Thursday, December 18, 2014

Ruang Kepantasan Yang Hilang!




Afifah  bersama mamanya ketika berusia 11 tahun. Keratan dari majalah I-Sihat tahun 2008.


Apa khabar pembaca disayangi. Semoga kalian dilimpahi rahmat-Nya!

Sudah 15 hari Afifah atau kakngah meninggalkan kami! Suasana di rumah bagaikan ada kekurangan! Masakan tidak bermula 8.30 pagi rutin Kakngah bermula.  Semuanya pantas kerana kakngah! Semuanya peka kerana kakngah! Pendek kata kakngah sentiasa dipantau lebih dari seorang bayi!

Itulah kelebihan kakngah! Mama, babah dan kami terima kakngah sebagai anugerah istimewa dari Allah! Melalui kakngah kami banyak belajar tentang kesabaran, belajar erti kehidupan, belajar hati perut manusia dan macam-macam lagi! Kami tidak pernah merasa malu membawa kakngah berjalan di depan khalayak! Biarpun ada orang berpaling dua ke tiga kali kepada kakngah. Jelik sangat di mata mereka melihat kakngah.

Sudahlah kakngah tinggi lampai bila berjalan suka meluruskan kedua-dua tangan keatas. Kedua-dua tangannya dimasukkan sarung bantal atau hanger. Bukan kami tak cuba supaya kakngah lupakan kegemarannya. Apakan daya, kami tak sanggup melihat kakngah menumbuk kuat kedua-dua tangan ke pipi sehingga terdengar bunyi tulang pipinya. Cukuplah, kami tak mahu kakngah sakit. Pedulikan apa orang nak kata!

Tidak ada satu perkataan yang keluar dari mulut kakngah. Ketika usia setahun lebih ada juga keluar perkataan maa, kotak dan lan-lain. Tapi perkataan itu terus hilang  di telan usia kakngah. Mama dan babah tidak pernah putus asa berubat! Berubat moden dan kampung! Bukan mama dan babah tidak menerima keadaan kakngah tetapi ada kalanya pukulan kakngah luarbiasa tak sanggup melihatnya!

Kakngah pernah pakai helmet. Memang tidak selesa! Tak dapat muka, kakngah mengutil pula lehernya. Ada kalanya dia mengesek-gesek kaki kanan keatas kaki kirinya sehingga meninggalkan kesan. Bibir berdarah, pipi lebam, bengkak sana sini sudah menjadi pandangan biasa! Tidak mustahil kalau kakngah dikata mangsa dera pasti orang percaya!

Tapi Allah sentiasa melindungi kakngah. Biarpun kakngah hyper tidak pernah duduk diam! Cermin meja, cermin solek pecah dek kakngah tapi tidak pernah terluka. Adakala kami terlepas pandang kakngah sudah makan bermacam ubat dalam peti ais. Lotion, vicks macam-macam lagi yang sudah masuk dalam perut kakngah alhamdulillah kakngah tidak sakit perut!

Biarpun barang-barang ni disorok dan diletak ditempat tinggi pantas kakngah dapat mencapainya. Setiap masa kakngah sentiasa diawasi. Pernah kakngah hilang dicari-cari akhirnya terjumpa di dalam mesin basuh! Pernah jiran sebelah beritahu kakngah dah ada dalam rumahnya! Pergerakan kakngah pantas. Fizikalnya kuat. Kami takut perkara yang tidak diingini menimpa kepada kakngah!

Kini...semuanya kosong! Bagaikan terpandang-pandang kakngah ketawa! Adakalanya macam  terdengar bunyi gerincing anak-anak kunci dihujung jari kakngah. Kakngah suka pegang sesuatu!  Waktu malam sebelum kakngah melelapkan mata terdengar ketukan irama di dinding.

Hibanya hati ini bila aku terpandang gugusan kunci tergantung di gril tingkap bilik air! Kunci itu mainan kakngah. Selepas aku gunakan shampu segera aku letakkan di tepi tingkap supaya kakngah tak dapat mencapainya! Ya Allah, kakngah sudah tiada!  Aku menangis sepuas-puasnya kerana kami berkongsi bilik air yang banyak meninggalkan kenangan. Kakngah suka main air. Setiap pagi di dalam bilik air pasti terdengar bunyi kocakan air dalam takungan diselangi suara gembira kakngah!

Inilah ketentuan-Mu! Yang pasti kakngah sudah terpelihara di sana! Kami di sini belum pasti!  Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kami hingga sehingga berakhir hidup di alam fana ni. Doronglah kami waktu terluang ini untuk beribadah kepada-Mu! Semoga kami di bawah peliharaan-Mu!

Wiwiek menjaga Kakngah sejak berusia 11 tahun dan sudah dianggap sebahagian keluarganya. 28 Disember ini genaplah usia Kakngah 18 tahun.









































Kakngah suka sangat makan jajan! Kerepek pisang yang baru diterima sebelum kakngah masuk hospital tidak sempat dijamah kakngah.

No comments: