Wednesday, September 17, 2014

Aku bangga menjadi anak nogri!
























Assalamualaikum pembaca sekelian! Semoga anda dirahmati Allah swt dan terima kasih sudi membaca blog aku yang suam-suam kuku! Walaupun aku orang nogri tapi tidak pernah berpeluang masuk ke dalam istana lama di Pertuan Besar, Seri Menanti. Bila berada di depan mata tak juga dapat masuk sebab dalam proses baik pulih!

Istana lama ini di bina tanpa menggunakan paku! Ciri-ciri binaan istana ini berasaskan pasak! Alat-alat pembesar diraja turut dipamirkan dalam istana tersebut. Bagi mereka yang pernah masuk istana ini merasa seram sejuk bila berada di tingkat paling atas! Balik rumah terus demam! Itu kata merekalah! Aku tak ada komen sebab tidak pernah masuk lagi!

Seantero tahu Negeri Sembilan satu-satu negeri mengamalkan adat perpateh. Aku nak syer dengan pembaca sebab ramai yang kurang faham tentang adat perpateh. Apa yang aku dengar banyak cerita buruk tentang adat perpateh ini! Aku pun bukanlah arif sangat memadai memahami yang asas saja!

Dalam adat perpateh ada empat lapisan ketua terdiri dari Buapak - ketua suku. Ada tiga belas suku, antaranya  suku selemak, mungkar, aceh, tiga batu raja lela, biduanda, waris yang aku ingat! Suku ini diwarisi dari sebelah ibu! Lapisan atas Buapak ialah Lembaga yang terlibat dalam istiadat dan pengurusan tanah adat. Lapisan atas Lembaga terdiri dari empat Undang Luak iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau. Keempat-empat Undang ini memainkan peranan besar pelantikan di Pertuan Besar. Lapisan paling tinggi sudah tentulah Di Pertuan Besar!

Ketika proses alih nama tanah adat hak milik nenekku kepada aku dan adik, Datuk Lembaga turut hadir dan duduk dikerusi khas di bilik bicara, pejabat tanah. Itulah pertama kali aku melihat fungsi datuk Lembaga dalam hal-hal tanah adat!

Bicara pasal tanah ini ramai orang luar berkata susah kahwin dengan perempuan nogri. Bila bercerai nanti suami tinggal sehelai sepinggang sebab semua harta dapat dek isteri! Ketawa aku mendengarnya. Yang si suami tu baik bagi semua pada si isteri apa masalahnya! Atau si suami tu memang pemalas macam mana nak ada harta benda harap menumpang harta isteri sahaja!

Untuk pengetahuan pembaca yang dikata tanah adat ialah tanah turun temurun dari sebelah ibu sahaja. Tanah ini tidak boleh dimiliki kaum lelaki hanya kaum perempuan sahaja. Seandainya tiada anak perempuan, anak lelaki boleh memiliki dengan 'masuk suku'. Tujuannya untuk memelihara kaum wanita! Kaum lelaki digalak merantau mencari harta. Manakala harta pencarian (pusaka) diwarisi mengikut hukum syarak.

Peratus pemilikan tanah adat amat rendah berbanding tanah pusaka yang terbiar dan tidak tahu statusnya! Ia bukan berlaku di Negeri Sembilan sahaja tetapi turut berlaku diluar negeri Sembilan! Percaya atau tidak tanah-tanah yang terbiar masih dimiliki generasi awal kerana kerana tiada hitam putih dalam jual beli. Kekaburan ini membuatkan generasi kemudian enggan berurusan menukar hak milik tanah! Mana yang ada usaha untuk menukar milik menjadi buntu bila mana tiada kerjasama dan tamak. Akhirnya banyaklah tanah menjadi hutan belukar! Siapa nak disalahkan?

Dalam masa itu ada juga generasi sekarang tidak faham dan perbezaan apa itu tanah adat dan tanah pusaka! Ada segelintir kaum perempuan rasa tamak dengan sewenang-wenang mahu memboloti semua harta dan tanah kononnya itu tanah adat punya! Tolonglah jangan memalukan kaum perempuan nogri! Fahamilah syarat-syarat dan hak-hak yang wajib dimiliki! Ini bukan adat ya! Tapi perangai tamak manusia yang tidak memahami hukum-hakam agama!

Aku mendengar banyak generasi sekarang mengeluh pasal adat perpateh menyusahkan. Sebenarnya permasalahan datang dari diri sendiri. Selagi tiada usaha untuk menyelesaikan hak milik tanah selagi itulah tanah terbiar terus terbiar! Sebarang projek untuk menaikkan taraf ekonomi turut terbantut!

Biarpun pelbagai polemik timbul dalam adat perpateh aku bangga dilahirkan sebagai anak nogri. Tiada timbul permasalahan dalam pengagihan tanah adat dan pusaka. Semua dihalusi dan permuafakatan adik-beradik. Syukur pada nenek moyang aku yang mempertahankan tanah adat dan pengorbanan ibu bapa mencari harta untuk meneruskan kelangsungan hidup! Al-fatihah untuk mereka!








No comments: