Gamat rakyat Malaysia tiba-tiba disentap berita 'Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah'! Biar betul ni. Susahlah hati mak bapak lepas ni! Apa sebenarnya yang dimaksudkan rotan tu? Kalau merotan anak sampai separuh mati aku setuju sangatlah kerana ini sudah masuk kes dera. Tetapi sekadar dirotan dengan rotan halus dengan niat mengajar rasa tak salahkan!
Namun aku tidak terfikir Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan akta ini. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, pandangan ibu bapa dan ulama! Bagi aku kalau ibu bapa boleh menjadi ikon untuk anak-anak mereka insyaallah anak-anak tidak perlu dirotan memadai untuk tujuan mendidik seperti liat bersolat dan mengaji. Terpulang kepada ibu bapa masing-masing untuk mendidik anak. Aku tak boleh cakap lebih-lebih aku tak ada anak!
Aku teringat zaman kanak-kanak selalu kena rotan dengan mak aku. Mak aku memang garang. Tak cukup dengan rotan apa sahaja yang dapat dicapai habis singgah di badanku. Tapi percayalah mak mana tak sayangkan anak-anak! Mereka mewarisi seperti mana orang tua mereka mendidik! Ibu bapa sekarang dibekalkan ilmu keibubapaan secara langsung dan tidak langsung. Anak-anak pulak dari usia dua tahun sudah didedahkan mainan gadget dan internet. Cara merotan tidak praktikal lagi. Mereka lagi memberontak!
Di zaman persekolahanku ramai juga budak-budak nakal kena rotan. Ada dirotan di depan perhimpunan kerana melakukan kesalahan besar. Malu! Cikgu zaman dulu tak fikir soal malu! Tunggu sajalah hukuman kalau buat salah! Ternyata cabaran mendidik sentiasa diuji apatah anak-anak sekarang semakin bijak. Ibu bapa dan guru-guru jangan putus asa dan emosi ya! Sebab emosi itulah mencetus kesan negatif!
Bila cerita pasal sekolah teringat aku seorang kawan yang aku panggil Fid. Dia memang cantik, berwajah seksi, berambut ikal dan aktif bersukan! Kami jadi rapat bila bila Fid jatuh hati pada jejaka bernama K. K sepupu kepada kawan sekelas Fid bernama S. Kebetulan rumah S berdekatan dengan rumahku! Tidakku nafikan K seorang yang handsome, berbadan sasa dan tinggi. Aku amat mengenali K kerana dia juga ada pertalian persaudaraan denganku begitu juga S.
Teringat aku disatu malam ketika majlis perkahwinan kakak sepupu S berlangsung di rumah S. Fid tidur di rumah S. Wow cantiknya Fid! Berbaju kebaya sendat dan berkain batik. Rambut dilepaskan mengerbang. Malangnya tiada gambar untuk ku berkongsi bersama! Sempat aku melihat K melirik tajam kepada Fid yang betul-betul mantap malam itu! Namun aku tidak pasti kenapa perhubungan Fid dan K terputus di tengah jalan. Aku dengar Fid mengajak K berkahwin tapi K tidak bersedia sebab masih muda dan baru bekerja!
Aku bersama Fid ketika di tingkatan enam rendah tapi tidak lama! Fid berhenti sebab ibunya sakit. Kadang-kadang Fid ponteng sekolah sebab menjaga ibunya di hospital! Walaupun rumah Fid jauh dari sekolah, Fid tak mahu tinggal di asrama seperti aku. Alasannya nanti tak boleh dengar radio! Masa tu pun Fid tengah angau dengan K sudah pasti nak hantar surat cinta pun susah silap-silap kena tapis pulak!
Fid ni memang tegar dalam bab mengikat rambut. Getah rambut sentiasa ada dalam poket walaupun di arah mengikat atau bertocang. Itu peraturan sekolah! Zaman tu tak ramai lagi pakai tudung boleh dikira dengan jari! Pernah juga aku tersentuh rambut Fid cepat-cepat dia mengilas takut rambutnya kusut walhal memang kusut pun! Kalau naik bas, orang buka tingkap Fid tutup tingkap tak mahu rambut kusut! Puaslah orang di belakang kepanasan.
Setiap kali masuk kelas Fid jadi perhatian! Dahlah lambat sampai! Begnya pulak tergantung banyak keychain. Kelincing! Kelincing! Kelincing! Bunyi keychain berbuai-buai. Cikgu Salim melirik dengan mata sehingga kepalanya turut berpusing memerhati Fid. ‘Ni fesyen apa pulak ni’ cikgu Salim memegang tocang Fid! Orang lain bertocang dua Fid bertocang sampai empat seronok sangat cikgu Salim memegangnya sememangnya dia suka mengenyam! Cikgu Salim ni tak silap aku menjadi ADUN beberapa penggal. Terlupa pulak aku tahun berapa?
Pernah satu hari Fid terlewat lagi disuruh berdiri di atas kerusi! Malunya Fid tak terkata, bukannya budak-budak didenda macam tu. Dah boleh kahwin dah! Itu semua membuatkan Fid semakin tak minat bersekolah! Memang Fid marah sangat pada cikgu Salim! Akhirnya Fid hilang begitu sahaja tanpa ucapan selamat tinggal kepada kami! Zaman tu mana ada handphone macam sekarang!
Beberapa tahun selepas itu Fid datang ke rumah bersama suami dan anaknya! Terkejut aku! Tak sangka Fid masih ingat kepadaku! Selepas itu perhubungan kami terputus. Jenuh aku menjejaki Fid melalui kawan dan juga dalam FB! Tidak di sangka dua bulan lepas Fid muncul dalam FB grup sekolahku. Tak terkata gembira hatiku! Sekarang Fid dah jadi mutawif! Aku berharap dapat bertemu Fid satu hari nanti yang sudah ada beberapa orang cucu!
Semoga hubungan aku bersama Fid berkekalan hingga ke akhir hayat. Biarpun kami belum ada kesempatan bertemu, dari perbualan Fid dalam whatsapp aku dapat mengagak keletah Fid tidak berubah! Masih nakal dan lucu!
Tahun 1977 ketika itu ada konsert di sekolah kami. Salah seorang penyanyi undangan ialah Sudirman Hj Arshad. Sudirman ketika itu baru dikenali selepas menjuarai Bintang RTM 76! Ketika beliau menyanyi Fid naik ke pentas memberi bunga. Tiba-tiba Sudirman menarik Fid mengajak menari bersamanya. Kebetulan Fid memang pandai menari! Menjadilah... Rupa-rupanya cikgu Y (cikgu displin) memerhati dari bawah pentas. Sebaik Fid turun, cikgu Y terus memarahi Fid sehingga menangis. Sudirman perasan dari atas pentas lalu turun ke padang mohon maaf pada cikgu Y dan menerangkan keadaan sebenarnya! Aku dengar lepas tu Sudirman pujuk Fid dan belanja makan! Untungnya Fid!
* Al fatihah untuk Sudirman, penyanyi yang aku minati, seorang sensitif dan prihatin!
3 comments:
assalamualaikum....saya dah lama mengikuti blog nie....saya suka membaca kisah yang dipaparkan....dengan gambar hitam putih yang pasti mengamit banyak memori indah saya juga....
assalamualaikum...saya mmg selalu mengikuti tulisan dlm blog nie...mmg menarik..dengan gambar hitam putih tu..sememangnya mengamit banyak memori terutama pada saya juga....pada tahun 1977 tu saya baru masuk sekolah darjah satu....saya juga x bersetuju dgn dengan merotan anak boleh dijatuhkan hukuman....ibubapa dulu2 mengajar anak2 lain..saya juga pernah dilibas dgn tali pinggang dengan abah saya....alhamdulillah saya x pernah pun berdendam dgn abah saya...tapi ianya menjadi kenangan terindah dlm hidup saya kini...
Terima kasih Haslinda kerana sudi membaca blog saya yang tak seberapa menarik! Doakan saya agar dapat menulis kisah-kisah silam yang dekat di hati!
Post a Comment