Wednesday, April 1, 2015

Salji terus turun!


Di tangga ini Liza terjatuh!
Sekitar hotel. Di belakang ada rumah ala Flinstones...

Pigeon Valley. Di belakang itu rumah merpati tapi tidak nampak dengan jelas.

Di kilang karpet. Cantik tapi harganya....!


Di Avanos Village. Demonstrasi membuat pasu atau tembikar.
Klas! Gambar yang cantik tak ada pulak!

Gambar ni memang cantik. Othman dan Aydin...jurufotonya Mira kut!

Dalam Uchisar Castle. Rumahnya macam sarang anai-anai.

Ibrahim dan Aydin jadi jurufoto


Pasabagi Valley. Bentuk batu yang unik!

Assalamualaikum para pembaca yang masih sudi membaca blogku. Doaku agar kalian sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah swt.

Seperti biasa seawal jam 3 pagi aku sudah tersedar. Rasanya terlalu lama tidur. Entah berapa kali aku mengiring ke kiri ke kanan! Fikiranku menerawang entah ke mana! Lambat lagi subuh! Kalau di Istanbul boleh terdengar azan sebab banyak masjid di sekeliling. Teringat aku ketika baru sampai di Istanbul aku solat subuh pukul 5 pagi ikut itenari. Tiba-tiba pukul 5.30 baru azan subuh.  Ketika itu aku sudah terbaring manja di atas katil. Bingkas bangun semula solat subuh!

Aku paksa untuk tidur, tapi mata sudah segar bugar! Lambat lagi pukul 5.30. Akhirnya aku bangun dan ambil air sembahyang. Ingat-ingat nak duduk atas sejadah dulu! Terkejut aku bila terpandang disebalik langsir yang terselak sikit hari dah hampir siang! Ya Allah subuh nak habis! Aku terus solat subuh! "Aishah bangun cepat subuh nak habis ni "bingkas Aishah bangun berlari ke bilik air. Rupa-rupanya di Cappodocia cepat pulak siangnya biarpun di luar salji turun dengan lebatnya.

Ketika menuju ke restoran yang terpisah dari bangunan bilik hotel untuk breakfast, terasa sukar aku melangkah kerana salji menyelaputi lantai. Sejuk sangat sehingga air di kolam renang membeku! Aku terlihat dua ekor kucing berbulu tebal berlari-lari sekejap-kejap menuju ke arah aku! Macam dia tahu aje aku ni seorang pencinta haiwan! Kucing ni mesti sejuk dan lapar! Kasihannya! Keluar dari restoran aku terserempak balik dengan kucing tadi! Roti yang aku bawa untuk bekalan langsung beri pada kucing itu! Lahap sungguh kucing itu membaham roti kosong! Sudah rezekinya!

Sebelum melawat sekitar Cappodocia, ketika nak bergambar  di depan gerbang hotel, gedebukkk!! Aku terkejut rupa-rupanya Liza jatuh terduduk di atas tangga di belakangku! Ngeri betul jalan atas salji ni! Licin, berhati-hati ketika melangkah! Hentakkan tumit tu dulu kemudian baru melangkah! Aku mula membayangkan kalau aku terjatuh macam nangka busuklah!

Ketika di dalam bas, aku benar-benar cemas Ibrahim berkali-kali menekan pedal minyak tapi bas tidak boleh bergerak ke depan sebaliknya terus mengundur! Takutnya aku! Maklumlah hotel ni  terletak di atas bukit. Jalan raya licin diselaputi salji tebal. Tayar tidak boleh mencengkam! Tiba-tiba datang kenderaan penolak salji. Salji yang tebal segera di tolak ketepi! Huuh! Lapang dadaku! Baru bas boleh bergerak perlahan-lahan. Kalaulah aku memandu ketika itu pasti aku buntu dan keliru, tak tahu di mana garisan jalan raya sebenarnya sebab dimana-mana salji tebal! Tapi Ibrahim relaks dan tenang sahaja.

Sebaik sahaja sampai ke Pigeon Valley, aku berhati-hati memegang palang pintu bas sambil melangkah perlahan-lahan ke tangga bas tiba-tiba buuuuppp!! Sesaat sahaja, aku meluncur laju jatuh dan terduduk! Beberapa kawan aku cuba membantu, tapi aku cakap biar dulu sambil berselepot  di atas salji tebal! Aku hanya nampak tangan menghulur kearahku! Dalam keadaan bersusah payah bangun, aku memegang kuat tangan itu! Rupa-rupanya Ibrahim! Terima kasih Ibrahim kerana amat simpati dan caring.

Sebelah kiri badan hingga ke punggungku terasa sakit. Nasib baik juga aku pakai tiga lapis baju. Mood aku hilang serta-merta! Tambahan lagi pemandangan di Bird Valley semuanya putih. Walhal di sini kawasan lembah dan berbukit-bukit. Ekoran dari insiden tadi, Ibrahim memegang kami setiap  kali naik bas mahupun turun bas! Rupa-rupanya Razak dan Othman pun terjatuh tapi tidaklah seteruk aku gara-gara terpijak sisa salji di atas tangga bas!

Kami meneruskan perjalanan ke Uchisar Castle tapi aku dan Aishah duduk saja dalam bas. Aishah tak tahan sejuk. Asmanya datang lagi. Aku menggosok-gosok dan mengurut tangan dan dadanya. Aduhai Aishah cemas betul aku dibuatnya. Nasib baik ada coklat aku beri dia makan biar panas badannya! Setelah melawat Pasabagi Valley, Carpet Factory, Avanos Village dengan perjalanan yang amat berhati-hati kami selamat sampai ke hotel! Malam pun dah menjengah! Aishah terus masuk ke bilik, dah tak larat nak makan! Kasihan aku! Ada roti kembong yang masih panas digoreng aku bawa untuk Aishah! Sejuk ni perut mesti lapar giler!

Mengikut ramalan cuaca seperti tertera dalam itenari suhu minimum 4 celcius sahaja! Ini sudah melebihi negatif 7. Patutlah salji tebal, Turki di landa ribut salji! Di Istanbul pengangkutan awam, udara dan kapal dihenti operasi sementara! Ramai terkandas di airport! Aku mendapat tahu pesawat MAS dua kali cuba mendarat sebab kabut tebal! Alhamdulillah selamat!

Ternyata harapanku tidak tergapai di Cappodocia! Aku tidak dapat menikmati keindahan yang sebenarnya! Bila aku mengoogle Cappodocia, masyaAllah cantiknya! Inilah dikatakan tiada rezeki. Namun aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya rasa juga berguling-guling atas salji macam cerita Hindustan!


BERSAMBUNG


No comments: