Thursday, March 19, 2015

Indahnya Turki


Ukiran khat dan corak pada kubah Masjid Biru.


Aishah dan Kak Tila bergambar di depan Masjid Biru.
Persekitaran Masjid Biru. Dua menara tak ingat
namanya di bawa dari Mesir


Lagi persekitaran di Masjid Biru.

Di dalam muzium Hagia Sofia.

Persekitaran dan di depan gerbang Topkapi Palace (bawah).


Ada pokok sudah berbunga di depan hotel di Canakkale.

Aydin  - tour guide kami yang handsome jadi cikgu sekejap!

Di kota Troy bersama Troy Horse!


Asklepion  di Bergama


The Valens Aqueduct. Kami beruntung ia tidak jauh dari hotel merupakan fungsi utama saliran air  yang dibina di zaman Rom kemudian terus dipakai di zaman Byzantines dan Ottaman.
Assalamualaikum kepada pembacaku yang dikasihi semoga dirahmati Allah!

Seperti dijanjikan aku menyambung cerita perjalanan di Turki. Selepas sarapan kami berjalan sekitar Istanbul. Sungguh cantik biarpun cuaca mendung. Kami menyaksikan keindahan masjid Biru yang mempunyai enam menara! Masjid ini menjadi ikon negara Turki. Keindahan kubahnya dan binaannya sudah cukup aku tafsirkan mereka yang terlibat dalam binaan ini orang yang bijak, telus dan amanah. Tidak hairanlah binaan mereka terus gah hingga ke saat ini!

Peninggalan kerajaan Ottaman menghasilkan banyak masjid sejarah. Rekabentuk masjidnya sama dan itulah trademark masjid di Turki.  Kami  dibawa ke Topkapi Palace sebuah muzium di mana di dalamnya terdapat masjid, hospital, dapur dan macam-macam lagi. Tak terjalan aku nak melawat setiap sudut dan ruang. Semua sudut cantik kalau boleh semua sudut nak ambil gambar!

Selepas itu kami pergi melawat Hagia Sofia satu ketika dahulu sebuah gereja apabila kerajaan Ottaman berkuasa, Hagia Sofia dijadikan masjid. Namun kini dijadikan muzium. Ya kawan-kawan kalau nak maklumat dan info lebih lanjut silalah google sendiri ya! Tak larat nak ketuk panjang-panjang! Walaupun cuaca sejuk disertai hujan renyai-renyai sekejap berhenti sekejap turun pelancung tetap ramai. Itulah Turki segala-galanya indah!

Selepas separuh hari di sekitar Istanbul kami bertolak ke Canakkale mengambil masa tujuh jam perjalanan! Untuk sampai ke Canakkale bas kami terpaksa menaiki feri selama 45 minit merentasi laluan air Dardanelles. Tak jauh pun tertanya juga dalam hati kenapa tak buat jambatan sahaja? Sepanjang merentasi laluan air tiada kelihatan apa-apa kerana hari malam dan cuaca amat sejuk. Kami duduk dalam bas sahaja. Naik kematu punggung! Pukul 10.30 malam baru kami sampai di hotel. Aku tak tahu macam mana Aydin berunding dengan pihak hotel sediakan makan malam untuk kami kerana kelewatan. 

Perut dah lapar aku tak lengah terus makan. Ikan salai pilihanku. Makan ikan dah kenyang. Nasi dicampur sedikit bermacam-macam salad. Jangan tanya pasal rasa! Makanan sihat dan tidak berminyak. Perutku selalu pedih kerana banyak asid tapi di sini langsung tidak rasa pedih. Lupakan soal rasa ya! Yang penting kenyang dan bertenaga sebab esok kami akan terus berjalan.

Rupa-rupanya belakang hotel ini ada laut. Tapi cuaca sejuk pemandangan agak kurang menarik! Sempat juga aku membelek pokok zaitun tapi tiada buah. Sebelum menaiki bas ada juga sejenis pokok berbunga putih di depan hotel. Cuaca sejuk tapi tidaklah sampai  ke paras minus! Kami di bawa melawat kota Troy,  Bergama melihat Acropolis dan bandar Izmir. Aku dapat melihat Alexander the Great Castle di atas bukit!

Aydin tersenyum lebar sebab hari ini trip kami sampai ke hotel tepat waktunya. Pukul 10.30 malam aku dah tidur! Malangnya pukul 3.00 pagi aku dah sedar. Rasa dah puas sangat tidor. Tak sabar nak teruskan perjalanan selanjutnya!



BERSAMBUNG

Friday, March 6, 2015

Istanbul Aku Mari!


Bertemu Moershidah  keturunan Melayu 
Capetown ketika transit di Doha. Sama-sama 
menuju ke Istanbul bertemu anaknya yang 
bertugas sebagai sukarelawan Palestine! 
Beliau amat bangga mengaku keturunan 
Melayu biarpun sepatah 
perkataan Melayu dia tidak tahu!
Assalamualaikum pembaca yang dirindui semoga berada di bawah lindungan-Nya!

Alhamdulillah bersua semula biarpun aku agak sibuk,  tapi bila mood datang jangan diabaikan! Tunggu apa! Ketuklah cepat! Seperti dijanjikan aku nak sharing tentang percutian aku dengan pembaca! Sebenarnya aku malu... maklumlah orang lain dah serata negara  berjalan... aku baru terhegeh-hegeh nak tenguk negara orang!

Namun aku amat bersyukur, bukan semua orang dapat melancung ke negara orang biarpun duit berlambak-lambak! Ada orang suka simpan duit sehingga sayang untuk dibelanjakan biarpun untuk diri sendiri! Akhirnya duit ditinggalkan begitu sahaja tanpa dimanafaatkan. Yang seronoknya waris yang tinggal tidak perlu bersusah payah mengumpul duit! Silap haribulan tak sampai sebulan duit boleh habis sebab tidak merasa kepayahan untuk mencarinya! Itulah cebisan kisah kehidupan realiti bukan rekaan tapi kenyataan!

Aku belajar dari pengalaman. Biarpun gaji kecil aku masih mampu menikmati kehidupan dengan seadanya! Hidupku simple! Ramai orang bujang tinggal dengan keluarga pun tapi masih mengeluh tak cukup duit! Bila diimbas semula, dengan gaji kecilku aku membantu anak-anak saudaraku yang mana kehilangan ayahnya (abang dan kakak - ibu tunggal). Setiap bulan aku peruntukkan untuk mereka! Bila kurenungi semula bagai tidak percaya bagaimana gaji yang kecil dapat membantu mereka! Kini mereka sudah berkeluarga. Aku tidak pernah mengharap balasan cukuplah aku dihargai!

Dalam meniti usia senja, biarlah aku mengembirakan diri sendiri sementara Allah meminjamkan kesihatan yang baik. Tak perlu nak himpun duit berkepuk-kepuk dalam bank seolah-olah duit itu yang menjaga aku nanti. Jangan lupa semuanya dari Allah dan jangan putus minta pada-Nya. Ramai orang susah simpanan dalam bank pun tiada tiba masanya mati! Apa bezanya orang kaya ada berjuta-juta duit akhirnya mati juga. Rumah pun sama, saiz pun sama dan material pun sama! Oleh itu manafaatlah sebaik-baiknya kehidupan disamping ibadah kepada-Nya. Semoga kita dilindungi dan dirahmati-Nya!

Melalut pulak aku ni! Ya, sementara kaki boleh melangkah aku akan melihat dunia luar. Banyak perkara yang aku dapat belajar dari negara orang. Baru-baru ini aku pergi melancung ke Turki! Sebenarnya Turki bukan pilihan pertama!  Pilihan pertama aku adalah Eropah! Mungkin belum ada rezeki tiba-tiba trip ke Turki ada diskaun sehingga RM1000. Ketika itu aku berkira-kira nak pergi atau tidak sebab jatuh musim sejuk!  Trip 11 hari 9 malam rasa amat murah dan berbaloi dengan tawaran istimewa itu!

Semasa di airport baru aku tahu trip kami hanya 17 orang. Yang idealnya satu keluarga dari Sarawak, satu keluarga dari Sabah, sepasang suami isteri, ibu & anak dan aku dan partner dari Semenanjung! Agensi travel biasanya berlepas ke sesuatu destinasi kalau lebih 25 orang! Terima kasih pada big bos agensi tersebut kerana tidak mahu menghampakan kami. Oleh kerana kami tidak mencukupi 25 orang, grup kami tiada leader dari agensi tersebut. Tiada masalah dan rata-rata mereka ni kaki jalan! Di Turki nanti wakil travel menunggu!

Perjalanan selama 12 jam memang meletihkan termasuk transit di Doha. Di airport Istanbul sudah terasa kesejukannya ditambah hari malam dan hujan renyai-renyai. Setelah setengan jam menunggu wakil travel di Istanbul sampai! Hampir satu jam perjalanan ke hotel sebab traffic jam. Di dalam kesesakan beberapa susuk tubuh manusia berdiri di tengah-tengah jalan raya menjaja barang. Ya Allah sejuk tu! Aku di dalam bas terasa amat sejuk inikan berada di luar! Mungkin mereka sudah imun dengan kesejukan sambil memegang  air mineral, pisang dan bunga ros kebetulan keesokan hari Valentine! Semuanya tuntutan kehidupan! Ada yang selesa dan ada yang susah!

Sampai di hotel wakil dari agensi travel menunggu kami. Aydin adalah tour guide kami. Dia yang mengurus perjalanan, penginapan, pengangkutan dan makan. Handsome orangnya dan bermata hijau! Hi hi macam Shammi Kapoor masa muda! Rata-rata orang Turki bermata coklat! Selepas makan malam acara bebas! Pagi esok kami akan check out dan melawat sekitar Istanbul dan meneruskan perjalanan ke Canakale sejauh tujuh jam perjalanan. Selesai makan malam aku beranikan diri bersiar-siar di depan hotel, sejuknya! Ketika itu aku hanya memakai baju sejuk nipis sahaja. 

Rupa-rupanya ada sebuah masjid yang amat cantik dan besar bersimbah cahaya lampu jalan betul-betul seberang jalan di depan hotel! Aku mencari sudut yang cantik untuk mengambil view. Tiba-tiba kedengaran suara anak-anak dan perempuan tidak jauh dari aku berdiri. Ya Allah pengemis! Homeless! Mereka bersandar di dinding yang mana masih terasa hujan-hujan halus dan kesejukan hingga ketulang. Mereka memandang ke arahku  sambil mengangkat tangan seolah-olah mahukan sesuatu!

Klik! Klik! Cukuplah malam ni aku ambil gambar. Sejuk sangat! 10 minit sahaja bertahan. Aku tidak mampu memikirkan tentang  wanita dan anak-anak itu. Memang kasihan! Aku mesti rehat dan tidur. Lapan pagi esok mesti tunggu di lobi berserta beg kami!


BERSAMBUNG


Masjid cantik di depan hotel di mana aku menginap!


Bila ke negara orang paling aku suka
tenguk pokok! Cantik macam penyapu
!
Masjid cantik  pandangan dari roof top
hotel. Ketika itu cuaca agak mendung!









  

Saturday, February 28, 2015

Biduk lalu kiambang bertaut!





Assalamualaikum kepada pembacaku yang dirindui semoga sentiasa dirahmati Allah swt.

Sudah dua minggu blog ini sunyi dari sebarang catatanku. Maafkan aku kerana menikmati percutian di negara orang! Kerana percutian aku juga tidak dapat menyertai majlis istimewa yang julung kali diadakan di kampungku seperti diberiahu dalam posting sebelum ini!

Alhamdulillah! Majlis ini dihadiri lebih seribu orang. Mereka yang tinggal di utara hingga selatan tanah air sanggup menghadirkan diri semata-mata untuk bertemu sanak saudara, rakan taulan yang menjadi teman sepermainan ketika kecil setelah 40 tahun baru dapat bersua semula. Biarpun di Hari Raya, hari perkahwinan belum pasti dapat bertemu. Namun majlis ini menjadi titik tolak permulaan ikatan silatulrahim yang kian melonggar menjadi utuh semula!

Majlis ini turut dihadiri oleh guru al-quran kami biarpun dalam keadaan uzur! Bercucuran air mata guru kami setelah sekian lama tidak menjejak kampung dan masih mengingati nama anak-anak murid beliau! Majlis ini turut diseri kehadiran wakil rakyat dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek! Segala-galanya berlaku dengan pantas dengan bermula grup what's app. Di sinlah lahirnya ilham dan membuahkan hasil tidak sampai dua bulan perancangan!

Pelbagai acara diadakan. Memang meriah dan tak kurangnya ramai yang menangis kerana terlalu gembira. 'Olek godang' majlis julung kali ini turut mendapat tempat dalam Sinar Harian. Terima kasih kepada Sinar Harian. Kini kami dapat merasakan kemesraan dan jurang yang jauh semakin rapat. Pendek kata apa yang berlaku dalam grup kami, kami lebih peka dan pelbagai objektif sedang dirangka demi masa depan grup dan juga kampung kami yang dikasihi!

Insyaallah posting akan datang aku nak cerita tentang percutianku! Semoga Allah izinkan!

Thursday, February 12, 2015

'Olek Godang'




Assalamualaikum kepada pembaca yang aku kasihi semoga kalian dirahmati dan dimakmurkan rezeki.

Alhamdulillah kita bersua semula. Ehem... macam mana nak mula ni! Ilham oh ilham cepat-cepatlah datang!  Terlebih dahulu aku ingin jelaskan posting sebelum ini yang mana aku ada menyebut tentang ritual yang dibuat oleh penganut Hindu! Jujurnya aku tidak pernah memuji ritual mereka! Aku cuma menyebut ketaatan mereka kepada agamanya! Itu saja tidak ada maksud tersirat! Aku harap pembaca tidak salah faham! Maafkan aku kalau ada tulisan ini membuat pembaca tidak selesa!

Sebenarnya apa yang ingin aku sampaikan kepada pembaca iaitu pada hari minggu ini adalah sesuatu yang amat istimewa yang bakal berlaku kalau diizinkan Allah di Masjid Sungai Jelutong iaitu kampungku yang amat kucintai. Majlis besar yang dinama 'Olek  Godang' akan berlangsung dihadiri oleh semua penduduk kampung asal dan keturunan  tidak kira di mana berada. Perancangan ini berlaku  secara spontan. Ia bermula dari grup whats'up dengan 100 ahli yang semuanya berusia lebih 40 tahun dan yang paling tua berusia 66 tahun.

Grup whats'up pada awalnya diujudkan untuk jemputan perkahwinan oleh admin! Akhirnya di sini bermula pertemuan orang kampung yang sukar untuk bertemu biarpun di hari Raya dan majlis perkahwinan! Bila masing-masing berkeluarga dan tinggal di perantauan maka makin jauhlah hubungan antara satu sama lain! Nah! Sekarang kami dapat bersembang biarpun lebih 30 tahun tidak pernah mendengar khabar! Ada berita gembira dan ada berita sedih! Itulah hakikat kehidupan!

Namun majlis Olek Godang yang bakal berlangsung dan menjadi sejarah pada hari Ahad bersamaan 15 Februari tidak dapat aku hadiri kerana bercuti di negara orang! Itulah kalau rezeki tiada dalam mulut pun boleh terkeluar! Kami warga Kampung Sungai Jelutong menghitung hari bercampur baur perasaan seronok pun ada kerana akan bertemu sanak saudara dan kawan-kawan sepermainan dari kecil! Sama-sama mandi sungai, bergelumang lumpur sawah padi! Pendek kata nostalgia di alam kanak-kanak muncul kembali!

Tidak kurang perasaan cemas pun ada! Kami dari grup whats'up semua terlibat gotong-royong dari sembelih lembu, menebang sawit untuk dapatkan umbut, menyiang, meracik sehinggalah selesai memasak!  Perasan cemas ini semakin memuncak takut-takut nanti makanan tak cukup untuk di santap bersama. Biarpun majlis ini berjalan secara santai, kami bekerja kuat untuk mewar-warkan majlis ini melalui telefon, FB dan juga Radio Seremban.

Kampungku sudah lama sunyi kerana ramai tinggal di bandar! Yang tinggal hanya orang-orang tua. Dengan adanya julung-julung majlis ini, di harap banyak saranan dan objektif tercapai. Kami ingin lihat kampung kami hidup kembali! Semoga agenda majlis berjalan lancar seperti dirancangkan dan aku doakan semoga sukses!

Kepada mereka, anak-anak dan cucu-cucu yang berasal dari Sungai Jelutong yang berada seluruh Malaysia baliklah pada 15 Februari ini. Kami menanti kedatangan anda!










Tuesday, February 3, 2015

Tua... tapi masih menawan!

Assalamualaikum pembacaku yang budiman semoga kalian diberi kesihatan yang sihat dan sejahtera!

Hari ni cuti Thaipusam apa nak buat! Teringat kawan-kawan dan mood baik jangan ditangguh-tangguh takut ilham hilang nanti! Ahad lepas semasa aku melalui highway ke Seremban aku terkesima melihat beberapa orang berbaju kuning berjalan kaki dalam keadaan yang letih!

Barulah aku teringat mereka ni penganut Hindu, yang menjalani ritual kerohanian dengan berjalan kaki dari Seremban ke Kuala Lumpur menjelang Thaipusam! Ada di kalangan mereka wanita yang sudah tua! Matahari terpacak dan bahang panas dari lebuhraya langsung tidak mengugat ritual mereka! Ketaatan mereka untuk meningkat ketahap nirwana amat dipuji kerana setiap agama mengajar perkara yang baik!

Teringat aku ketika mengerjakan umrah pada musim panas pada tahun 2013. Mutawif membawa rombongan kami bertawaf pada jam 11 dan 1 tengahari! Mutawif cakap biar dapat rasa dalam pelbagai waktu! Namun ada di kalangan jemaah meroyan, merungut panas! Disuruhnya aku bercakap dengan mutawif agar ditukar waktu bertawaf. Pening kepala aku dibuatnya! Aku mampu menasihati supaya bersabar bertawaf bukan lama pun! Kita nak beribadat bukan bercuti! Maklumlah suhu ketika itu 48 ke 50 celcius. Terasa kaki bagaikan digigit kepanasan.

Sekali lagi waktu bersai, jemaah ini memilih bertawaf di tingkat 3 sebab ada kenderaan yang boleh dikawal sendiri! Tak sangka jemaah itu yang jauh lebih muda dari aku dan sihat tapi ambil jalan mudah! Bukannya panas pun semuanya beraircon! Sedangkan kenderaan itu untuk orang yang hilang upaya! Tapi bila bershoping sakan mereka tak pulak rasa letih! Kalau itu yang mereka nak Allah tunaikan! Menunai umrah adalah perkara berat kalau dilihat disudut ibadah tapi ringan bagi mereka yang hanya mengambil mudah dan mahu cepat selesai!

Oklah kawan lupakanlah soal itu! Kita mohon pada Allah agar didorong ketaatan pada-Nya dengan penuh keikhlasan! Kelmarin aku bertemu kawan-kawan sekolah semenjak meninggalkan bangku sekolah tahun 80 dan 82. Apa yang menarik pertemuan ini kerana ada di kalangan  kami sudah menjadi nenek! Hilaian ketawa kami bagaikan di bangku sekolah apatah pertemuan tanpa partner masing-masing!

Kalau pembaca ingat tentang posting aku 'Gunung berapi tidur' kisah cikgu Muniandi jatuh dari kerusi. Hah Hasnahlah punya kerja dan dibantu beberapa orang kawan! Hasnah menjawat penolong Ketua Pengawas dan murid yang pandai di zaman persekolahan! Siapa sangka Hasnah ni pergi menoreh getah membantu orang tuanya! Habis belajar di UM dan bekerja, Hasnah akhirnya berhenti kerana terpaksa menjaga ibu dan ibu mertuanya sakit selama 10 tahun! Tak sangka Hasnah seorang isteri yang kuat apatah suaminya juga ada penyakit kanser! Terasa jelas tapak tangannya yang kasar!

Yati pula macam lipas kudung. Memang superwoman. Menjalankan perniagaan sendiri! Dialah memasak untuk kami semua! Selesai makan nasi arab, dijamunya pula roti canai panas-panas! Pendek kata kalau suami pergi dulu pun tiada masalah baginya kerana beliau sangat independence! Semoga Allah beri kesihatan yang baik untuk Yati.

Malis pula tetap anggun dan mantap fizikalnya! Masih aktif dan perwatakan ceria! Tahniah juga pada Roy yang mampu mencomelkan dirinya seperti anak dara! Ingat tak pada Fid yang aku posting sebelum ini. Memang nenek vogue! Memang cantik! Kulit muka mulus macam usia 35 tahun! Patutlah abang aji gila padanya! Namun ada juga bersendirian dan tidak pernah berkahwin! Biar apa pun kisah disebalik senyuman dan hilai ketawa kami, alhamdulillah Allah telah pertemukan kami semoga pertemuan ini membawa ikatan silatulrahim hingga ke akhir hayat! Banyak perkara yang dapat aku pelajari dari pertemuan ini, ternyata Allah masih mengasihiku dan bersyukur pada-Nya!

Agak-agaknya yang mana Hasnah, Yati, Malis, Roy dan Fid! Kawan-kawan tekalah sendiri!



Monday, January 26, 2015

Fesyen apa ni?



Assalamualaikum pembacaku yang dikasihi semoga dimakmurkan rezeki dan kerahmatan dari-Nya!

Gamat rakyat Malaysia tiba-tiba disentap berita 'Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah'! Biar betul ni. Susahlah hati mak bapak lepas ni! Apa sebenarnya yang dimaksudkan rotan tu? Kalau merotan anak sampai separuh mati aku setuju sangatlah kerana ini sudah masuk kes dera. Tetapi sekadar dirotan dengan rotan halus dengan niat mengajar rasa tak salahkan!


Namun aku tidak terfikir Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan akta ini. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, pandangan ibu bapa dan ulama! Bagi aku kalau ibu bapa boleh menjadi ikon untuk anak-anak mereka insyaallah anak-anak tidak perlu dirotan memadai untuk tujuan mendidik seperti liat bersolat dan mengaji. Terpulang kepada ibu bapa masing-masing untuk mendidik anak. Aku tak boleh cakap lebih-lebih aku tak ada anak!


Aku teringat zaman kanak-kanak selalu kena rotan dengan mak aku. Mak aku memang garang. Tak cukup dengan rotan apa sahaja yang dapat dicapai habis singgah di badanku. Tapi percayalah mak mana tak sayangkan anak-anak! Mereka mewarisi seperti mana orang tua mereka mendidik! Ibu bapa sekarang dibekalkan ilmu keibubapaan secara langsung dan tidak langsung. Anak-anak pulak dari usia dua tahun sudah didedahkan mainan gadget dan internet. Cara merotan tidak praktikal lagi. Mereka lagi memberontak!


Di zaman persekolahanku ramai juga budak-budak nakal kena rotan. Ada dirotan di depan perhimpunan kerana melakukan kesalahan besar. Malu! Cikgu zaman dulu tak fikir soal malu! Tunggu sajalah hukuman kalau buat salah! Ternyata cabaran mendidik sentiasa diuji apatah anak-anak sekarang semakin bijak. Ibu bapa dan guru-guru jangan putus asa dan emosi ya! Sebab emosi itulah mencetus kesan negatif!


Bila cerita pasal sekolah teringat aku seorang kawan yang aku panggil Fid. Dia memang cantik, berwajah seksi, berambut ikal dan aktif bersukan! Kami jadi rapat bila bila Fid jatuh hati pada jejaka bernama K. K sepupu kepada kawan sekelas Fid bernama S. Kebetulan rumah S berdekatan dengan rumahku! Tidakku nafikan K seorang yang handsome, berbadan sasa dan tinggi. Aku amat mengenali K kerana dia juga ada pertalian persaudaraan denganku begitu juga S.


Teringat aku disatu malam ketika majlis perkahwinan kakak sepupu S berlangsung di rumah S. Fid tidur di rumah S. Wow cantiknya Fid! Berbaju kebaya sendat dan berkain batik. Rambut dilepaskan mengerbang. Malangnya tiada gambar untuk ku berkongsi bersama! Sempat aku melihat K melirik tajam kepada Fid yang betul-betul mantap malam itu! Namun aku tidak pasti kenapa perhubungan Fid dan K terputus di tengah jalan. Aku dengar Fid mengajak K berkahwin tapi K tidak bersedia sebab masih muda dan baru bekerja!


Aku bersama Fid ketika di tingkatan enam rendah tapi tidak lama! Fid berhenti sebab ibunya sakit. Kadang-kadang Fid ponteng sekolah sebab menjaga ibunya di hospital! Walaupun rumah Fid jauh dari sekolah, Fid tak mahu tinggal di asrama seperti aku. Alasannya nanti tak boleh dengar radio! Masa tu pun Fid tengah angau dengan K sudah pasti nak hantar surat cinta pun susah silap-silap kena tapis pulak!


Fid ni memang tegar dalam bab mengikat rambut. Getah rambut sentiasa ada dalam poket walaupun di arah mengikat atau bertocang. Itu peraturan sekolah! Zaman tu tak ramai lagi pakai tudung boleh dikira dengan jari! Pernah juga aku tersentuh rambut Fid cepat-cepat dia mengilas takut rambutnya kusut walhal memang kusut pun! Kalau naik bas, orang buka tingkap Fid tutup tingkap tak mahu rambut kusut! Puaslah orang di belakang kepanasan.


Setiap kali masuk kelas Fid jadi perhatian! Dahlah lambat sampai! Begnya pulak tergantung banyak keychain. Kelincing! Kelincing! Kelincing! Bunyi keychain berbuai-buai. Cikgu Salim melirik dengan mata sehingga kepalanya turut berpusing memerhati Fid. Ni fesyen apa pulak ni’ cikgu Salim memegang tocang Fid! Orang lain bertocang dua Fid bertocang sampai empat seronok sangat cikgu Salim memegangnya sememangnya dia suka mengenyam! Cikgu Salim ni tak silap aku menjadi ADUN beberapa penggal. Terlupa pulak aku tahun berapa?


Pernah satu hari Fid terlewat lagi disuruh berdiri di atas kerusi! Malunya Fid tak terkata, bukannya budak-budak didenda macam tu. Dah boleh kahwin dah! Itu semua membuatkan Fid semakin tak minat bersekolah! Memang Fid marah sangat pada cikgu Salim! Akhirnya Fid hilang begitu sahaja tanpa ucapan selamat tinggal kepada kami! Zaman tu mana ada handphone macam sekarang!


Beberapa tahun selepas itu Fid datang ke rumah bersama suami dan anaknya! Terkejut aku! Tak sangka Fid masih ingat kepadaku! Selepas itu perhubungan kami terputus. Jenuh aku menjejaki Fid melalui kawan dan juga dalam FB! Tidak di sangka dua bulan lepas Fid muncul dalam FB grup sekolahku. Tak terkata gembira hatiku! Sekarang Fid dah jadi mutawif! Aku berharap dapat bertemu Fid satu hari nanti yang sudah ada beberapa orang cucu!


Semoga hubungan aku bersama Fid berkekalan hingga ke akhir hayat. Biarpun kami belum ada kesempatan bertemu, dari perbualan Fid dalam whatsapp aku dapat mengagak keletah Fid tidak berubah! Masih nakal dan lucu!




Tahun 1977 ketika itu ada konsert di sekolah kami. Salah seorang penyanyi undangan ialah Sudirman Hj Arshad. Sudirman ketika itu baru dikenali selepas menjuarai Bintang RTM 76! Ketika beliau menyanyi Fid naik ke pentas memberi bunga. Tiba-tiba Sudirman menarik Fid mengajak menari bersamanya. Kebetulan Fid memang pandai menari! Menjadilah... Rupa-rupanya cikgu Y (cikgu displin) memerhati dari bawah pentas. Sebaik Fid turun, cikgu Y terus memarahi Fid sehingga menangis. Sudirman perasan dari atas pentas lalu turun ke padang mohon maaf pada cikgu Y dan menerangkan keadaan sebenarnya! Aku dengar lepas tu Sudirman pujuk Fid dan belanja makan! Untungnya Fid!

* Al fatihah untuk Sudirman, penyanyi yang aku minati, seorang sensitif dan prihatin!










Monday, January 19, 2015

Kasih-Mu jua yang kekalnya!

Assalamualaikum pembaca disayangi supaya sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt.

Sudah lebih dua minggu melangkah tahun 2015! Aku baru terhegeh-hegeh nak posting story baru. Entahlah, tiba-tiba mood makin hilang! Tak tahulah story apa nak tulih erkk! Kalau cerita pasal azam, rasanya tak payahlah buang karan aje. Dah tua-tua ni apa yang dimiliki sikit atau banyak aku bersyukur banyak-banyak! Allah masih mengasihiku memberi nikmat pinjaman yang tiada ternilai iaitu badan dan akal yang sihat! Lagi satu Allah menganugerah ruang masa yang cukup untukku! 

Jujurnya hidupku simple dan mudah. Bila dihalusi aku dikategori manusia yang beruntung tapi bukan untung wang harta! Ibuku meninggal ketika aku masih kanak-kanak. Aku tidak sempat berbuat dosa pada ibuku melainkan kenakalan dan kedegilan di zaman kanak-kanak! Ayahku pula pergi sebaik selepas menunai solat subuh di pagi Jumaat. Bayangkan kalau ayahku sakit terlantar terpaksa aku menjaga, manalah tahu aku merungut-rungut dah tentu dapat dosa!

Namun aku diuji menjaga abang sulongku sakit kuat selama tiga bulan. Keadaan sakitnya amat luarbiasa. Kakak iparku ketika itu sarat mengandung dan anak-anak masih kecil. Akulah banyak mengambil peranan kerana memerlukan tenaga fizikal untuk menggerakkan abangku yang tiada kudrat! Sepanjang aku menjaganya aku tidak tidur, aku hanya terlena sekejap diwaktu pagi.

Di hari perkahwinan Acu dan Makcu. Cantikkan Makcu!
Setiap jam abang memanggilku untuk membangunkan dia kerana badannya amat berbisa bila terbaring. Aku pernah menangis kerana terlalu letih namun aku tanya diriku sendiri, aku yang sihat boleh menangis inikan abangku yang menanggung kesakitan yang amat sangat setiap detik dan masa! Kejamnya kalau aku pentingkan diri sendiri! Setelah menanggung sekian lama kesakitan abangku pergi menghadap Illahi! Alhamdulillah aku terima anugerah dari-Mu dengan kesyukuran.

Pemergian abangku banyak perkara baru yang aku pelajari! Pengalaman demi pengalaman menjadi  aku semakin matang dan sabar! Tak tahulah tanpa anugerah dari-Mu  mungkin aku bukanlah aku sekarang!

Bulan Disember lepas aku berkesempatan menziarahi bapa saudaraku di Taiping! Bapa saudara yang aku panggil Acu satu-satunya berkahwin dengan gadis pujaan luar Negeri Sembilan. Orang Selama anak mami. Memang cantik pun! Mereka ada sepasang anak lelaki dan perempuan! Anak mereka sudah berkeluarga tinggal jauh di Utara dengan kehidupan sendiri. Kini tinggal Acu bersama isterinya, Makcu.

Acu sudah berusia 80 tahun seorang pesara pengawai polis dah sakit-sakit lutut tapi masih mampu bergerak ke sana-sini. Penglihatan dah semakin kelam! Membaca pun dah agak sukar biarpun pakai cermin mata! Manakala Makcu berusia 75 tahun. Sakit lutut kronik. Terpaksa menggunakkan tongkat kaki empat untuk bergerak! Namun masih mampu memandu kereta kalau ke masjid. Kalau nak tahu Acu tidak berani memandu kereta dari muda sampailah sekarang. Ketika kaki kuat dulu Acu selalu mengayuh basikal hingga ke bandar Taiping. Tapi semenjak lutut dah sakit tiada lagi aktiviti berbasikal!

Yang lucunya jiran-jiran heboh bercerita Acu penakut pada bini! Bini sedap-sedap naik kereta sisuami mengayuh basikal! Itulah mulut manusia pantang sahaja bila melihat sesuatu yang agak pelik mulalah mengadakan cerita sesedap mulut!

Hubungan keluarga kami sangat rapat dengan Acu bukan kerana dia bapa saudara sahaja. Ketika Acu bersekolah arwah bapakulah yang menjaga dan menanggung persekolahan Acu hingga bekerja. Bila kehidupan Acu sudah selesa, beliau tidak lokek memberi duit kepada abang-abangnya. Seingat aku, setiap bulan Acu mengirim duit kepada bapaku. Malah dia membiayai ibadah haji bapa dan pak ngah! Sungguh mulia hatinya. Malah beliau tidak berkira memberi duit poket kepada anak-anak saudara!

Acu sanggup hadir ke majlis perkahwinan biarpun yang kahwin hanya anak cucu saudara! Bagiku tidak datang pun tak mengapa kerana tak sanggup melihat Acu yang sakit lutut naik bas dan turun bas! Tapi Acu rasa seronok kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara! Acu suka berburak! Sekejap berburak dengan anak saudara ini, sekejap lagi dengan anak cucu saudara! Tak letih-letih Acu berburak. Kalau ikut hatinya semua sanak saudara nak ditemubualnya!

Aku amat faham naluri seorang tua yang kesunyian. Baginya bukan duit tapi perhatian dan kasih sayang yang menjadi dambaanya sekarang! Masakan tidak kehidupan mereka hanya berdua. Tak tahulah esok lusa siapa yang pergi dulu!

Ketika saat aku melangkah balik, hibanya rasa hatiku melihat Acu meneruskan kerja rutinnya menyiang ikan untuk kucing-kucingnya yang berbelas ekor. Makcu pula bergerak lemah dan terketar-ketar menghantar ke kereta! Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Biarpun sekejap kami di rumah Acu, Acu sangat gembira! Semoga Allah melindungi dan merahmati mereka. Aku berharap biarlah Allah menjemput mereka bersama dan tidak sakit  berpanjangan hingga menyusahkan anak cucu mereka!

Begitu juga diriku biarlah Allah menjemputku ketika akumasih mampu beribadah, bekerja dan masih disayangi. Hanya itu harapan paling tinggi kepada yang Maha Pencipta! Semoga harapanku dimakbulkan Allah swt.