Wednesday, December 24, 2014

Suka duka seorang wanita!


Assalamualaikum pembaca yang sudi membaca blog aku agar dimakmurkan rezeki kesihatan.

Sebenarnya sejak kebelakangan ini aku kurang mood untuk menulis! Dengan kesibukan kerja, perkahwinan tiga anak saudara lelakiku dari bulan November hingga Disember. Hush! Letih rasanya ditambah peristiwa diluar jangkaan berlaku. Biji mata ni pulak sakit bagaikan dipicit itu tandanya nak cermin mata barulah tu!

Tapi jangan diikutkan sangat mood ada atau tidak. Semuanya bergantung kepada semangat! Takut nanti sifat malas tu menguasai segala-galanya. Semoga Allah melimpahi kekuatan, semangat dan ilham untukku mencoret segala luahanku.

Kelmarin aku menonton filem Indonesia Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dalam Astro First karya Pak Hamka. Filem ini berjaya meruntun jiwaku. Sehingga akhir babak aku tidak dapat menahan sebak. Entah berapa kali aku menyeka air mata! Kisah percintaan yang tidak kesampaian antara Zainudin dan Hayati lantaran perbezaan darjat!

Kekuatan filem ini kerana skripnya yang mantap! Karya Pak Hamka banyak mengupas kepincangan adat dalam masyarakat Minang yang kebetulan tempat asal beliau. Mengangkat adat sehingga mengetepikan agama adalah fenomena biasa dalam masyarakat Minang! Mereka yang ada kuasa dan kedudukan dalam masyarakat terus dijunjung biarpun kurang berilmu!

Dalam adat Minang dahulu anak lelaki seusia enam tahun tidak layak lagi tinggal bersama ibu bapa. Mereka mesti tidur disurau atau pesantren sambil belajar agama! Malang sekali sehingga mendirikan rumah tangga, mereka tiada kuasa keatas dirinya sebagai seorang suami! Mereka mesti tinggal bersama keluarga isteri di rumah gadang! Segala harta pencarian suami dimiliki oleh isteri dan keluarga isteri. Kalau berlaku perceraian  maka sisuami keluar sehelai sepinggang!

Mungkin disatu sudut untuk memelihara kaum wanita agar tidak teraniaya atau terabai bila berlaku sesuatu musibah! Namun tiada mustahil berlaku tidak keadilan pada si suami bila timbul perasaan tamak pada siisteri atau keluarga isteri! Begitulah berlaku pada Zainudin yang tiada suku sebab ibunya orang Makassar. Beliau dipandang hina dan dianggap orang luar biarpun bapanya orang Minang! Darjat juga dipandang tinggi!

Sebagai ulama, ilmuwan dan pujangga banyak karya Pak Hamka menyindir golongan yang kuat memegang adat sehingga berlaku pergolakan dalam masyarakat yang bertentangan dengan agama. Banyak kata-kata pujangga Pak Hamka yang menarik biarpun bunyinya amat keras sekali ekoran masalah jurang sosial yang menebal ekoran pegangan adat yang kuat di zaman beliau!

Namun demikian tanggapanku kaum wanitalah yang paling banyak teraniaya. Korban segala-galanya. Korban jiwa, korban fizikal. Mereka tiada pilihan! Baik dipandang hina, buat jahat lagi dihina biarpun penyebabnya oleh kaum lelaki! Watak Hayati contoh klasik korban cinta, penghinaan dan hidup sentiasa taat kepada ibu bapa dan suami walaupun curang!

Menonton watak Hayati teringat aku kisah benar, Maimon (bukan nama sebenar) ketika hayatnya aku memanggilnya nenek. Kisah perkahwinannya menjadi perbualan hinggalah ke generasi aku! Percintaan abadi mereka berlaku disekitar pertengahan tahun 50an. Maimon bertunang dengan seorang jejaka bernama Bakri (bukan nama sebenar) berdasarkan suka sama suka dan saling menyayangi!

Bakri bukan saja segak tapi mempunyai pekerjaan yang baik sebagai kakitangan kerajaan! Di zaman itu kakitangan kerajaan dipandang tinggi apatah di kampong! Maimon pula wanita cantik yang amat secocok dengan Bakri! Rupa-rupanya ada orang sakit hati. Orang ini berkomplot sedaya upaya mahu memisahkan Maimon dan Bakri. Perancangan orang ini mahu menjodohkan anaknya Zara (bukan nama sebenar) dengan Bakri.

Aku sebenarnya sudah lupa kisahnya! Yang aku ingat mereka ini membuat fitnah pada Bakri sehingga mengugat kepercayaan orang tua Maimon. Faham sajalah zaman dahulu mudah percaya apa disampaikan tanpa disiasat dahulu! Dengan kelicikan mereka ini, pertunangan Maimon dan Bakri berjaya diputuskan biarpun mereka saling menyayangi! Dalam pada itu mereka segera memujuk seorang lelaki, Maslan (bukan nama sebenar) agar berkahwin dengan Maimon.

Maslan tidak mahu kerana rupanya yang kurang dan hanya kerja kampong. Akhirnya apa dirancang membuahkan hasil. Zara dikahwinkan dengan Bakri biarpun Bakri tidak suka kepada Zara. Manakala Maimon berkahwin dengan Maslan. Zara mengikut Bakri merantau kerana bertugas. Maimon dan Maslan tinggal di kampong hingga akhirnya hayatnya!

Apa yang aku dengar Maimon tidak pernah suka dan sayang pada Maslan biarpun sudah ada lima anak. Mereka tidak nampak pasangan yang mesra dan bahagia. Seingat aku tidak pernah melihat Maimon keluar bersama Maslan seperti suami isteri. Di mana saja mereka samada urusan atau berjalan semuanya sendiri-sendiri! Betul kata orang cinta, kasih sayang tidak boleh dipaksa. Mungkinkah cinta Maimon seutuh cinta Hayati kepada Zainudin biarpun badannya dimiliki orang lain.

Kasihan Maimon! Kejam sungguh mereka yang memisahkan kasih sayang apatah mereka sudah bertunang. Kini Maimon, Maslan, Bakri dan mereka itu sudah tiada! Al Fatihah untuk mereka! Semoga Allah ampunkan mereka yang terlibat bertanggungjawab memisahkan kasih Maimon dan Bakri. Tinggallah Zara yang kini uzur dan tidak mampu bergerak!

Itulah nasib wanita yang selalu dirundung malang kerana terikat dengan kepatuhan kepada orang tua dan adat. Jadikan kisah ini sebagai iktibar untuk kita. Agama landasan kita. Cukuplah berpaksikan adat yang tidak merosakkan institusi keluarga dan agama. Selagi hidup selagi itu agama dijunjung!

 

Antara kata-kata pujangga Pak Hamka yang boleh menjadi pedoman kita:
1.    Walaupun musnah harta dan benda, harga diri janganlah jatuh.
2.    Jangan bersikap melebihi daripada ukuran diri, baik waktu duduk dalam satu majlis atau dalam cara berpakaian, cara berkenderaan, cara makan dan minum, cara berumah tiang dan berbujang pelayan, hendaklah tubuh sepanjang berbayang-bayang; yakni bersikap sederhana.
3.    Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya.
4.    Kemerdekaan sauatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.
5.    Dia lupa...nikmat yang ada dalam tangannya  kerana mengharapkan nikmat yang akan datang. 
6.    Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu disyukuri yang telah ada itu lebih disyukuri lagi. 
7.    Orang gelisah kerana mengharapkan yang baru, dia lupa keadaan kekayaan yang sedia ada.
8.    Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.
 9.    Jika engkau fikir miskin, senangkan pulalah hatimu kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkan hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dengki kepada engkau lagi lantaran kemiskinanmu. 
10.    Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati dan tidak ada pintu bagi kebencian.
11.    Tugas kita bukanlah untuk berhasil. Tugas kita adalah untuk mencuba, kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan dan belajar membangunkan kesempatan untuk berhasil.
12.    Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan kita turut hidup dengan mereka. Oleh itu, rasa hati dan suka duka kita sekarang, adalah rasa hati dan suka duka yang telah mereka tinggalkan buat selama-lamanya.
13.    Jangan ditangisi barang yang hilang, tetapi syukurilah apa yang masih ada. Kelak jika yang masih ada itu hilang, ditangisi pula.
14.    Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan.
 














Thursday, December 18, 2014

Ruang Kepantasan Yang Hilang!




Afifah  bersama mamanya ketika berusia 11 tahun. Keratan dari majalah I-Sihat tahun 2008.


Apa khabar pembaca disayangi. Semoga kalian dilimpahi rahmat-Nya!

Sudah 15 hari Afifah atau kakngah meninggalkan kami! Suasana di rumah bagaikan ada kekurangan! Masakan tidak bermula 8.30 pagi rutin Kakngah bermula.  Semuanya pantas kerana kakngah! Semuanya peka kerana kakngah! Pendek kata kakngah sentiasa dipantau lebih dari seorang bayi!

Itulah kelebihan kakngah! Mama, babah dan kami terima kakngah sebagai anugerah istimewa dari Allah! Melalui kakngah kami banyak belajar tentang kesabaran, belajar erti kehidupan, belajar hati perut manusia dan macam-macam lagi! Kami tidak pernah merasa malu membawa kakngah berjalan di depan khalayak! Biarpun ada orang berpaling dua ke tiga kali kepada kakngah. Jelik sangat di mata mereka melihat kakngah.

Sudahlah kakngah tinggi lampai bila berjalan suka meluruskan kedua-dua tangan keatas. Kedua-dua tangannya dimasukkan sarung bantal atau hanger. Bukan kami tak cuba supaya kakngah lupakan kegemarannya. Apakan daya, kami tak sanggup melihat kakngah menumbuk kuat kedua-dua tangan ke pipi sehingga terdengar bunyi tulang pipinya. Cukuplah, kami tak mahu kakngah sakit. Pedulikan apa orang nak kata!

Tidak ada satu perkataan yang keluar dari mulut kakngah. Ketika usia setahun lebih ada juga keluar perkataan maa, kotak dan lan-lain. Tapi perkataan itu terus hilang  di telan usia kakngah. Mama dan babah tidak pernah putus asa berubat! Berubat moden dan kampung! Bukan mama dan babah tidak menerima keadaan kakngah tetapi ada kalanya pukulan kakngah luarbiasa tak sanggup melihatnya!

Kakngah pernah pakai helmet. Memang tidak selesa! Tak dapat muka, kakngah mengutil pula lehernya. Ada kalanya dia mengesek-gesek kaki kanan keatas kaki kirinya sehingga meninggalkan kesan. Bibir berdarah, pipi lebam, bengkak sana sini sudah menjadi pandangan biasa! Tidak mustahil kalau kakngah dikata mangsa dera pasti orang percaya!

Tapi Allah sentiasa melindungi kakngah. Biarpun kakngah hyper tidak pernah duduk diam! Cermin meja, cermin solek pecah dek kakngah tapi tidak pernah terluka. Adakala kami terlepas pandang kakngah sudah makan bermacam ubat dalam peti ais. Lotion, vicks macam-macam lagi yang sudah masuk dalam perut kakngah alhamdulillah kakngah tidak sakit perut!

Biarpun barang-barang ni disorok dan diletak ditempat tinggi pantas kakngah dapat mencapainya. Setiap masa kakngah sentiasa diawasi. Pernah kakngah hilang dicari-cari akhirnya terjumpa di dalam mesin basuh! Pernah jiran sebelah beritahu kakngah dah ada dalam rumahnya! Pergerakan kakngah pantas. Fizikalnya kuat. Kami takut perkara yang tidak diingini menimpa kepada kakngah!

Kini...semuanya kosong! Bagaikan terpandang-pandang kakngah ketawa! Adakalanya macam  terdengar bunyi gerincing anak-anak kunci dihujung jari kakngah. Kakngah suka pegang sesuatu!  Waktu malam sebelum kakngah melelapkan mata terdengar ketukan irama di dinding.

Hibanya hati ini bila aku terpandang gugusan kunci tergantung di gril tingkap bilik air! Kunci itu mainan kakngah. Selepas aku gunakan shampu segera aku letakkan di tepi tingkap supaya kakngah tak dapat mencapainya! Ya Allah, kakngah sudah tiada!  Aku menangis sepuas-puasnya kerana kami berkongsi bilik air yang banyak meninggalkan kenangan. Kakngah suka main air. Setiap pagi di dalam bilik air pasti terdengar bunyi kocakan air dalam takungan diselangi suara gembira kakngah!

Inilah ketentuan-Mu! Yang pasti kakngah sudah terpelihara di sana! Kami di sini belum pasti!  Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kami hingga sehingga berakhir hidup di alam fana ni. Doronglah kami waktu terluang ini untuk beribadah kepada-Mu! Semoga kami di bawah peliharaan-Mu!

Wiwiek menjaga Kakngah sejak berusia 11 tahun dan sudah dianggap sebahagian keluarganya. 28 Disember ini genaplah usia Kakngah 18 tahun.









































Kakngah suka sangat makan jajan! Kerepek pisang yang baru diterima sebelum kakngah masuk hospital tidak sempat dijamah kakngah.

Thursday, December 11, 2014

Selamat Jalan Afifah!

Assalamualaikum kepada pembaca budiman yang
dikasihi semoga dirahmati Allah swt!

Alhamdulillah bersua kembali! Kesibukan dan bermacam pekara berlaku dalam tiga minggu ini membuat aku tidak dapat menulis! Fikiran kosong! Bercampur baur antara kesedihan  dan kegembiraan! Itulah hakikat kehidupan! Segala-galanya ketetapan dari Allah. Sesungguhnya percaturan Allah sungguh indah!

29 hb November tanpa di duga satu permulaan yang akhirnya membawa kepada perpisahan abadi! Selamat jalan Afifah! Yang pasti kau bahagia di sana. Norafifah insan istimewa anak saudaraku iaitu anak kepada adikku yang selama ini tempat kami berkongsi kasih!

Afifah, hampir 18 tahun Allah meminjamkan kau kepada mama dan babah! Pemergianmu tanpa diduga! Tarikh itu mama dan babah membawamu  sekeluarga berehat di Por Dickson. Kau suka air dan berendam lama-lama dalam kolam! Aktiviti ini sebahagian terapi untukmu!

Namun sejak beberapa minggu kebelakangan ini kau kelihatan agak tidak ceria dan letih! Makanmu tidak berselera seperti biasa! Kau banyak terbaring! Sehingga saat ke Port Dickson, kau masih tidak ceria dan letih! Kau hanya terbaring langsung tidak perdulikan tentang air dan kolam.

Awal malam ketika kak Wiwik menyuapkan sup ke mulut mu kau diserang sawan tiba-tiba dan termuntah-muntah. Seluruh badan kau kejang! Kau di masuk ke unit kecemasan di hospital Port Dickson. Ketika aku sampai tak sanggup aku melihatnya! Hiba hatiku! Alat bantuan pernafasan baru saja dipasang. Matamu terbuka dan badan mu masih bergetar!

Doktor memberitahu keadaan Afifah kritikal! Jantungnya berhenti 15 minit. Kemungkinan otaknya boleh mati! Spontan hatiku berbisik adakah ini kali terakhir Afifah bersama kami! Malam itu juga Afifah di bawa Hospital Besar Seremban untuk diimbas otaknya!

Akhirnya pakar mengesahkan otak tunjang Afifah mungkin mati! Kalau hidup mungkin koma seumur hidup. Kami sudah bersedia! Kami tak sanggup tenguk Afifah menderita! Hampir 18 tahun Afifah  tidak menikmati kehidupan seperti insan normal!  Biarlah dia berehat di sana! Mama, babah dan adik beradik Afifah redha ketentuaan-Nya. Kak Long memilih untuk menjaga Afifah disaat akhir. Peperiksaan akhir dikorbankan! Bersama Afifah disaat akhir  tiada ternilai harganya!

Tindak balas badan Afifah mula merosot. Kami tunggu detik dan ketika! Akhirnya 3 Disember hari Rabu pukul 7.10 malam Afifah meninggalkan kami selama-lamanya! Alhamdulillah! Afifah pergi tanpa di cabut alat bantuan pernafasan! Pemergianmu  seolah-olah meredhai pergorbanan mama dan babah!

Afifah, kau sudah bahagia di sana! Doakan untuk mama dan babah ya, semoga cita-cita yang belum terlaksana demi Afifah tercapai! Selamat jalan Afifah!