Sunday, June 21, 2015

Syukur seadanya kita!

Assalamualaikum pembacaku dikasihi semoga sentiasa dirahmati Allah swt dan selamat menjalani ibadah puasa. Aku juga ingin memohon maaf seandainya ada perkataan yang menyinggung perasaan pembaca dalam posting tanpa disedari atau sedar! Yang buruk datang dariku dan yang baik datang darinya.

Syukur alhamdulillah Allah mengizinkan aku bernafas di bulan Ramadan tahun ini. Tiada apa yang beza, apa yang aku harap ibadah puasa tahun ini lebih terbaik dari sebelumnya. Sudah bertahun-tahun kehadiran Ramadan, tidak ada apa yang mengembirakan hatiku melainkan syukur kepada-Nya. Usia sudah separuh abad bukan lagi memikirkan soal keseronokan menyambut Raya....tetapi semakin dekat pada kematian!

Ibuku meninggal di bulan Ramadan dua minggu menjelang Raya! Usianya ketika itu 49 tahun! Betapa bersyukur kepada-Nya kerana aku masih hidup melewati usia 49 tahun. Aku mesti merencana kehidupan kearah sana bukan lagi keseronokan. Ini bukan bermakna aku menolak dunia! Cuma aku harap bila aku seronok aku tidak cepat lupa pada-Nya.

Biarpun kehidupan aku tanpa suami dan anak-anak, aku gembira tidak pernah rasa sunyi kerana tinggal bersama keluarga adik yang rapat sejak kecil. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi adikku dan suaminya yang amat memahamiku! Jangan kita rasa kekurangan diri terimalah takdir Allah dengan redha! Jangan kita rasa lokek untuk berkongsi masalah dan kewangan dalam keluarga.

Hidup ini berputar! Jangan kita mementingkan diri sendiri bermusuh dengan darah daging dan saudara mara. Kalau berselisih faham, cepat-cepatlah selesaikan bukan disimpan atau berdendam. Bagiku tidak kira siapa yang bersalah, jangan ego tapi hulurkan kemaafan. Terpulang pada mereka terima atau tidak! Kalau Allah mengizinkan perkara yang baik segeralah kita lunaskan! Itu tanda Allah mengasihi kita. Jangan jadikan hati menjadi hitam kerana sifat pendendam, sombong dan tidak boleh ditegur.

Aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca kisah tentang jiran di sebelah rumah! Mereka dua beradik, setahu aku mereka tidak pernah berkahwin. Kakaknya seorang pesara penjawat awam. Adiknya seorang doktor  berpangkat tinggi di sebuah organisasi penyelidikan! Anggapanku mereka dari keluarga berada kerana memiliki kereta mewah! Namun kami kurang bertegur sapa berbanding jiran di depan rumah. Mereka tidaklah sombong, tapi karektor mereka membuatkan kami terbatas untuk mengenali lebih dekat!

Tahun lepas dibulan ramadan aku mendapat berita adiknya jatuh di tangga dan koma. Berita itu pun kami tahu dari jiran selang serumah. Kerap juga adikku telefon dan mesej pada kakaknya untuk mengetahui keadaan adiknya tapi tidak pernah berjawap! Kami simpati pada kakak itu kerana dialah menjaga adiknya hampir setahun di hospital. Hanya hari Jumaat kakaknya pulang kerumah sekejap. Kakak itu kelihatan kurus dan macam orang sakit! Hanya Allah sahaja tahu beratnya dia menanggung ujian! Kalau sebelum itu ketika adiknya sihat, kakaknya ada menemani siadik bertugas ke luarnegara. Kakak ni ada juga bersembang dengan bibik adikku!

Tanpa disangka beberapa hari bulan ramadan menjelma, sibibik ternampak kakak tu keluar dari kereta memandang kiri kanan dalam keadaan amat berhati-hati! Mungkin bibik perasan kakak itu tidak selesa lantas dia masuk ke dalam rumah...rupa-rupanya adiknya yang koma itu berada dalam kereta dan dibantu oleh seorang perempuan Filipina. Aku meninjau di tingkap ternampak adiknya duduk di kerusi roda. Sedihnya! Sukar aku nak cakap keadaannya! Samada siadik berterusan dalam keadaan begitu hanya Allah yang mengetahui. Semoga dia sihat dan pulih seperti biasa.

Si bibik ada bercerita ternampak kakak itu ketika memanaskan enjin kereta adiknya sambil menangis, memukul stering kereta! Kasihannya dia melepaskan perasaan sedih  dan segera menyapu air mata sebaik keluar dari kereta! Namun sehingga ke hari ini aku mahupun adikku masih belum pergi menziarahi. Bukannya tidak mahu tapi sikap kakak itu membataskan kami. Pernah suatu hari tergerak aku menegurnya ingin bertanya khabar adiknya ketika dia menyiram pokok bunga tapi lidahku kelu kerana dia langsung tidak memandang.

Biar apapun caranya, berat mata memandang berat bahu memikul. Mungkin kakak itu bahagia dengan caranya! Aku berdoa agar kakak itu terus sihat dan adiknya segera pulih seperti sedia kala. Namun perkongsian itu tidak salah sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung. Kisah kakak itu telah mengetuk hatiku, bersyukurlah apa yang kita ada! Dalam kelebihan ada kekurangannya! Dalam kesedihan kita, ada orang lagi sengsara hidupnya!

Semoga sikakak tabah dan adiknya pulih sepenuhnya.







No comments: