Saturday, August 1, 2015

Warnailah kehidupan ini!

Assalamualaikum pembaca disayangi dan rasanya belum terlewat di bulan syawal ini aku memohon maaf kalau ada tersinggung, terasa apa ditulis di dalam blog ini.

Rasanya satu bulan aku tidak update blog ini. Ya Allah sibuknya dan kemalasan yang melampau! Bagaimana sambutan raya pembaca masing-masing. Setiap orang menyambut dengan cara berbeza yang penting kita dapat berkumpul dengan keluarga.

Alhamdulillah tahun ni keluarga aku dapat berkumpul semua. Syukur anugerah dari Allah! Nikmat kasih sayang jangan kita abaikan! Kalau rasa kecil hati atau berjauh hati jangan diikutkan perasaan hati! Yang penting jangan jemu bermohon pada Allah agar apa yang sulit dapat dimudahkan!

Aku pernah melalui liku ini, berdepan pelbagai krisis dalam famili! Bukan bermakna keluarga aku tidak baik! Tapi Allah bagi ujian itu untuk melihat sejauh mana kita mampu mengatasi  masalah dengan hati terbuka. Adakah kita ikut saja ibarat air sungai yang mengalir ada kalanya deras dan ada kalanya lesu! Di bulan syawal cerita sedih, cerita gembira melingkari dalam keluargaku. Namun itulah hakikat kehidupan! Kalau baik yang kita pilih, baik jua hasilnya!

Jangan jadikan hari raya itu hari percutian peribadi! Allah jadikan hari raya itu untuk kita bergembira setelah sebulan berpuasa di samping berkumpul bersama saudara. Namun tidak dinafikan ada orang mengambil mudah dan tidak mengumpamakan apa makna hariraya itu. Di kala bersama keluarga dipagi raya dan pulang dari masjid dan bermaafan ada juga yang tercongok di stesen keretapi di luar negara! Sepatutnya di kala itu telinga kita di belai syahdu dengan takbir memuji Allah! Tapi lebih sanggup melihat warga asing di negara asing mabuk-mabuk di depan mata sendiri!

Itulah hakikat sebenarnya. Mereka yang memilih kehidupan itu adakah jiwa akan tenang?
Aku memahami orang begini mengalami kekosongan jiwa! Tapi kenapa mesti jauh dari Allah! Ia tidak akan menyelesaikan masalah. Aku berharap mereka ini berubah dan kembali menerima hakikat kehidupan sebenarnya kita! Kita adalah hamba-Nya. Selagi tiada nilai-nilai kehambaan dalam jiwa, tidak lengkaplah kita yang mengakui Allah itu yang kita sembah!

Masalah itu adalah anugerah dan sangat manis rasanya kalau kita dapat menikmati gula yang tersembunyi di dalamnya! Carilah jangan cepat rasa kecewa dan putus asa! Letakkan target waktu, masa dan usia untuk kita berubah menjadi terbaik di sisi-Nya! Hanya Allah yang layak memberi merit kepada kita! Kalau itu pegangan kita, insyaallah kita tidak mudah rasa kecewa dan putus harapan!

Semoga hari-hari yang kita lalui itu dihiasai bebunga yang wangi dan berwarna-warni!




Sunday, June 28, 2015

Kalaulah usia masih muda....

Assalamualaikum pembaca disayangi semoga ceria dan menjalani ibadah puasa ke 10 hari. Pantasnya masa berlalu. Rasanya satu minggu macam tiga ke empat hari sahaja. Pelik bukan jam tetap berdetik macam biasa tapi masa semakin pantas sehingga kita tidak mampu mengejarnya!

Bagaimana mereka yang mempunyai kehidupan berkeluarga, sedangkan aku sendirian berhad pun tidak cukup masa! Jadi rancanglah masa dengan bijak dan ikutlah kemampuan diri! Aku respek pada mereka yang boleh buat dua ketiga pekerjaan dalam satu masa! Contohnya dalam Ramadan ni ada yang mampu buat biskut hingga ke pagi lepas tu bersiap nak pergi kerja pulak! Itu pengalaman dari ofismate akulah!

Terus teranglah aku tak mampu! Badan ku bukan macam 20 tahun yang lalu! Dulu kerja apa aku tak buat! Kerja kasar lelaki aku buat! Masa tu badan kuat dan lambat rasa letih! Tenaga macam lelaki! Sekarang kenalah akur, Allah sudah tarik nikmat itu perlahan-lahan! Sendi-sendi, urat-urat semua dah sakit! Pendek kata badan ni sekarang terlebih manja sehingga sendi makin mengetat!

Bila fikir persiapan hari raya mulalah aku rasa lemah! Nak buat biskut hii malasnya! Beli pulak mahal rasapun tak seberapa...buruk-buruk biskut aku pun rasa masih sedap. Oleh kerana diserang sindrom malas yang melampau, aku buat biskut tak perlu guna acuan! Lecehhhh! Semua jenis biskut aku gentel letak dalam cup! Selesaiiii! Bila sudah masuk dalam balang rupanya cantik berwarna warni lama-lama biskut tu semua terpisah dari cup! Haha habis juga! Memang orang macam aku tak layak buat kerja berlembut ni!

