Monday, October 27, 2014

Alahai beluncas

Assalamualaikum pembaca dikasihi semoga sihat-sihat belaka.

Sabtu lepas aku menghadiri majlis pernikahan anak saudara di Pahang! Alhamdulillah selesai! Balik dari Pahang singgah di rumah abang.

Sambil membelek-belek pokok bunga ni (tak tahu namanya) dan tertanya-tanya butir apakah berwarna hitam bulat bertabur di dalam pasu dan dilantai!

Bila diamati betul-betul rupanya ada ulat beluncas kekenyangan memakan daun. Patutlah banyak daun-daun disetengah hujung ranting dah botak! Aku cuba menarik ulat beluncas, kuatnya dia melekap!

Anggota kakinya di bahagian belakang sekali  langsung tidak teranjak bila aku menarik dengan tangan! Takut pulak ditarik kuat-kuat terputus nanti badan dia!

Dalam cuba menariknya, sempat juga dia melepaskan najisnya! Kurang asam! Akhirnya potong saja ranting dimana beluncas ni bersantai! Mungkin tak berapa lama nanti jadi kepomponglah dia! Sebab itu asyik makan tak ghenti-ghenti!

Tenguk dari dekat comel ulat beluncas ni! Tak tahulah orang lain. Ada juga ulat beluncas berwarna coklat. Maaf ya aku ni memang sukakan kehidupan mereka biarpun orang lain tenguk rasa geli! Selagi tidak bahaya dan bisa aku pegang dan belek! Memandangkan beluncas ni sombong sangat tak dapat aku nak letak atas tapak tangan sambil menikmati pergerakannya yang lemah gemalai tu!

Kedua-dua ulat beluncas ni akhirnya aku pindahkan dan letakkan dicelah ranting pokok ara. Semoga mereka dapat menyesuaikan diri dan memakan daun ara tu.  Tak tahulah suka atau tidak! Semoga beluncas ini dapat meneruskan survivalnya. Ia pun makhluk tuhan tak sepatutnya kita membunuhnya!





Thursday, October 23, 2014

Semoga angan menjadi kenyataan...




Assalamualaikum pembaca budiman, terima kasihlah yang sudi membaca blogku yang baru merangkak ni!

Alhamdulillah kereta yang lebih seminggu tersadai di parkirku sudah pun berganjak semalam. Lain kali jangan buat macam tu ya! Timbang rasalah!

Terfikir-fikir apa nak dicoretkan kali ni! Blog ni jangan dibiarkan tanpa update lama-lama nanti jadi gajah putihlah! Kalau boleh biarlah berterusan! Bila ada masa terluang aku suka melayari, membaca blog yang berkaitan traveling! Memang seronok! Syabas dan terima kasih kepada mereka yang sudi berkongsi pengalaman dan tips.

Beruntung sebenarnya bagi generasi muda sekarang berbanding generasiku. Kalau dulu nak makan angin ke luar negeri betul-betul orang berduit! Sekarang dengan ada penerbangan murah Air Asia dan bantuan info melalui internet amat mudah untuk kita menikmati perjalanan ke luar negara! Yang penting rajin search, dapatkan maklumat tentang sesebuah negara  yang bakal berkunjung. Seterusnya boleh booking tiket, hotel, pengangkutan apa sahaja yang berkaitan! Mudahkan!

Dengan kemudahan ini sesiapa mampu berjalan tak perlu tunggu berduit pun. Siapa tidak suka berjalan, tenguk negara orang? Banyak berjalan luas pandangan! Menikmati sendiri tidak sama sekadar melihat pada gambar dan info sahaja! Masa dulu-dulu aku ada juga berjalan namun tidak sekerap mana pun!

Kini keinginanku untuk berjalan meluap-luap! Ada juga berjalan mengikut trip tapi agak mahal dan tidak bebas. Biasanya yang menjadi masalah ni bab menunggu!  Bila ramai-ramai tu banyaklah ragam! Samada mengikut trip atau sendiri semua ada kelebihan! Mana yang tidak ada kawan tapi ingin pergi berjalan eloklah ikut trip saja! Tak perlu pening kepala. Duit sahaja sediakan!

Kebanyakan yang pergi sendiri, mereka yang muda yang tidak suka terikat! Bebas buat keputusan sendiri. Tapi yang paling penting kosnya lebih rendah! Apa-apa pun pilihan ditangan kita! Kalau semuanya lengkap tapi kalau kesihatan tidak mengizinkan tidak menjadi juga!

Itulah nikmat kesihatan! Jangan fikir cari duit sampai abaikan kesihatan. Minda dan fizikal perlukan belaian juga. Sebut bab makan angin ni teringin juga aku nak pergi sendiri. Kalau boleh dalam setahun sekurang-kurangnya biarlah tiga kali! Kalau ikut agensi trip, ke Eropah sahaja kosnya lebih RM8000 belum termasuk duit poket lagi! Kalau ikut trip memang parahlah. Aku sebenarnya teringin nak pergi negara orang puteh! Bila baca Trip Kekawan makan angin ke New Zealand seronoknya.  Naik motorhome sambil menyaksikan keindahan alam!

Masalahnya aku tiada partner! Tak ada kawan. Nak ajak famili sibuk dengan hal mereka. Nak ajak kawan ofis katanya tak ada duit! Nampaknya belum jumpa kawan yang boleh menemani untuk makan angin. Maklumklah orang dah berusia macam aku ni banyak sangat tak tahunya! Setiap kali melihat gambar keindahan alam  di Eropah aku mampu mengigit jari saja! Aku ni ada penyakit gemuruh! Kalau ada teman tu sekurang-kurangnya ada rasa confident!

Harapan ku sebelum menutup mata, semoga Allah pertemukan seorang kawan yang boleh menemani aku menyaksikan keindahan alam di bumi orang puteh!










Monday, October 20, 2014

Abaikan saja tayar berlumpur tu!


Assalamualaikum pembaca yang dikasihi!

Dalam satu minggu ini aku diuji kesabaran dengan jiran di depan rumahku. Jiranku budak-budak muda, bekerja dan pelajar. Yang pasti mereka ni memiliki banyak kereta. Masalahnya bila banyak kereta mulalah parkir tak kira tempat, tempat orang atau tempat tak sepatutnya!

Biasanya aku parkir di luar sahaja. Namun ada juga sesekali kereta jiran parkir di tempatku. Ada juga bila dah berhari-hari parkir macam parkir dia terpaksalah aku letak nota. Selesai bab, timbul bab lain pulak,  orang lain pulak yang parkir! Takkanlah aku nak cacakkan papan tanda pulak? Kalau di depan pagar kita mestilah parkir kita! Tak faham juga ke?

Ada juga aku letakkan baldi buruk di tempat parkir akhirnya diangkut lori sampah! Aku letak pula kerusi buruk akhirnya hilang juga diangkut lori sampah. Rajin sangat lori sampah mengangkut! Kalau tidak berbulan-bulan tak diangkut pun! Aku tidaklah berkeras sangat setakat parkir kereta sekejap sehari. Masih ada ruang parkir di dalam tapi bersesaklah!

Aku tidak suka membahasakan orang biarpun tindak tanduk mereka salah! Pengalamanku pernah parkir satu malam di depan rumah jiranku (kelamin), kerana ada tetamu bertandang pagi esok aku dah dapat nota walhal tidak menganggu pun! Memang sakit giler hati aku!

Itulah aku pertahankan agar aku tidak mahu menyakitkan hati orang!  Tapi kalau sudah bersidai lebih satu minggu macam kereta rosak apa hal pulak. Terpaksa aku parkir di kawasan sebelah porch. Sekarang musim hujan mulalah tanah becak dan air bertakung! Bila tayar sudah dilanyak keluar masuk makin bertambah becaklah. Namun kereta jiran tu masih tidak berganjak jugak! Geramnya hati rasa mahu saja pancitkan tayar. (Hanya dalam hati saja)

Kalau tak pakai kereta kenapa beli kereta. Lepas tu menyusahkan orang lain. Mana letak akal! Bertimbang rasalah. Aku nak cuci kereta pun tak guna. Balik nanti terpaksa parkir di tempat becak tu semula. Guruh dah berdentum-dentum di luar kejap lagi hujan turun. Balik nanti kalau kereta jiran tu masih ada tak tahulah aku nak cakap. Aku sudah pun letak nota!

Aduhai memang menguji kesabaranku. Sudahlah kereta buruk, tayar pulak berlumpur. Hodoh betul rupanya. Aku mengurut dada... sabar, sabar ya wahai hati! Kenapalah aku malu sangat melihat tayar berlumpur sedangkan hati yang berlumpur dengan penyakit hati tidak pulak aku malu!

Hati kotor mana orang nampak! Tayar kotor semua orang nampak. Sudah pasti orang kata pemalasnya owner kereta tu! Tidak pulak terfikir hati yang kotor siapa yang nampak!

Betullah kita terlalu memikirkan kecantikkan luaran tapi abaikan kecantikkan dalaman! Tayar berlumpur itu telah menjentik hati nuraniku! Hati itulah sepatutnya dipelihara dan dijaga agar segala anasir-anasir jahat tidak mudah menerobos! Ya Allah! Apalah malu sangat pada tayar yang berselut lumpur tu. Bila dicuci hilanglah dia! Tapi... hati yang masih keras dan kotor selagi tiada usaha untuk membersihkan takut kita tidak dikasihi Allah swt!

Aku hanya mampu berdoa agar Allah lembutkan hatiku dan pemilik kereta itu agar dia bertimbang rasa!

Biarlah ia berlalu...




Assalamualaikum pembaca dikasihi semoga perancangan anda tertunai hari ini.

Bukan mudah menahan kesabaran! Hakikatnya hal ini selalu berlegar dikeliling kita. Sejauh mana pula kita dapat menahan kesabaran dek ragam orang? Tanya pula secara jujur kepada diri sendiri sejauh mana pula orang dikeliling menahan kesabaran kerenah kita!

Mudah atau susah? Tepuk dada tanya iman! Tidak semudah ditulis atau diucapkan! Aku hanya ingin berbicara kerana aku kerap tewas bila berdepan dengan situasi yang memerlukan kesabaran yang tinggi! Namun adakalanya bagaikan tidak percaya aku boleh melalui satu situasi yang amat sulit dengan penuh kesabaran!

Cuma aku rasa amat terkilan hingga ke saat ini, bagaimana aku boleh hilang sabar pada perkara yang di anggap kecil! Sedangkan banyak perkara yang berat dan serius aku boleh atasi dengan kesabaran. Aku mengaku, itulah kesilapan paling besar aku lakukan.

Ekoran dari peristiwa itu aku amat menyesal dan menangis kerana itu bukan perangaiku sebenarnya! Aku malu pada Allah sebab aku sudah berjanji akan menjadi hamba terbaik! Biarlah ia berlalu... semoga ada hikmah disebalik kejadian tersebut!

Semoga aku menjadi lebih terbaik selepas peristiwa itu! Biarpun masih ada sesuatu yang bisa menguji kesabaranku, alhamdulillah ku balas dengan senyuman. Cukuplah akan ku jadikan iltizam untuk terus berubah! Bukan sekadar lakaran bait-bait di pantai, bila ombak menyapu semuanya balik ke asal semula!




Wednesday, October 15, 2014

Gunung berapi tidur!
















Terima kasih gambar ihsan dari sebuah blog tak ingat nama pemiliknya


Assalamualaikum pembaca budiman semoga sentiasa dimurahi rezeki dunia akhirat!

Pembaca mesti pelik kenapa tiba-tiba gambar gunung berapi intro cerita aku ini. Saja suka-suka! Aku dulu cita-cita tinggi pernah nak jadi geologist, doktor macam-macam akhirnya inilah kerja aku. Tulah masa sekolah malas belajar asyik main aje!

Salah satu kegemaranku suka membaca tentang alam dan kesihatan. Biarpun tidak dapat degree tapi ia amat menafaat untukku. Kan membaca tu jambatan ilmu! Lagipun banyak membaca daya ingatan kita semakin kuat dan menghindari dari penyakit nyanyuk!

Pembaca kalian tenguk dan fahamilah gambar ini! Tiada ketakutan pada mereka, semua diterokai biarpun amat berisiko atas nama mencari ilmu! Tenguk gambar no 9 dan 10 betapa kecilnya manusia di tepi kawah gunung berapi. Boleh pulak tinjau-tinjau macam tinjau air dalam tangki aje! Hisshh ngeri! Itulah pengorbanan saintis yang sentiasa mencari maklumat-maklumat terkini untuk kita! 

Ya pembaca semuanya berlaku atas izin  Allah swt. Bagi mereka yang bukan Islam sudah tentu menganggap kejayaan itu dari usaha mereka.  Tanpa kegigihan, mereka tidak dapat apa yang mereka mahu! Bagi kita orang Islam, yakinilah segala-galanya dari Allah swt. Biarpun mata kasar  mengatakan kita yang berusaha hakikatnya hanya perasaan yang halus sahaja dapat merasai! Itulah yang aku sentuh posting lalu hanya 'perjuangan' dapat meningkatkan iman kita!

Oklah lupakan soal tu! Setiap kali aku melihat gambar gunung berapi pasti tersorot memori lucu lebih 30 tahun lalu. Ketika itu aku di tingkatan 6, cikgu Geografi Fizikal biarlah aku panggil cikgu M! Dia berbangsa India. Kulitnya gelap dan perutnya besar. Bila berjalan perutnya bergegar-gegar.

Entah di mana silapnya gara-gara kawanku terjatuh dari kerusi patah, datang idea kerusi patah tadi diletakkan di satu sudut di depan kelas. Bila dilihat kerusi itu macam  elok sahaja! Kebetulan pagi itu subjek cikgu M.  Topik hari itu ialah gunung berapi! “Ada gunung berapi aktif dan ada gunung berapi tidur” terang cikgu M kebetulan aku rasa nak tidur!  Seperti biasa cikgu M akan berjalan satu baris demi baris. Bila ada kerusi kosong dia akan duduk! Kebetulan Cikgu M menyuruh seorang demi seorang bincangkan tentang kejadian gunung berapi di papan hitam!

Sebenarnya aku dan beberapa kawan sudah tahu hal kerusi itu! Bila cikgu M bangun dan berjalan ke depan hatiku cemas. Pandang tak pandang aje. Jantung berdebar-debar, cemas pun ada! Akhirnya apa yang di tunggu benar-benar terjadi, cikgu M sudah duduk di atas kerusi itu. Aikkk! Tak jatuh pun!  Sebaik saja cikgu M mengubah kedudukannya, gedegang gedebukk!! Cikgu M sudah terjelepok di atas lantai.

“Ayo kerusi patahkah!” Masing-masing terdiam. Aku tunduk. Kasihannya cikgu M! “Apa ni cikgu sayang murid, murid tak sayang cikgu” cakap cikgu M sambil mengusap tapak tangan yang berdarah! 

Itulah kenangan lucu sehingga kini aku tidak pernah lupa! Buruknya perangai aku dan kawan-kawan. Semuanya perempuan tu! Cikgu M sudah pun meninggal dunia.

Dalam satu cerita lain pula, aku menyaksikan pemanjat kelapa terjatuh dari pokok kelapa betul-betul di depan aku! MasyaAllah lajunya. Bukkkk! Terpenpam aku sekejap! Macam tak percaya. Aku tenguk pemanjat kelapa tu sudah terlentang di atas tanah. Nafasnya masih ada! Aku buatlah CPR di atas dadanya. Sebenarnya aku pun tak pasti cara itu betul atau salah hanyalah berdasarkan apa yang aku baca!

Namun sudah ditakdirkan ajalnya. Jenazahnya di bawa ke hospital dan dipost mortem! Aku dapat tahu kematiannya akibat gegaran otak yang kuat. Biarpun jatuh pada ketinggian lebih 10 meter tapi tiada pendarahan luar!

Sebenarnya melalui pembacaan banyak membantuku. Biarpun cita-cita aku nak jadi doktor tidak tercapai ada dua tiga kes kecemasan dapat aku selesaikan. Anak saudaraku tercekik tulang ayam sampai sesak nafas segera aku menjolok jariku kedalam tekaknya. Aku dapat menarik tulang ayam yang tersangkut di kerongkongnya. Memang besar! Satu kes anak saudara juga tersengkang biji gula hingga muka pucat. Spontan aku menepuk belakangnya, serta merta gula itu terkeluar. Dalam bab tercekik ini kena cepat bertindak jangan cemas!

Nasihat ku pada pembaca dan aku sendiri banyak-banyaklah membaca! Pilihlah bacaan yang ada kualiti. Semenjak diri ni dah semakin tua cepat sangat pulak mengantuk! Macam mana nak membaca! Tun Mahathir contoh terbaik, kuat membaca sebab itu dia sentiasa tahu dan peka disekelilingnya biarpun usia hampir 90 tahun! Akhir kata selamat membaca, segar-segarkan minda!






Friday, October 10, 2014

Cermin-cermin diri!



Assalamualaikum pembaca budiman yang dikasihi!

Bumi mana tidak di timpa hujan, manusia mana tidak melakukan kesilapan! Kita dilahirkan didunia dengan bekalan akal dan nafsu. Bagaimana kita nak seimbangkan antara akal dan nafsu? Kedua-duanya saling memerlukan! Imanlah kuncinya! Bagaimana kita nak pastikan iman kita benar-benar berkualiti? Di sinilah perjuangan yang tidak noktah!

Memang mudah disebut, dicatat, dilakar di mana sahaja! Namun biarlah catatan itu tertusuk di sanubari kita bukan sekadar suka-suka atau menunjuk-nunjuk.

Aku sendiri banyak melakukan kesilapan. Biarpun berkali-kali berjanji pada Yang Maha Esa, aku tewas juga. Dahsyat sekali penangan nafsu.

Alhamdulillah, aku belajar dari kesilapan dan tidak malu mengaku kelemahan sendiri. Biarpun egois itu mengusap-usap nafsuku, akhirnya aku berjaya mematahkannya. Aku berdoa agar tidak melakukan kesilapan yang sama berulang lagi dan berharap Allah jadikan aku lebih terbaik dari semalam!

 Cuma aku rasa hairan kepada segelintir manusia merasa angkuh bila seseorang memohon maaf kepadanya! Apakah tanggapannya apabila seseorang memohon maaf itu satu kemenangan baginya! Bagiku tidak kira siapa yang memulakan yang penting mengakuilah kesilapan dan pohonlah maaf!

Apa yang aku lihat kelompok ini tidak menjawab apa-apa kemaafan tapi memanjangkan cerita seolah-olah dia yang betul!  Dia memperkatakan kesilapan orang yang memohon maaf itu di alam maya. Lebih malang ada orang yang mengiakan dan dia menukuk tambah menyedapkan cerita!

Cuma aku pelik bahagia ke berbuat demikian! Aku beranggapan kelompok ini tidak mahu bercermin kesilapan sendiri tetapi rasa marah bila memperkatakan kesalahannya! Kelompok yang selalu menulis bait-bait seolah-olah teraniaya di alam maya sebenarnya mereka berdepan dengan masalah jiwa! Mereka mahukan perhatian, merekalah betul. Hakikatnya hanya jauhari mengenal manikam!

Sedangkan Rasulullah saw yang maksum sentiasa bertaubat dan memohon maaf kepada-Nya! Inikan kita yang banyak melakukan dosa. Ayuh! Hidup ini singkat! Janganlah kita melayani egois sendiri. Jom segeralah bertaubat kepada-Nya. Mohonlah maaf kepada mereka yang kita rasa bersalah. Hidup kita tidak rugi pun malah lagi tenang. InsyaAllah kalau kita mohon kebaikan, kebaikan Allah hantar! Jangan berlengah dan membuang masa mengata itu dan ini di alam maya. Hakikatnya hanya Allah yang tahu apa yang sudah kita lakukan.

Pandanglah kesalahan diri kita dan pandanglah kebaikan pada diri orang, semoga kita dapat memperbaiki diri kita dari masa kesemasa! InsyaAllah!






Renungan sejenak!

Bagaikan ditarah! Kubah masjid dari kampung Lam Teuggoh dihanyutkan sejauh 2.5 km 
ke kampung Gyrah. Gelombang tsunami di kala itu melebihi pucuk kelapa!  


Kerosakan di dalam masjid Rahmahtullah, Lampuk. Bayangkan sendiri tiang masjid boleh tumbang 
betapa kuatnya arus tsunami!






 Kawasan ini lenyap di sapu tsunami! Hanya dua orang selamat berlindung disebalik kubah masjid ini. Paras air melebihi bumbung masjid.

Masjid Rahmatullah sekarang! Dibaiki oleh kerajaan Turki.

 Sehingga kini sukar aku melupakan ketenangan dan keindahan pantai Lampuk. Pantai ini tidak terbuka pada orang ramai. Rezeki aku sampai kesini.


 Persekitaran semula jadi. Itik bebas bersiar-siar berdekatan pantai.

Sempat snap pengantin baru Aceh. Terima kasih sporting. Comel dan kacak semoga
 bahagia hingga ke akhirat.

 Hanya tiang sahaja yang tinggal selepas dimamah tsunami.

 Tak tahu jenis apa pokok ni. Yang pasti usianya sudah beratus-ratus tahun! Sejuk mata memandang dan dingin di bawah pepohon. Alangkah bahagianya kita kalau semakin berusia semakin banyak amalan dan semakin teguh iman seperti mana gahnya pokok ini!

Makam kesultanan Aceh yang berketurunan Bugis.

Tuesday, October 7, 2014

Mewangilah mu sepanjang hayatku!

Assalammualaikum kepada pembaca dikasihi semoga dirahmati dan dipermudahkan urusan!
Mata ini masih mengantuk lagi. Tersedar pukul 4 pagi bila rasa perut memulas-mulas. Tiga hari di kampung bercuti Aidil Adha, mashaAllah aku tak berhenti-henti makan. Sang perut dah menjerit surrender tapi anak tekak terus menelan. Sihannya sang perut kerana tuan punya badan tidak berhati perut langsung! Baiklah sang perut tuan punya badan ni bagi berehat dulu agar dikau tak merintih keletihan!

Pagi-pagi berjalan di laman kampung memang melekakan sambil menghirup udara segar! Bunyi unggas dan siamang bersahut-sahutan. Sebenarnya di kampungku akhir-akhir ini bunyi siamang dan ungka agak berkurangan. Kebetulan hujan malam yang agak lama haiwan ini merasa seronok dan berbunyilah mereka.

Pembaca kenal tak siamang? Siamang berwarna hitam dan tidak berekor. Dia sukar dilihat tidak seperti kera yang selalu kita nampak bersidai di tepi belukar atau taman!

Sambil menikmati bunyi unggas, aku menghidu aroma lang lang liar (kenanga) berguguran  di atas jalan di depan rumah! Baunya wangi. Di tepi rumah pula pokok kesidang tumbuh merimbun! Kali ini bunganya agak berkurangan seperti biasa. Ketika waktu berkembang baunya pasti menyapa kepada sesiapa yang bertandang. Baunya wangi lembut, manis dan seakan bau daun pandan pasti orang tertanya-tanya masak nasi lemak ke?

Pokok kesidang ni aku beli di Melaka. Pokoknya masih kecil hanya beberapa helai daun sahaja. Balik di rumah aku letakkan di tepi tingkap berhampiran bilik. Bila berbunga, bilikku pun turut berbau harum  sekali. Bunga kesidang ini turut aku jadikan perfume semula jadi. Pergi ofis aku selitkan di celah tudung! Tak payah pakai minyak wangi!

Teringat aku di bangku sekolah rendah, cikgu Rogayah suka menyelitkan bunga kesidang di sanggulnya. Setiap kali cikgu Rogayah berlalu di depan ku bau bunga kesidang menyusuk hidungku. Ya, baunya terlalu dekat di hati.

Akhirnya pokok kesidang kesayanganku terpaksa dialih. Daunnya sudah mula berwarna kekuningan kerana tiada ruang akar untuk membesar. Ia seakan terbantut. Aku bawa balik ke kampung. Akhirnya kesidang yang  selalu dibelai ini membesar dengan subur dan menghijau! Kadang-kadang risau juga kalau ada sang ular melingkar dicelah-celah daun!

Hatiku rasa nyaman setiap kali melihat pepohon kesidang berbunga. Yang pasti bunga kesidang akan ku sunting, dicium dan diletak di dalam kereta. Wahai kesidang semoga kau terus subur, berbunga dan menjadi terapi dikala aku stres!


Bau bunga kesidang yang harum dan manis ini menarik perhatian semut-semut kecil. Kerana suka mencium tak sedar semut masuk ke dalam lubang hidung.









Wednesday, October 1, 2014

Damai itu Indah!


Perkuburan Masal. Disini seramai 46,000 jasad dikebumikan tanpa nisan!


Kerosakan masjid Rahmatullah, Lampuk di satu sudut dikekalkan sebagai sejarah! Kawasan ini disapu bersih oleh tsunami. Hanya seorang selamat berdiri sebalik kubah masjid! Air melewati bumbung masjid!


Salam sejahtera kepada pembaca yang dikasihi semoga anda dilimpahi rahmat-Nya.

Singkatnya masa! Dah pun masuk bulan Oktober! Minggu depan Aidil Adha menjengah kita! Semakin hari semakin terasa kecepatan waktu. Dulu ketika aku kecil selalu mengeluh lambatnya hari raya. Tak sabar nak puasa! Nah sekarang, kalau dapat ditolak hari, waktu dan jam pasti semua berbuat demikian. Pelik bukan! Jarum jam berputar tidak pernah laju tapi masa semakin singkat! Kita renunglah sedalam-dalamnya!

Baru-baru ini aku melawat Banda Aceh, Aceh! Ini kali kelima aku melancong ke Indonesia! Namun lawatan di Aceh sesuatu kelainan dan ia benar-benar melekat disanubariku! Niatku ke Aceh untuk mengambil iktibar dan memotivasikan diri! 

Lupakan soal keseronokan! Bershopping! Tapi penghayatan kekuasaan Allah kepada hamba-Nya. Banda Aceh paling teruk di landa kesan tsunami. Lebih seratus ribu nyawa terkorban! Tsunami melanda  Banda Aceh dalam lingkungan tujuh km persegi!

Menurut saksi yang selamat gelombang tsunami melebihi pucuk kelapa menghempas kedaratan dan mengaut segala-galanya ke laut sebanyak tiga kali! Airnya berwarna hitam dan juga kemerah-merahan bercampur segala bahan toksin dari perut bumi kemudian dimuntahkan kepermukaan laut. Banyak mangsa yang selamat akhirnya mati sebab tertelan air tsunami!

Namun ajaibnya, mayat-mayat tidak berbau kerana kandungan air tersebut! Bayangkan bau mayat melebihi seratus ribu orang! Ada mayat terus mengempis!

“Tu bukit di depan sana ketika gelombang datang, air keluar dari celah-celah bukit sebab disebaliknya laut,” terang Rezal kepada kami! Subhanallah tingginya! Tidak dapat aku bayangkan di kala itu.  Mana nak lari! Mereka yang tinggal berhampiran pantai lupus disapu tsunami! Macam-macam cerita aku dengar. Walaupun aku tidak cukup tidur namun bersemangat mendengar cerita dari Rezal pemandu pelancung kami.

Itulah hikmahnya selepas tsunami melanda! Konflik Aceh dengan kerajaan pusat berlangsung 30 puluh tahun tanpa kesudahannya akhirnya berdamai! Aceh mendapat kuasa autonomi. Sekian lama Aceh menderita dan ketinggalan ekonomi. Kekayaan minyak 80 peratus diambil pusat! Tetapi kekayaan tidak diagih sama rata! Rakyat ditindas! Sebab itulah rakyat Aceh bangkit memberontak! Mereka hidup dalam ketakutan. Yang melawan dibunuh dan ada kaum wanita diperkosa!

Kini mereka  benar-benar menikmati erti kebebasan! Kalau dulu malam tidak bebas keluar dan berniaga. Sekarang mereka boleh mencari rezeki hingga kepagi tanpa diganggu.  Sebagai negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah, Aceh menghidupkan hukum syariah! Semua kaum wanita bertudung. Yang ingkar diberi tazkirah. Apa yang aku lihat Islam di Aceh dijunjung dan rasa tanggungjawab pada Maha Kuasa bukan dipaksa. Pendekatan Islamnya berjaya kerana 98 peratus rakyatnya adalah Islam!

Di sini tiada panggung wayang dan kelab-kelab hiburan. Mereka hanya melepak dikedai minum-minum dan mencari rezeki. Diwajah mereka tiada keletihan dan tekanan! Nikmat kebebasan dan kedamaian satu anugerah Allah yang tidak ternilai bagi mereka! Mereka benar-benar menghargai kedamaian!

Tapi di negara kita nikmat kedamaian sering dicabar! Apakah itu yang kita inginkan! Percayalah bila meletusnya konflik maka untuk meredakan amat sukar sekali! Tangan-tangan ajaib terus memainkan peranan memanaskan keadaan. Akhirnya siapa yang rugi? Kita semua!

Selepas 10 tahun kejadian tsunami, Aceh bangun semula. Biarpun Banda Aceh tidak sehebat Jakarta atau Bandung, tapi ia tenang. Tidak ada pengemis. Kalau adapun mereka yang tidak upaya atau terlalu tua! Pelancung terus meningkat! Hotel Medan tempat aku menginap silih berganti kunjungan pelancung dari Malaysia dan juga Eropah! Semoga Aceh terus maju dan terpelihara maruahnya dari anasir luar!


Pantai Lampuk dan lautnya amat indah belum tercemar! Ombaknya besar. Aku bernasib baik dibawa berkunjung di sini! Bukan semua pelancung dapat ke sini!