Monday, December 9, 2013

Sedapnya kari ikan masin talang!

Sabtu lepas aku bersama abang dan anak saudara pergi ke Padang Serai, Kulim, Kedah mengiringi rombongan pertunangan anak saudaraku. Perjalanan bermula dari 6.45 pagi dan selamat sampai 2 petang. Kalau tidak berpusing-pusing mencari jalan ke Padang Serai mungkin kami sudah sampai satu jam lebih awal!

Apa-apa pun syukur pada-Nya akhirnya kami sampai jua! Namun sesuatu yang ingin aku kongsikan bersama pembaca, banyak-banyak majlis pertunangan yang aku sertai, inilah majlis yang paling singkat! Tutur bicara dari wakil pihak perempuan amat mudah sekali dari awal pembuka kata sehingga penutup kata! Tidak sampai setengah jam! Selesai!

Bakal bisan abangku pada penglihatanku baik orangnya. Sederhana dalam segala-galanya dan tidak berlebihan! Baguslah dalam bab begini janganlah dibebankan ikutlah kemampuan.

Oleh kerana majlis pertunangan bermula pukul 3 petang, tidak hairanlah perut masing-masing sudah keroncong biarpun aku sudah melapik perut terlebih dahulu. Maklumlah majlis orang, kita tidak pasti apa yang bakal dijamunya. Buatnya dijamu sekadar air dan kuih sahaja, tentulah tidak berbaloi sementelah kami datang dari jauh! Takkan nak merungut pulak!

Tak sangka pulak, menu nasi dan berlauk kari ikan masin talang, nangka rebus dengan sambal belacan dan kuinin, menjadi pilihanku biarpun ada lauk pauk yang lain. Memang sedap! Seingat aku, aku menikmati masakan ini ketika aku kecil. Arwah ibu selalu memasak menu ini. Selepas itu aku tidak pernah menikmati masakan ini! 

Alhamdulillah, selesai majlis  dalam sekitar pukul 5 petang kami bertolak balik. Pemanduan santai membuat kami tidak stres, tapi yang tidak seronoknya dalam perjalanan ada seekor kura-kura melintas! Kereta wiraku yang rendah yang berusia 12 tahun telah menyebabkan  kura-kura itu terkorban! Sedih, ngeri apakan daya sudah ketentuan Allah kura-kura itu mati dalam keadaan begitu!

Selepas kami meninggalkan perhentian rehat Sungai Perak, kami terperangkap dalam jam kerana ada kemalangan maut melibatkan sebuah lori! Oleh kerana kami agak awal selepas kejadian berlaku, jadi lebih kurang setengah jam sahaja kami dalam kesesakan!

 Akhirnya hampir pukul 12 malam kami selamat sampai ke rumah! Tak sangka kereta tua ku masih mampu berjasa membantu dalam misi menjalin kasih! Apa ingin kuluahkan aku amat-amat bersyukur dan gembira dapat menyempurnakan tanggungjawab kepada anak saudaraku! Syukur kepada Allah swt atas keizinan dan kemudahan pada hamba-Nya!


Kari ikan masin talang. Selepas ini ekspedisi mencari ikan masin talang untuk dimasak dengan nenas atau terung bulat!