Jadikan akal itu pemandu kita. Biarpun dalam kegelapan... kita tidak akan tersesat!
Wednesday, December 24, 2014
Suka duka seorang wanita!
Assalamualaikum pembaca yang sudi membaca blog aku agar dimakmurkan rezeki kesihatan.
Sebenarnya sejak kebelakangan ini aku kurang mood untuk menulis! Dengan kesibukan kerja, perkahwinan tiga anak saudara lelakiku dari bulan November hingga Disember. Hush! Letih rasanya ditambah peristiwa diluar jangkaan berlaku. Biji mata ni pulak sakit bagaikan dipicit itu tandanya nak cermin mata barulah tu!
Tapi jangan diikutkan sangat mood ada atau tidak. Semuanya bergantung kepada semangat! Takut nanti sifat malas tu menguasai segala-galanya. Semoga Allah melimpahi kekuatan, semangat dan ilham untukku mencoret segala luahanku.
Kelmarin aku menonton filem Indonesia Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dalam Astro First karya Pak Hamka. Filem ini berjaya meruntun jiwaku. Sehingga akhir babak aku tidak dapat menahan sebak. Entah berapa kali aku menyeka air mata! Kisah percintaan yang tidak kesampaian antara Zainudin dan Hayati lantaran perbezaan darjat!
Kekuatan filem ini kerana skripnya yang mantap! Karya Pak Hamka banyak mengupas kepincangan adat dalam masyarakat Minang yang kebetulan tempat asal beliau. Mengangkat adat sehingga mengetepikan agama adalah fenomena biasa dalam masyarakat Minang! Mereka yang ada kuasa dan kedudukan dalam masyarakat terus dijunjung biarpun kurang berilmu!
Dalam adat Minang dahulu anak lelaki seusia enam tahun tidak layak lagi tinggal bersama ibu bapa. Mereka mesti tidur disurau atau pesantren sambil belajar agama! Malang sekali sehingga mendirikan rumah tangga, mereka tiada kuasa keatas dirinya sebagai seorang suami! Mereka mesti tinggal bersama keluarga isteri di rumah gadang! Segala harta pencarian suami dimiliki oleh isteri dan keluarga isteri. Kalau berlaku perceraian maka sisuami keluar sehelai sepinggang!
Mungkin disatu sudut untuk memelihara kaum wanita agar tidak teraniaya atau terabai bila berlaku sesuatu musibah! Namun tiada mustahil berlaku tidak keadilan pada si suami bila timbul perasaan tamak pada siisteri atau keluarga isteri! Begitulah berlaku pada Zainudin yang tiada suku sebab ibunya orang Makassar. Beliau dipandang hina dan dianggap orang luar biarpun bapanya orang Minang! Darjat juga dipandang tinggi!
Sebagai ulama, ilmuwan dan pujangga banyak karya Pak Hamka menyindir golongan yang kuat memegang adat sehingga berlaku pergolakan dalam masyarakat yang bertentangan dengan agama. Banyak kata-kata pujangga Pak Hamka yang menarik biarpun bunyinya amat keras sekali ekoran masalah jurang sosial yang menebal ekoran pegangan adat yang kuat di zaman beliau!
Namun demikian tanggapanku kaum wanitalah yang paling banyak teraniaya. Korban segala-galanya. Korban jiwa, korban fizikal. Mereka tiada pilihan! Baik dipandang hina, buat jahat lagi dihina biarpun penyebabnya oleh kaum lelaki! Watak Hayati contoh klasik korban cinta, penghinaan dan hidup sentiasa taat kepada ibu bapa dan suami walaupun curang!
Menonton watak Hayati teringat aku kisah benar, Maimon (bukan nama sebenar) ketika hayatnya aku memanggilnya nenek. Kisah perkahwinannya menjadi perbualan hinggalah ke generasi aku! Percintaan abadi mereka berlaku disekitar pertengahan tahun 50an. Maimon bertunang dengan seorang jejaka bernama Bakri (bukan nama sebenar) berdasarkan suka sama suka dan saling menyayangi!
Bakri bukan saja segak tapi mempunyai pekerjaan yang baik sebagai kakitangan kerajaan! Di zaman itu kakitangan kerajaan dipandang tinggi apatah di kampong! Maimon pula wanita cantik yang amat secocok dengan Bakri! Rupa-rupanya ada orang sakit hati. Orang ini berkomplot sedaya upaya mahu memisahkan Maimon dan Bakri. Perancangan orang ini mahu menjodohkan anaknya Zara (bukan nama sebenar) dengan Bakri.
Aku sebenarnya sudah lupa kisahnya! Yang aku ingat mereka ini membuat fitnah pada Bakri sehingga mengugat kepercayaan orang tua Maimon. Faham sajalah zaman dahulu mudah percaya apa disampaikan tanpa disiasat dahulu! Dengan kelicikan mereka ini, pertunangan Maimon dan Bakri berjaya diputuskan biarpun mereka saling menyayangi! Dalam pada itu mereka segera memujuk seorang lelaki, Maslan (bukan nama sebenar) agar berkahwin dengan Maimon.
Maslan tidak mahu kerana rupanya yang kurang dan hanya kerja kampong. Akhirnya apa dirancang membuahkan hasil. Zara dikahwinkan dengan Bakri biarpun Bakri tidak suka kepada Zara. Manakala Maimon berkahwin dengan Maslan. Zara mengikut Bakri merantau kerana bertugas. Maimon dan Maslan tinggal di kampong hingga akhirnya hayatnya!
Apa yang aku dengar Maimon tidak pernah suka dan sayang pada Maslan biarpun sudah ada lima anak. Mereka tidak nampak pasangan yang mesra dan bahagia. Seingat aku tidak pernah melihat Maimon keluar bersama Maslan seperti suami isteri. Di mana saja mereka samada urusan atau berjalan semuanya sendiri-sendiri! Betul kata orang cinta, kasih sayang tidak boleh dipaksa. Mungkinkah cinta Maimon seutuh cinta Hayati kepada Zainudin biarpun badannya dimiliki orang lain.
Kasihan Maimon! Kejam sungguh mereka yang memisahkan kasih sayang apatah mereka sudah bertunang. Kini Maimon, Maslan, Bakri dan mereka itu sudah tiada! Al Fatihah untuk mereka! Semoga Allah ampunkan mereka yang terlibat bertanggungjawab memisahkan kasih Maimon dan Bakri. Tinggallah Zara yang kini uzur dan tidak mampu bergerak!
Itulah nasib wanita yang selalu dirundung malang kerana terikat dengan kepatuhan kepada orang tua dan adat. Jadikan kisah ini sebagai iktibar untuk kita. Agama landasan kita. Cukuplah berpaksikan adat yang tidak merosakkan institusi keluarga dan agama. Selagi hidup selagi itu agama dijunjung!
Antara kata-kata pujangga Pak Hamka yang boleh menjadi pedoman kita:
1. Walaupun musnah harta dan benda, harga diri janganlah jatuh.
2. Jangan bersikap melebihi daripada ukuran diri, baik waktu duduk dalam satu majlis atau dalam cara berpakaian, cara berkenderaan, cara makan dan minum, cara berumah tiang dan berbujang pelayan, hendaklah tubuh sepanjang berbayang-bayang; yakni bersikap sederhana.
3. Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya.
4. Kemerdekaan sauatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.
5. Dia lupa...nikmat yang ada dalam tangannya kerana mengharapkan nikmat yang akan datang.
6. Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu disyukuri yang telah ada itu lebih disyukuri lagi.
7. Orang gelisah kerana mengharapkan yang baru, dia lupa keadaan kekayaan yang sedia ada.
8. Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.
9. Jika engkau fikir miskin, senangkan pulalah hatimu kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkan hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dengki kepada engkau lagi lantaran kemiskinanmu.
10. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati dan tidak ada pintu bagi kebencian.
11. Tugas kita bukanlah untuk berhasil. Tugas kita adalah untuk mencuba, kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan dan belajar membangunkan kesempatan untuk berhasil.
12. Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan kita turut hidup dengan mereka. Oleh itu, rasa hati dan suka duka kita sekarang, adalah rasa hati dan suka duka yang telah mereka tinggalkan buat selama-lamanya.
13. Jangan ditangisi barang yang hilang, tetapi syukurilah apa yang masih ada. Kelak jika yang masih ada itu hilang, ditangisi pula.
14. Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment