Wednesday, September 20, 2017

Jalan-jalan

Assalamualaikum kepada teman-teman yang dirindui semoga sentiasa dirahmati Allah swt.

Entah berapa kali terbersin membersih sawang-sawang tergantung di dinding dan berhabuk di celah lantai ni. Sekali sekala rasa seram sejuk jugak berada di rumah yang sudah lebih setahun tak bertunggu.

Itulah akibatnya penyakit orang malas! Tapi tak sangka pulak sekian lama menyepi ada pulak pembaca yang sudi membaca dan meninggalkan komen lagi. Terima kasih Kakchessie pencetus semangat aku! Sebenarnya entah berapa kali aku sign in blog ni asyik gagal sebab dah lupa password!

Nak tulis apa ni? Oklah aku tulis apa-apa sahaja sementara tengah free ni!

Beruntung budak-budak sekarang  kalau nak pergi melancong. Dengan kemudahan online dan tambang kapal terbang murah kemana-mana saja boleh pergi asalkan ada kemahuan! Tenguk saja anak saudara perempuan aku baru saja bekerja awal Januari...hah sekarang ni berada di Russia. Dia cakap kerja teruk, tidur pun tak cukup... tup-tup-tup dapat beli tiket murah travel dengan seorang kawannya. Budak sekarang berani semacam. Sampai di Moscow mereka berpecah sekejap! Sikawan nak hiking dah lama jadi impian kena naik domestik flight. Anak saudara ni tinggal kenal pulak solo traveller jalan-jalan around kota Moscow!

Dia memang tak mampu hiking sebab pernah patah kaki dan tak tahan sejuk! Hah tapi aktiviti sky diving pulak dibuatnya! Dah selesai babnya baru beritahu mamanya! Itulah dia budak zaman sekarang! Mamanya tak henti-henti berdoa, buat solat hajat! Risau!!!

Orang lama macam aku ni kalau nak melancong ikut grup travellah tapi bajet lebih sikitlah. Yang untungnya kalau takda kawan tak jadi masalah sebab akan jumpa jugak kawan baru nanti. Kalau nak kurang bajet pergi sendiri yang pasti ada kawan-kawan yang sehati sejiwa!

Teringin juga nak melancong sendiri-sendiri tapi belum ada peluang. Baru-baru ni aku pergi Northern Vietnam beli tiket sendiri tapi pakai ground sana! Murahlah sikit dari travel agent! Aku pergi lima malam tapi harganya sama dengan harga travel agent empat malam!  Kira oklah tu tak pening kepala nak uruskan semua!

Melancong ni terapi minda! Badan sakit ke lutut sakit ke kalau dah sampai destinasi sakit terus hilang, tapi balik nanti dua kali ganda sakit datang! Haha itulah hakikat orang lama seperti aku. Yang penting badan mesti sihat selalu workout walaupun dah lama tak workout, makan kena jaga! Takdalah melenguh sana-sini kan!

Trang An...view sangat cantik dan klasik. Dua jam mengayuh sejauh 10 km masuk 11 buah gua.
Halong Bay... cuaca mendung! Bermalam di sini bukit-bukit batu kapur yang sangat cantik! 
Spain pergi bulan disember tahun lalu. Ini view di Alhambra! 
Lupa pulak nama tempat ni! Tapi memang cantik!

Teres padi di lereng bukit di Sapa.




Tuesday, October 11, 2016

Aku Nak Sihat

Assalamualaikum kawan-kawan apa khabar semua. Lamanya rumah ni dah bersawang. Bukan bersawang saja tapi dah mula mereput sana-sini. Silap-silap terjelus kaki! Maafkan aku, kerana sentiasa sibuk entah apa-apa! Aku harap pembaca bahagia dengan kehidupan masing-masing.

Ehem apa nak cerita ni. Ni tengah free, aku cuba lontarkan apa sahaja asalkan pembaca seronok! Kawan-kawan ada tak baca surat khabar tentang seorang lelaki obes dari Sibu. Sian keadaan dia! Mengikut cerita lelaki itu gemok kerana kuat makan ayam goreng dan air minuman dalam tin.

Tapi.. jangan pulak kita mengata lelaki ni memang kuat melantak sehingga gemok macam dinasour. Menurut pakar seseorang yang menjadi obes dan selera makan yang luarbiasa itu kerana gangguan hormonnya yang tidak stabil. Rasa tidak pernah kenyang dan sentiasa mahu makan!

Sebut bab ini, aku sebenarnya kategori dinosour jugak! Selera tajam sedap saja kecuali demam! Hehe berat macam anak gajah. Kalau pengsan memang kena angkat atas troli soroong!!! Lelaki mana yang mampu nak angkat. Sedar-sedarlah diri ni sikit!

Bukannya tak pernah usaha untuk menurunkan berat badan. Ada! Turun ciput lepas tu bosan! Akhirnya terjun ke laut! Badan naik naik semula. Tapi bila rasa berjalan sikit dah mengah, berdiri lama dah sakit pinggang dan lutut pula mula sakit datang juga kerisauan! Namun setiap kali terfikir mahu turunkan berat badan, makin kuat selera makan dan minum teh tarik!

Haiiii sampai bila ni macam ni! Aku selalu berdoa  agar selera makanku ditarik sebahagian agar aku tidak malas dan dapat beribadah dengan sempurna. Tapi kalau tidak berusaha pun macam mana nak kurus! Badan aku bukan belon, cucuk keluar angin terus kempes! Huissshhh

Tak sangka doa aku dimakbul Allah bila aku terlihat sepupuku berselfie dengan badan langsing dalam FB. Tak boleh jadi, aku tanyakan  apa rahsianya. Rupa-rupanya dia masuk program menurunkan berat badan dalam grup on-line. Ini tak boleh jadi! Aku mesti transform! Kata sepupu aku, cut gula, lemak, santan tapi boleh makan nasi sesenduk leper saja! Aduhh!! Bab teh tarik tulah yang susahnya!

2 September bermula program 'Aku mahu kurus'. Aku dimasukkan dalam grup on-line. Berdebar juga rasanya...kawann-kawan baru ini ramai dah kurus. Mereka memberi semangat. Aku juga di ajar mengambil pemakanan yang sihat dan workout yang cepat menurunkan berat badan. Betullah kalau sorang-sorang nak diet memang hancurlah sebab tak ada motivasi. Bila dah berjemaah datang semangat dan berlumba-lumba!

Macam tak percaya aku mampu mengubah diet baruku! Memanglah hari-hari lawan godaan. Hari Raya Haji balik kampong, dua hari dietku hancuss. Timbang balik naik! Sebab aku bukan sekadar merasa tapi melantak! Aku cover balik workout pergi swim hampir nak tenggelam sebab tak ada stamina! Terlalu lama aku tidak swimming!

Pendek kata otak aku sudah boleh menolak makanan yang manis dan berlemak! Tidaklah rasa sengsara pun! Kalau teringin makanlah sikit. Yang penting makan berkualiti, lima kali makan jangan skip makan! Jangan biarkan perut kita lapar!  Nanti tiada tenaga badan kita nak nyah lemak yang sekian lama tersimpan menjadi lemak tepu!

Sekarang sudah lima minggu berlalu, aku sudah hilang tujuh kilo dan loss inches! Bahagia rasanya! Perjalanan menuju ke target masih jauh lagi. Semoga aku istiqamah dengan diet baruku dan terus sihat. Insyallah.


Banyak makan sayur dan buah-buahan. Barulah cantikkk!!




Tuesday, June 7, 2016

Buang karat-karat di hati



Assalamualaikum pembaca yang dikasihi  semoga dirahmati Allah swt.
Sempena bulan Ramadan, aku berminat berkongsi satu artikel dicopy paste dari website. Kandungan ini aku kira sangat berguna dan perlu dibaca berkali-kali. Sombong!!! Rupa-rupanya aku juga dikategori  orang sombong! Kategori yang macam mana? Cukuplah aku seorang mengetahuinya! 
Aku juga pernah tersinggung dan berjauh hati lantaran perangai manusia yang bersifat sombong. Yang penting aku belajar untuk membersih hati dari penyakit sombong!  Semoga Allah mendorongkan aku dan pembaca sekelian kepada kebaikan dan jauhi dari penyakit sombong. Selamat membaca.

TANDA, SEBAB DAN KESAN SOMBONG
Perkataan kibir mengikut istilah bahasa Melayu, ertinya ialah sombong atau angkuh. Pengertian dalam bahasa moden ialah ego. Mengikut syariat Islam, erti kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah dan menderhakainya. Pengertian mengikut istilah syariat inilah yang akan dihuraikan di sini.
Sifat kibir atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.
Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. sewaktu Allah memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. Kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam a.s. daripada tanah. Itu saja penyebab yang dia rasa dirinya lebih hebat dan istimewa.
Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al Quran, firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Ada.’ Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (Al Baqarah: 34)
Di sini Allah menceritakan bagaimana keengganan iblis untuk tunduk dan taat dengan arahan Allah. Bahkan ia membesarkan diri kerana merasa dirinya lebih hebat dan mulia daripada Nabi Adam a.s. Maka dia menjadi kafir dan menerima kutukan Allah dunia Akhirat. Allah keluarkan dia dari Syurga yang penuh nikmat dan menukar wajahnya menjadi seburuk-buruk rupa. Di sinilah bermula dendamnya kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucu cicitnya yang tidak pernah padam sesaat pun. Jelas, daripada penyakit sombong ini akan lahirlah penyakitpenyakit batin yang lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki.
Dari sini lahirlah buahnya di dalam tindakan lahir seperti kasar, keras, mengangkat-angkat diri, mengumpat dan menghina orang, menganiaya, penindasan, diskriminasi, penzaliman dan pembunuhan. Sebab itu sombong sangat dimurkai Allah SWT. Kesan daripada sifat sombong ini tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat seperti hilang kasih sayang, pecah per-paduan, saling berdendam, hina-menghina, kata-mengata dan jatuh-menjatuhkan serta berbunuh-bunuhan. Itulah kemuncaknya. Sebab itu sifat sombong ini mesti dikikisbuangkan.
Sifat sombong ini hanya layak bagi Allah. Ia pakaian Tuhan maka makhluk tidak berhak memakainya. Allah SWT berfirman dalam Hadis Qudsi: “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud)
Di antara ayat Quran yang sangat melarang kita memakai sifat kibir ini ialah: “Sesungguhnya orang-orang yang meyombongkan diri daripada menyembah-Ku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al Mukmin: 60) “Janganlah kamu berjalan dengan menyombomgkan diri kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan ketinggianmu tidak akan melepasi gunung.” (Al Israk: 37) “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong.” (An Nahl: 23)
Sedangkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lain yang sebanyak 99 (Asmaul Husna) itu tidak salah untuk hamba-hamba-Nya memilikinya. Misalnya sifat Rahman, Rahim, Kaya, Kasih Sayang, Pemurah, Pemaaf, Alim dan lain-lain lagi. Ini dibenarkan bahkan diperintahkan supaya kita memilikinya. Oleh kerana sifat sombong ini menjadi punca tercetusnya penyakit-penyakit batin (mazmumah) yang lain sehingga melahirkan kejahatan-kejahatan lahiriah yang banyak di tengah kehidupan masyarakat, maka sombong ini sangat dikeji dan dimurkai Allah. Rasulullah SAW juga ada mengingatkan dalam Hadis baginda tentang bahayanya sifat sombong. “Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.” (Riwayat Muslim)
Tidak akan masuk Syurga, ertinya ke Nerakalah jawabnya. Dengan membawa sikap sombong, di dunia lagi orang tidak suka dan tidak ada kedamaian jiwa. Di Akhirat terjun ke Neraka. Sebab itu sombong ini mesti dicabut sampai ke akar umbinya hingga tidak ada walaupun sebesar zarah, barulah kita selamat. Walhal mengikut kata Imam Al Ghazali, sifat sombong ini hampir-hampir mustahil dapat dibuang. Oleh itu kita mesti mengenal pasti lebih dahulu tanda-tanda penyakit ini dan sebab atau punca-punca penyakit supaya mudah mengubati atau mengikisnya.
TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG
Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan, akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang keterlaluan, sederhana atau ringan.
Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Di antaranya:
1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi.
2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
3. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.
4. Memandang hina pada golongan bawahan.
5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain.
7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat.
10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah.
11. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.
12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.
13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.
14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.
15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang.
16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain.
17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.
18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.
19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.
20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.
21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.
22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang.
23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.
24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.
25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.
26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.
Senarai tanda-tanda, riak-riak atau sikap-sikap di atas sudah cukup jelas untuk kita dapat mengenali sifat sombong ini. Bila sudah dikenal pasti ertinya memudahkan kita mengatasi atau mencabut sifat keji ini.
SEBAB-SEBAB SOMBONG
Sebelum mencabut sifat sombong yang keji ini perlu kita tahu kenapa sifat ini boleh berlaku. Ini juga merupakan faktor pem-bantu untuk memudahkan kita mengikis sifat ini. Macamlah jerawat yang ada di pipi. Kalau kita kenal tanda jerawat, kemudian tahu kenapa boleh timbul jerawat, barulah mudah untuk kita mengubat jerawat itu.
Faktor-faktor penyebab yang menjadikan seseorang itu memiliki sifat-sifat sombong, di antaranya ialah:
1. Memiliki kuasa, sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana menteri, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti jadi pegawai, D.O., penghulu, guru besar, guru-guru dan lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu mendorongnya menjadi sombong.
2. Mempunyai ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan tentang dunia atau pengetahuan tentang Akhirat. Sama ada pengetahuan di banyak bidang atau di satu bidang. Ini jadi pendorong seseorang itu menjadi sombong kerana dia rasa lebih pandai daripada orang lain.
3. Mempunyai harta kekayaan. Harta juga mendorong seseorang itu menjadi sombong.
4. Mempunyai kegagahan iaitu orang yang mempunyai kekuatan fizikal atau mempunyai kepandaian dalam mempertahankan diri seperti tinju, gusti, tae kwan do, silat dan lain-lain lagi. Ini juga mendorongnya menjadi sombong.
5. Keturunan. Ada orang jadi sombong kerana berketurunan bangsawan, berketurunan ulama dan lain-lain lagi, lantas merasa diri mulia serta memandang orang lain hina berbanding dengan dirinya.
6. Sebab-sebab yang lain seperti berwajah tampan dan cantik, disayangi oleh orang besar, disayangi suami, disayangi oleh ibu ayah dan lain-lain lagi. Ini juga pendorong menjadi sombong.
7. Bukan sebab-sebab yang di atas tadi, tapi mungkin dia orang miskin atau orang jahil atau orang hodoh atau orang cacat atau orang lemah sedangkan dia tetap sombong. Ini dikatakan bodoh sombong. Orang ini walaupun tidak ada sebab khusus untuk dia berlaku sombong tetapi oleh kerana benih sifat sombong yang semula jadi ada dalam diri itu tidak terdidik dan tidak cuba untuk dikikisbuangkan atau tidak dicabut, bahkan disuburkan, maka tetaplah dia dengan sikap sombongnya.
Golongan yang sombong di taraf ini bilamana tidak sedar atau tidak kenal dirinya yang sebenar, inilah yang jadi pendorong dia bersifat sombong. Kalau begitu ada golongan manusia yang sombongnya bersebab dan ada pula golongan manusia yang sombongnya tidak bersebab. Tetapi kebanyakan manusia itu sombongnya bersebab, seperti yang disebutkan di atas tadi. Bersebab atau tidak, sifat sombong tetap mesti dicabut dan dibuang. Jika tidak, ia akan memberi kesan yang buruk di tengah kehidupan masyarakat.
KESAN SIFAT SOMBONG
Di antara kesan sifat sombong ialah:
1. Orang benci kepadanya. Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong ini. Hati yang benci-membenci tentulah tidak ada kasih sayang, akhirnya tidak wujud perpaduan. Ini bererti umat Islam tidak ada kekuatan. Risikonya, Islam menjadi lemah, lumpuh dan runtuh kerana tidak ada pautan hati antara satu sama lain. Ini sangat merugikan umat Islam dan Islam sendiri. Maknanya, apabila sifat sombong dimiliki bersama, semuanya bersalah dan berdosa sehingga menyebabkan tamadun roh dan tamadun material tidak dapat dibangunkan.
2. Mudah marah, di mana kebiasaannya kemarahan akan berakhir dengan perbalahan dan pergaduhan.
3. Bilamana wujud sifat sombong, lahirlah penyakit yang berikutnya iaitu mudah berdendam, hasad dengki dengan manusia, mudah hendak bertindak balas di atas kesilapan orang lain. Kadang-kadang belum tentu silapnya, dia telah gopoh-gapah bertindak. Mudah pula sakit hati terhadap kejayaan dan kebolehan orang lain sehingga berusaha se-daya upaya untuk merosakkan atau menjatuhkan orang itu. Akhirnya tentulah timbul permusuhan sesama manusia. Lebih besar dari itu, akan berakhir dengan peperangan dan pembunuhan bilamana berlaku tindak balas daripada orang lain atau golongan lain pula.
Kesombongan sangat membahayakan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya. Lantaran ini Allah sangat murka dan Allah tempatkan mereka ini di Neraka bersama Firaun, Namrud, Hamman dan lain-lain orang yang zalim dan angkuh itu.
Memandangkan betapa merbahayanya penyakit ini maka usaha-usaha lahir mesti dibuat untuk membendungnya. Beberapa panduan dan kaedah diberi untuk mengikisbuang dan mengubatinya secepat mungkin secara serius supaya kita tidak terus mengidap penyakit yang mengerikan ini.
Di antara cara-caranya ialah:
1. Ada ilmu tentang sifat-sifat mazmumah.
Adanya ilmu ibarat ada cahaya yang mampu menyuluh sifat-sifat mazmumah di dalam diri itu termasuk sifat kibir atau sombong. Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat batiniah yang sesetengah orang payah mengesannya tetapi mudah pula dikesan oleh orang lain.
2. Bawa berfikir selalu tentang kejadian manusia.
Sedarkan hati kita bahawa soal kejadian manusia itu adalah sama. Yakni daripada tanah dan mati kembali ke tanah semula. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu, kejadiannya sama dengan orang lain. Kejadian yang pertama asalnya daripada tanah. Walaupun berdarjat, berpangkat, berkuasa, berharta, berilmu, sama ada yang alim atau tidak, yang kaya atau miskin, yang cantik atau buruk, namun mereka semuanya sama. Samasama berasal daripada tanah.
Lihatlah raja-raja besar seperti Firaun. Walau bagaimana hebatnya dia sehingga mengaku dirinya tuhan, di manakah dia sekarang? Bukankah dia tidak dapat mempertahankan kehebatannya, akhirnya mati dan kembali ke tanah! Jadi untuk apa dibangga-banggakan dengan kehebatan dan keistimewaan masing-masing. Sedangkan semuanya setaraf, yakni berasal daripada tanah dan akhirnya kembali ke tanah jua. Tidak mampu untuk memanjangkan umur sendiri.
3. Fikirkan dan sedarkan hati kita bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani yang hina.
Kalau diperlihatkan kepada manusia, amat jijik dan benci sekali untuk melihatnya. Ertinya, kejadian manusia itu tidak ada beza di antara satu sama lain, sama ada orang kaya, orang berilmu, pembesar atau lain-lain lagi, semuanya berasal daripada air mani yang hina. Kalaulah orang kaya berasal daripada intan, pembesar daripada emas, orang berilmu daripada berlian dan orang biasa berasal daripada air mani, boleh jugalah berbanggabangga. Ini tidak, semuanya berasal daripada benda yang sama iaitu air mani yang hina. Dari segi kejadian, tidak ada perbezaan apa-apa pun. Jadi untuk apa kita berbangga-bangga dengan keistimewaan diri pada orang lain?
4. Melihat respon orang lain terhadap kita.
Dalam pergaulan hidup, dapat dikesan respon orang lain kepada kita. Kalau kita sombong, semua orang akan benci. Anak isteri tidak suka, jiran-jiran meluat, kenalan renggang dan pengikut tidak suka. Apa pendapat kita? Adakah untung kita mempertahankan sikap begitu? Apalah indahnya! Bukankah kita dapat rasakan betapa buruk padahnya akibat mempertahankan penyakit keji dan jahat ini. Lebih-lebih lagi kerja kita tidak semua kita mampu uruskan sendiri. Lagi tinggi pangkat dan darjat, lagi banyak urusan kerja yang perlu dibereskan, dibantu oleh tenaga-tenaga orang lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Oleh itu pertolongan, bantuan dan titik peluh orang lain tidak boleh kita lupakan. Kalau tidak ada mereka ertinya kita tidak jadi hebat dan kaya. Kalau begitu untuk apa kita rasa lebih istimewa?
Bilamana orang sudah benci, di waktu-waktu tertentu seperti waktu sakit atau waktu kematian atau kecemasan, masyarakat akan pulaukan. Atau lambat-lambatkan bantuan atau tidak beri bantuan supaya kita terasa susah lebih dahulu. Ini semua hasil dari mereka sakit hati dengan sifat sombong kita itu.
5. Ambil iktibar dari pengalaman hidup.
Apabila ada kelebihan, keistimewaan dan kehebatan, bolehkah bersifat sombong? Cuba fikirkan kejadian-kejadian yang berlaku dalam pengalaman hidup seharian. Apakah kita berkuasa mengelakkan diri daripada sakit? Apakah kita mampu melawan kuasa tentera Allah yang dihantar melalui bencana alam dan lain-lain lagi? Apakah anda mampu melawan kematian dengan kesombongan dan kekibiran itu? Tentu tidak! Kalau begitu kenapa kita merasakan lebih istimewa daripada orang lain? Walhal tidak ada keistimewaan apa-apa pun yang menjadi milik kita. Semua itu Allah pinjamkan sekejap. Jadi tidak ada apa-apa pun kehebatan kita jika dibandingkan dengan orang lain. Kadang-kadang Allah beri kita kelebihan ilmu, kekayaan, pangkat dan lain-lain, tapi dalam masa yang sama kitalah yang paling banyak mengidap sakit. Misalnya sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain sehingga kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan itu semuanya tidak ada erti apaapa lagi. Akhirnya, nikmat yang dikumpul-kumpulkan sekian lama, tidak dapat dinikmati sendiri tetapi dinikmati oleh orang lain. Oleh itu untuk apa dibangga-banggakan dengan kehebatan yang ada itu?
6. Ingat azab Allah untuk orang yang sombong.
Cubalah renungkan. Ingatkanlah di hati bahawa sombong ini sangat dimurkai oleh Allah. Kita dianggap sudah merampas pakaian-Nya. Akibatnya, kita akan dicampakkan ke Neraka yang panas apinya 70 kali ganda kekuatan api dunia dan dalamnya 70 ribu tahun perjalanan baru sampai ke dasarnya.
Ingatkan Neraka yang keseluruhannya api. Di atasnya api, di bawahnya api, di kiri api, di kanan api, di depan api, di belakang api yang memakan dan menghanguskan daging-daging dan tulang-belulang. Kemudian diganti lagi dengan tubuh yang baru dan diseksa lagi. Begitulah berulang-ulang berlaku sepanjang masa. Walhal di waktu itu kita dibelenggu kaki dan tangan serta dicemeti berterusan oleh malaikat Zabaniah. Bau Neraka yang busuk itu tidak dapat digambarkan. Kalaulah ditakdirkan bau itu tercium oleh penduduk dunia, akan matilah semua lantaran busuknya.
Perkara-perkara di atas tadi perlu difikir-fikirkan, direnung-renungkan dan diulang-ulang memikirkannya. Diingat selalu dalam hati hingga tidak dapat dilupakan lagi. Kesannya nanti akan timbul rasa malu dan takut untuk kita bersikap ego dengan Tuhan dan dengan manusia. Dengan cara-cara atau kaedah ini moga-moga membantu kita mudah untuk bermujahadah menumpaskan sombong ini. Harapan kita moga-moga Allah sentiasa memimpin kita agar menjadi hamba-hamba-Nya yang merendah diri.

Thursday, May 26, 2016

Buangkan saja kenangan lalu...

Assalamualaikum pembaca yang disayangi semoga kehidupan anda dipermudahkan.

Maafkan aku kerana sudah lebih enam bulan tidak mengupdate blog ini. Kalaulah rumah dah bersawang sana-sini. Tak tahulah penyakit apa yang melanda sehingga rasa malas yang amat sangat. Semoga aku diberi kekuatan untuk menulis dan berkreatif. Terima kasih juga kepada kawan sekolahku yang sudi membaca blog yang hampir aku lupakan! Sebanyak sedikit ia memberi semangat untuk aku menulis semula.

Alhamdulillah Allah masih memberi kesihatan yang baik, tapi tidaklah sebaik 20 tahun sudah. Sakit lutut dan urat sudah menjadi penyakit lumrah. Berjalan lebih sikit, sakit mulalah menyerang urat-urat di celah pelipat kaki dan membuat tidak rasa selesa! Ok lupakan sahaja, anggaplah itu satu nikmat dari Allah tanda Dia mengasihi kita agar tidak sombong hidup di dunia!

Sekali lagi aku memanjangkan kesyukuran atas anugerah Allah kerana masih mampu bersujud kepada-Nya biarpun ibadahku tidaklah seberapa dan ilmu hanyalah sejengkal! Namun biarlah  harapan aku menjadi hamba yang ikhlas setiap kali melakukan ibadah dan kebaikan! Semoga Allah memberi kelapangan  untuk aku bertaubat dan beribadah.

Cukuplah apa yang aku miliki sekarang! Aku tidak punya impian yang tinggi untuk memiliki ini atau itu! Allah telah mentakdirkan inilah kehidupan aku. Cuma aku menunggu bila nafas akhirku berhenti! Semoga aku bersedia ke arah itu!

Kini aku benar-benar rasa bahagia dan bebas! Aku banyak masa untuk mengisi kekosongan yang bermakna. Namun adakalanya aku tewas pada nafsu, sepatutnya di kala ini aku melipat gandakan amalan. Semoga Allah memberi ruang untukku dan tidak rugi dalam kehidupan! Aku tidak mahu memandang kebelakang! Segala kesedihan ku simpan dalam lipatan sejarah.

Bagiku kehidupan dunia  sudah mencukupi rencahnya, masin, masam dan manis! Jangan lagi untuk menambah perasa semata-mata kepuasan duniawi! Lambat laun perasa itu akan menyebabkan sakit kepala dan rambut akan gugur. Mungkin kesan sampingan pula akan menjengah!  Aku tak mahu rencah masakanku selama ini enak menjadi pahit kelak!

Setiap ujian yang menimpa banyak mengajar aku tentang kehidupan. Jangan menjadikan kesilapan itu satu kelemahan tapi kesilapan itu membaiki diri! Setiap kesilapan itu mendekatkan diri kita kepada Pencipta! Semoga kita terus mengingati dan rapat kepada-Nya. Belajar dan lahirkan perasaan kasih kepada-Nya bukan dibayangi kenangan silam yang syahdu atau sedih.

Lupakanlah! Dia yang kekal, Dia yang Mendengar permohonan kita. Rintihlah, mohonlah pada-Nya semoga kita menjadi hamba pilihan-Nya. Dia tidak peduli kebahagiaan kita yang hilang. Kebahagiaan itu sebenarnya di tangan-Nya sekarang. Ayuh buangkan kenangan silam itu!





Bahagianya melihat burung camar ini terbang bebas dan meraih rezeki seadanya. 



Monday, November 9, 2015

Damaimu di sana…


 
Semasa menghadiri open house di akhir shawal. Kau termenung jauh...itulah wajahmu terakhir yang aku tatap!


Assalamualaikum kawan-kawan yang dikasihi semoga bahagia di sisi keluarga masing-masing.

Esok cuti Deepavali, apa rancangan kawan-kawan! Nampaknya aku lepak-lepak saja. Bila sebut Deepavali aku teringat masakan India. Sebenarnya aku amat mengemari masakan India. Tose, putu mayam, apom macam-macam lagi semua aku suka. Bagiku kalau dah makan tose tak makan nasi pun tak apa. Memang kenyang dan menyihatkan!

Ketika aku masih kecil, aku ingat-ingat lupa arwah ibu membuat putu mayam. Apa yang membuat aku teringat sangat setiap kali ibu menekan acuan sehingga terdengar suara ibu meneran! Berkerut-kerut wajah ibu menekan  acuan putu mayam ke dalam air panas. Agaknya adunan tu terlampau liat kut! Ibuku memang suka memasak dan mencuba resipi baru. Tapi aku tidak pasti sama ada aku makan atau tidak putu mayam tersebut!

Lupakan saja kisah lalu, aku terpanggil untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang kegigihan seorang wanita yang amat aku kenali. Biarlah saja aku namakan dia, M. M sebaya denganku. Orangnya cantik, tinggi lampai dan bermata bundar! Dia berkahwin ketika berusia 23 tahun dengan lelaki pilihan yang amat secocok. Aku juga mengenali rapat suaminya!

Ketika itu aku melihat kau pasangan yang amat bahagia. Kau telah melahirkan sembilan orang anak. Apa yang dibanggakan anak-anak M bukan saja pandai tetapi berdikari. Kau seorang ibu yang sangat penyayang. Ketika kau mengandung anak keempat kaki kau patah terpijak lubang ketika pergi ke kedai! Tetapi tidak menghalang kau memasak dan membuat biskut raya untuk berniaga! Anak ramai mana nak cukup pendapatan suami seorang!

Kau sanggup memenuhi permintaan anak membuat biskut, walhal ketika itu jam hampir pukul 12 tengah malam di rumah adikku. Balik rumah saja hampir pukul 1 pagi. Itulah pergorbanan ibu tidak mahu mengecewakan permintaan anak yang masih belajar!

Satu hari selepas membuat pemeriksaan doktor, doktor dapati ada ketumbuhan kecil di payudara M. Ketumbuhan itu mesti dibuang segera. Akhirnya ketumbuhan itu selamat dibuang. Doktor kata ketumbuhan itu memang kanser! Namun aku tidak pasti adakah M buat rawatan susulan atau biarkan saja. Apa yang aku lihat M menjalani kehidupan seperti biasa dan tiada nampak apa-apa perubahan pada fizikalnya. Macam orang sihat sahaja.

Tanpa diduga diluar jangkaan suami M dalam diam berkahwin lagi. Yang amat menyedihkan wanita itu sangat dikenali iaitu kawan M sendiri. Ia selalu bertandang ke rumah M. M tidak pernah mengesyaki apa-apa kerana wanita itu masih bersuami! Bermula dari itu  berlingkarlah episod sedih dalam hidup M! Apalah ada pada lelaki beranak sembilan dan bukan kaya pun! Tetapi wanita itu betul-betul merosakan rumahtangga orang. Dia bercerai dengan suaminya, dengan anak tiga hidup bersama suami M. Sedihhh!!

Kini bukan soal sakit hati lagi, M mesti survive kalau selama ini perbelanjaan tidak pernah mencukupi untuk satu keluarga inikan dua keluarga! M pernah bercerita... dia dan anak-anak pernah memungut besi-besi buruk untuk dijual! Aku salute dengan M, seorang wanita yang tabah! Baginya samada suami dapat memberi nafkah, balik atau tidak bukan persoalannya lagi. Kehidupan mesti diteruskan. Bukan perbalahan dicari! M menerima takdirnya!

2013 aku dikejutkan berita M dimasukkan hospital. Badannya tiba-tiba kejang dan tidak sedarkan diri! Rupanya kanser payudara yang sekian lama diabaikan oleh M rupa-rupanya telah menyerang tulang dan sendi! M disahkan menghidap kanser tulang tahap empat! Doktor menyatakan tiada peluang untuk M bertahan lama! Bila-bila masa sahaja M akan tewas. Doktor hanya memberi sekali rawatan radioterapi. Selebihnya bertahan dengan steroid! Kanser tulang ternyata terlalu sakit. Hari-hari M terpaksa mengambil steroid! Namun M terus dapat bertahan sehingga sempat melihat perkahwinan anak dan menyambut cucu!

Aku ingat M dengan bersemangat berkata dia mahu sihat, nak jaga anak-anak dan pergi haji. Dalam kesakitan M sentiasa berzikir dan tidak lupa bersolat! Kuatnya ujianmu M. Bagaimanakah kalau aku berada di tempatmu? Mampukah aku bertahan! Hati wanitaku tersentuh! Akhirnya bulan September lepas kau meninggalkan alam fana ini! Tiga tahun kau berjuang melawan kanser ganas bersama bebanan tekanan yang dipikul. Hanya anak-anak menjadi penguat suka duka bersama!

Bila aku melihat gambarmu bersama anak-anak, aku macam tidak percaya kau sudah tiada! Hatiku tersentap... aku menangis! Lahirmu didunia umpama lilin menerangkan insan-insan tersayang sedangkan hatimu terguris dan menanggung kesakitan fizikal tidak terkata! Aku masih teringat ketika kau menjemput perkahwinan sulung anakmu, kau cakap padaku kau tidak sihat! Rupanya sekian lama kau menahan sakit dengan menelan pain killer. Kau tanggung sendiri kesakitan itu tanpa berkongsi dengan sesiapa! M kau wanita yang sungguh hebat!

Aku bangga denganmu M. Anak-anakmu yang memandikan jenazahmu. Anak sulungmu menjadi imam ketika menyolat jenazahmu! Mereka anak-anak yang baik M! Sekian lama aku mengenalimu, kau mempunyai peribadi yang sangat baik. Berehatlah dengan damai M. Anak-anakmu meredhai pemergianmu! Semoga kau ditempatkan di taman alfirdausi!














Monday, November 2, 2015

Jauh berjalan luas pandangan!

Sambungan

Di Linxia, etnik Hui berugama Islam adalah majoriti. Ekonomi di bandar Linxia dikuasai oleh mereka! Tiada beza rupa mereka macam China jugak mata sepet! Aku lihat Islam di sini berkembang baik dan bebas lakukan aktiviti tanpa halangan. Bukan seperti di Xinjiang segala aktiviti agama di sekat, puasa dilarang!

Ketika  berjalan di sebatang lorong, aku terserempak sekumpulan pelajar baru pulang dari madrasah! Masjid-masjid lama di sini kebanyakan berciri binaan klasik China. Namun begitu masjid-masjid di China tidak mesra dengan kaum wanita. Kami tidak dibenarkan bersolat di masjid!

Akhirnya kami dapat bersolat di satu masjid kecil tetapi bahagian wanita terpisah dari bangunan masjid. Betapa untungnya di Malaysia tiada halangan untuk wanita bersolat di masjid.  

Di Lanzhou (bunyinya dalam bahasa mandarin lan...u) pembaca tekalah sendiri memang kotor bunyinya! Islam juga berkembang maju. Di masjid Xiquan terjumpa seorang China yang pandai bercakap Arab! Ada madrasah! Kalau pembaca tenguk rancangan di TV3 kisah hari raya korban di Lanzhou sangat menarik!

Aku perasan sepanjang perjalanan, aku tidak nampak pelancung Malaysia terutama Melayu. Jadi kami jadi perhatian. Bila kami beritahu dari Malaysia, spontan mereka cakap 'Shila Hamzah'! Wow nampaknya Shila Amzah memang popular di China!

Dari Lanzhou ke Xian aku naik flight dalam satu jam. Untuk pengetahuan pembaca, trip laluan sutera China yang aku ikuti adalah menyaksikan kesan peninggalan Islam, warisan dan budaya. Inilah laluan dilalui oleh pendakwah dari Tanah Arab untuk menyebarkan Islam dan ada yang terus menetap di sini!

Sedar tak sedar jarak perjalananku dari Urumqi di Xinjiang hingga Xian ialah 7000 km! Aku betul-betul rasa puas berjalan dan memanglah penat giler! Banyak perkara yang aku belajar dalam perjalanan ini disamping mengenali kawan-kawan baru yang baik dengan pelbagai latar belakang!

Lagi sekali aku naik flight ke Guangzhou untuk pulang ke Kuala Lumpur! Kali ini pemeriksaan tidaklah seketat seperti mana ke Xinjiang sebelum ini! Menurut ketua grup kami, kalau di Airport Xinjiang, kami kena buka tudung sewaktu discan seluruh badan! Oleh kerana itu trip kali ini, satu tempat menarik di Xinjiang di batalkan kerana terpaksa menaiki filght!

Jauh berjalan luas pandangan dan banyak pengalaman! Jangan lokek reward untuk diri sendiri! Bagiku melancung itu sangat bernilai dibanding seutas rantai emas dan berlian. Cantik di pandang tetapi tidak dapat dirasai dengan jiwa! Insyaallah kawan-kawan, kalau ada rezeki, sihat tubuh badan aku akan melancung lagi!

* Sesuatu yang menarik, ada porter wanita di salah sebuah hotel aku menginap! Mereka memakai skirt dan bertumit tinggi! Tetap bergaya walaupun memunggah beg besar berkali-kali dan menghantar hingga ke pintu hotel! 

* Di stesen keretapi di Turpan, beberapa porter wanita  mengangkat beg besar naik tangga tinggi! Stamina mereka kuat apatah ketika itu mengejar masa! Mungkin tekanan ekonomi dan desakan hidup mereka menjadi lebih gagah walaupun badan tidaklah sebesar manapun!


 Salah sebuah masjid di Lanzhou.

Peniaga ini sedang buat mi tarik di Muslim Street, Xian.

The teracotta warrior. Bangunan pameran ini seluas stadium bola. Ada tiga bangunan carigali teracotta.

Aku terserempak dengan pelajar pulang dari madrasah di Linxia.

Sebuah masjid lama berciri reka bentuk klasik china. Cholok dipasang dkawasan masjid untuk mewangikan suasana. Berbanding tokong china motif rekaan dengan haiwan dan patung! Hiasan dan rekabentuk dimasjid bermotif tumbuhan dan ukiran khat.


Pelbagai kismis dan kacang dijual.

Masjid Xiquan di Lanzhou.


Hiasan dan reka bentuk dalaman masjid lama.

Buah lai china yang muda di persekitaran masjid.

Muslim street di Xian.


The City wall  dibina dari diceroboh oleh musuh beberapa abad yang lalu.











Kulihat hijau...

Sambungan

Hari ini kami bergerak ke Xining. Lamanya perjalanan tujuh jam sebab mendaki daratan tinggi dan berliku-liku! Masak-masak... berkematulah punggung duduk lama sangat! Perjalanan ke Xining cuaca perlahan-lahan berubah kesejuk.

Kami melewati sempadan Qinghai menuju ke Tasik Masin Qinghai, Xining. Tasik Masin Qinghai adalah tasik terbesar di China. Kalau pembaca rajin mengoogle tasik ini sangat cantik dikelilingi sejenis pokok renik berwarna kuning! Kali ni bas tak boleh gerak laju. Pendakian semakin tinggi!

Biarpun perjalanan lama, aku tidak terasa bosan sebab dihidang pemandangan sangat cantik! Kiri kanan padang rumput hijau, air sungai jernih mengalir. Menakjubkan kelihatan bebiri, yak, kuda dan lembu meragut rumput.  Dari jauh di atas puncak bukit bebiri kelihatan seperti kapas! Malangnya kami tidak dapat turun kerana jalan sempit tiada ruang untuk bas berhenti!

Sepanjang perjalanan aku terlupa entah berapa kali kami masuk terowong. Gunung batu ditebuk menjadi terowong! Memang dahsyat teknologi dan pembangunan mereka. Aku melihat empangan yang sangat besar di aras 1500 meter dari laut!

Kami singgah di sebuah bandar kecil dihuni oleh etnik Tibet. Kebanyakan mereka Islam! Kami makan tengahari dan bersolat di sini! Hampir remang senja kami sampai ke Tasik Masin Qinghai, memang tak banyak aku snap gambar! Cuaca semakin sejuk. Bila dah banyak jalan perut pun lapar! Di sini banyak kedai halal dan hotel.

Akhirnya kami sampai ke Linxia atau di kenali sebagai Little Mecca! Hari ini perjalanan memang meletihkan! 8.30 pagi kami gerak pukul 12.00 sampai ke hotel. Fuuhhh!! Yang paling lucu daripada riuh rendah merungut bila nak sampai, akhirnya terus senyap kerana terlalu letih! Tapi aku tabik kepada mereka walaupun berusia dari aku tapi cukup berstamina kerana mereka semuanya kaki jalan!

Kami disambut dengan ucapan salam. Pekerja di lobi memakai tudung! Pekerja lelaki memakai songkok (kupiah) putih.



Bersambung...