pembinaan rumah!
Sukarnya dikala itu. Manakan
tidak tapak rumah harus ditarah dan diratakan hanya menggunakkan cangkul! Ini
kerana jentera berat, bulldozer tidak boleh masuk melalui lorong ini. Biarpun ada perundingan dengan tuan tanah untuk mengizinkan
laluan sementara untuk bulldozer namun tuan tanah tetap berkeras! Walaupun ibuku berjanji akan membayar dan membaik pulih
dimana tanah tuan tanah terlibat! Disinilah bermulanya keringat pilu mengalir di dahi ibuku.
Ibuku seorang perisau, dia tidak
senang duduk! Manakala ayah hanya sempat menjenguk sekejap-kejap sahaja kerana terikat dengan tugas! Maka ibuku
lebih banyak menghabiskan masa di kampong dan tinggal di rumah nenekku!
Sepatutnya proses meratakan tapak rumah hanya mengambil masa yang singkat! Tapi
apakan daya, ia terhalang kerana tiada persetujuan dari seorang
tuan tanah!
Proses meratakan tapak rumah
secara manual sudah tentu mengambil masa yang lama selain terpaksa membawa barang-barang binaan dari jalan besar. Ini menyebabkan ia mengambil masa yang lama
untuk menyiapkan rumah! Untuk mempercepatkan proses pembinaan, ibuku mengupah
anak-anak jiran untuk mengangkat batu bata selain pekerja binaan dan ibuku juga
turut terlibat sama! Malah ibuku turut sama-sama menarah tanah tanpa
memperdulikan kesihatannya yang mula merudum!
Akhirnya rumah kebanggaanku berdiri dengan megahnya!
Ketika segala barang-barang perpindahan
kami dari Johor Bahru di bawa masuk, tangga rumahku masih belum siap sepenuhnya dan rosak kerana
dipijak berkali-kali! Tapi ibu tersenyum puas! Takdir Allah, hanya empat bulan tuhan
mengizinkan ibu tinggal di rumah ini. Selepas
itu ibu sakit terlantar kerana menghidap kanser rahim diperingkat akhir. Kini
baru aku tahu kenapa ibu
bersungguh-sungguh untuk menyiapkan rumah kami biarpun dia sudah ada penyakit
kanser!
Ketika itu penyakit kanser terlalu
asing bagi kami untuk memahaminya. Walaupun ibu diberi peluang akhir untuk
menjalani kemotrapi, tapi dia menolak kerana badannya sudah tidak dapat
bertahan! Aku tidak lupa ketika ibu diusung di atas
kerusi rotan setelah mengambil keputusan
tidak mahu di rawat di hospital! Sukarnya dikala itu ketika ibu diangkat
beramai-ramai melalui lorong sempit itu!
Akhirnya pada malam Isnin di
bulan Ramadhan selepas kami berbuka, ibu nazak! Kami mengelilingi ibu! Ibu
menarik nafas panjang! Di dalam
kepayahan ibu mengangkat takbir! Ia pergi dalam tenang! Di kala jasad ibu terbujur, tuan tanah itu
datang meraung-raung! Menyesal tiada berguna!
Kini lorong nostalgik itu sudah terbentang menjadi jalan! Walaupun kini ada laluan alternatif ke rumahku namun lorong nostalgik ini banyak
mengajar aku erti kasih sayang, telus sesama insan. Yang penting lorong nostalgik ini dapat menembus kesalahan
dan hutang dari mereka yang tidak sempat membuat kebajikan. Aku yakin, dengan terbentang jalan ini, mereka yang pergi pasti bahagia di sana. Ya, kita yang masih hidup teruskan kesempatan untuk melaksana usaha yang murni demi kasih sayang samada pada yang hidup dan yang sudah pergi! Semoga roh mereka
dicucuri rahmat!
3 comments:
Memang sedih mengenangkan kisah lama...Walaupun begitu kita tidak pernah membenci mereka...
Kekurangan dia bukan bermakna dia tidak baik...
Sodih bilo membaco peristiwa ini moga kito yg hidup akan lebih peribatin dgn peristiwa ini jgn lah permara yang lalu menjadj lesen utk kito membalas domdam...
Post a Comment