Maklumlah aku perangai kasar macam lelaki. Masa kecik-kecik kawan dengan budak lelaki pakai seluar pendek panjat pokok, terjun dari jambatan ke dalam sungai! Memang seronok! Bulan puasa pun merayau tak tahu letih.

Satu ketika di bulan puasa beberapa tahun yang lepas, aku balik kampung. Kakak aku ada bela kambing boer yang besar. Seekor kambing beratnya mencecah lebih 40 kg. Ada seekor tu dah lama monyok tak sihat. Asyik sayang saja sembelih pun tidak juga. Memandangkan kambing tu makin lemah akhirnya kakakku menyuruh jiran sembelih kambing itu!

Masalahnya siapa nak melapah ni. Kebetulan jiranku pun sibuk dan ada hal maklumlah nak raya. Mahu tak mahu aku dan kakaklah buat kerja lelaki ni! Parang pulak tumpul...aduh sabar ajelah! Masa mengantung saja jiranku bantu sebab berat! Lepas tu kerja melapah bermula! Aku ni sebenarnya seorang penyayang pada haiwan. Mudah kasihan! Mungkin berkat bulan puasa tu Allah beri aku kemampuan melawan perasaan itu! Selesai mengeluarkan segala isi perut kambing kerja menyiang pulak!

Yang kelakarnya kakak aku entah berapa kali berbaring atas tikar yang di bentang kerana sakit pinggang! Pendek kata 70 peratus kerja melapah dan menyiang tu akulah yang buat! Huissh letihnya ujian bulan puasa! Kalaulah dapat teguk air batu bandung waktu itu mahu satu jug besar pun boleh habis kerana hausnya!

Bila aku renung balik macamana aku boleh selesaikan kerja itu! Hakikatnya kerja kasar tu memang kesukaanku sebab itu yang aku mampu berbanding kerja-kerja lembut biarpun usiaku bukan muda lagi! Jadi dalam hidup ini tidak perlu kita mengikut orang! Kita buatlah sesuatu yang kita suka dan mampu kita buat. Allah jadikan hamba -Nya berbeza-beza!

Tidak hairanlah lepas kenduri atau hari raya kerja-kerja menyental periuk hitam masih aku yang lakukan! Biarpun badan sana-sini dah rasa sakit. Masa tulah sendi-sendi diguna sepenuhnya! Tenguklah raya tahun ni! Harap-harap tahun ni taklah kut!

Kambing boer kesayangan kakakku kini sudah tiada lagi. Habis dijual! (Gambar hiasan)








Sunday, June 21, 2015

Syukur seadanya kita!

Assalamualaikum pembacaku dikasihi semoga sentiasa dirahmati Allah swt dan selamat menjalani ibadah puasa. Aku juga ingin memohon maaf seandainya ada perkataan yang menyinggung perasaan pembaca dalam posting tanpa disedari atau sedar! Yang buruk datang dariku dan yang baik datang darinya.

Syukur alhamdulillah Allah mengizinkan aku bernafas di bulan Ramadan tahun ini. Tiada apa yang beza, apa yang aku harap ibadah puasa tahun ini lebih terbaik dari sebelumnya. Sudah bertahun-tahun kehadiran Ramadan, tidak ada apa yang mengembirakan hatiku melainkan syukur kepada-Nya. Usia sudah separuh abad bukan lagi memikirkan soal keseronokan menyambut Raya....tetapi semakin dekat pada kematian!

Ibuku meninggal di bulan Ramadan dua minggu menjelang Raya! Usianya ketika itu 49 tahun! Betapa bersyukur kepada-Nya kerana aku masih hidup melewati usia 49 tahun. Aku mesti merencana kehidupan kearah sana bukan lagi keseronokan. Ini bukan bermakna aku menolak dunia! Cuma aku harap bila aku seronok aku tidak cepat lupa pada-Nya.

Biarpun kehidupan aku tanpa suami dan anak-anak, aku gembira tidak pernah rasa sunyi kerana tinggal bersama keluarga adik yang rapat sejak kecil. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi adikku dan suaminya yang amat memahamiku! Jangan kita rasa kekurangan diri terimalah takdir Allah dengan redha! Jangan kita rasa lokek untuk berkongsi masalah dan kewangan dalam keluarga.

Hidup ini berputar! Jangan kita mementingkan diri sendiri bermusuh dengan darah daging dan saudara mara. Kalau berselisih faham, cepat-cepatlah selesaikan bukan disimpan atau berdendam. Bagiku tidak kira siapa yang bersalah, jangan ego tapi hulurkan kemaafan. Terpulang pada mereka terima atau tidak! Kalau Allah mengizinkan perkara yang baik segeralah kita lunaskan! Itu tanda Allah mengasihi kita. Jangan jadikan hati menjadi hitam kerana sifat pendendam, sombong dan tidak boleh ditegur.

Aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca kisah tentang jiran di sebelah rumah! Mereka dua beradik, setahu aku mereka tidak pernah berkahwin. Kakaknya seorang pesara penjawat awam. Adiknya seorang doktor  berpangkat tinggi di sebuah organisasi penyelidikan! Anggapanku mereka dari keluarga berada kerana memiliki kereta mewah! Namun kami kurang bertegur sapa berbanding jiran di depan rumah. Mereka tidaklah sombong, tapi karektor mereka membuatkan kami terbatas untuk mengenali lebih dekat!

Tahun lepas dibulan ramadan aku mendapat berita adiknya jatuh di tangga dan koma. Berita itu pun kami tahu dari jiran selang serumah. Kerap juga adikku telefon dan mesej pada kakaknya untuk mengetahui keadaan adiknya tapi tidak pernah berjawap! Kami simpati pada kakak itu kerana dialah menjaga adiknya hampir setahun di hospital. Hanya hari Jumaat kakaknya pulang kerumah sekejap. Kakak itu kelihatan kurus dan macam orang sakit! Hanya Allah sahaja tahu beratnya dia menanggung ujian! Kalau sebelum itu ketika adiknya sihat, kakaknya ada menemani siadik bertugas ke luarnegara. Kakak ni ada juga bersembang dengan bibik adikku!

Tanpa disangka beberapa hari bulan ramadan menjelma, sibibik ternampak kakak tu keluar dari kereta memandang kiri kanan dalam keadaan amat berhati-hati! Mungkin bibik perasan kakak itu tidak selesa lantas dia masuk ke dalam rumah...rupa-rupanya adiknya yang koma itu berada dalam kereta dan dibantu oleh seorang perempuan Filipina. Aku meninjau di tingkap ternampak adiknya duduk di kerusi roda. Sedihnya! Sukar aku nak cakap keadaannya! Samada siadik berterusan dalam keadaan begitu hanya Allah yang mengetahui. Semoga dia sihat dan pulih seperti biasa.

Si bibik ada bercerita ternampak kakak itu ketika memanaskan enjin kereta adiknya sambil menangis, memukul stering kereta! Kasihannya dia melepaskan perasaan sedih  dan segera menyapu air mata sebaik keluar dari kereta! Namun sehingga ke hari ini aku mahupun adikku masih belum pergi menziarahi. Bukannya tidak mahu tapi sikap kakak itu membataskan kami. Pernah suatu hari tergerak aku menegurnya ingin bertanya khabar adiknya ketika dia menyiram pokok bunga tapi lidahku kelu kerana dia langsung tidak memandang.

Biar apapun caranya, berat mata memandang berat bahu memikul. Mungkin kakak itu bahagia dengan caranya! Aku berdoa agar kakak itu terus sihat dan adiknya segera pulih seperti sedia kala. Namun perkongsian itu tidak salah sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung. Kisah kakak itu telah mengetuk hatiku, bersyukurlah apa yang kita ada! Dalam kelebihan ada kekurangannya! Dalam kesedihan kita, ada orang lagi sengsara hidupnya!

Semoga sikakak tabah dan adiknya pulih sepenuhnya.







Sunday, June 7, 2015

Mana cakpong?

Assalamualaikum pembaca-pembaca yang sudi membaca blogku yang suam-suam kuku semoga dirahmati Allah Taala.

Rasanya sudah lebih dua minggu aku tidak posting story kerana kesibukan kerja yang tak habis-habis ditambah pulak kenduri sana-sini. Aku cuba sedaya upaya update untuk pembaca dikasihi! Tiada kata yang mengembirakan pabila pembaca-pembaca sudi membaca blog aku! Terima kasih aku ucapkan!

Bila sebut kenduri kahwin...terbayanglah kesibukan tuan rumah membuat persediaan sehingga tidak cukup tidur, risau takut tak cukup bajet hii macam-macamlah difikir! Pokok pangkalnya duit! Banyak duit lebih mudah persediaan, kalau kurang duit kenalah banyak guna tenaga dan pengurusan yang bijak. Terserahlah kepada tuan rumah!

Minggu lepas berlangsung majlis perkahwinan  saudaraku kebetulan sebelah rumah sudah pasti kami menjadi orang penanggah. Tak bolehlah sekadar menghadiri diri makan dan balik! Tu namanya kurang adab dan tidak umpamakan saudara! Hidup ni mesti tolong menolong!

Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang. Oleh kerana keluarga pihak pengantin lelaki datang dari jauh (pantai timur) keluarga pengantin perempuan telah menyediakan tempat bermalam di pusat kokurikulum kebetulan majlis berlangsung di situ. Memang selesa apatah rombongan yang datang  itu seramai satu bas dan satu kereta!

Anak saudaraku, cikgu sekolah yang biasa mengurus anak-anak muridnya bermain muzik cak lempong untuk majlis perkahwinan telah diberi mandat untuk mengatur program ketika pengantin sampai dan bersanding. Sepanjang majlis berlangsung para tetamu dihiburkan bunyian muzik cak lempong. Memang meriah!

Saat ketika  rombongan pengantin  dari pantai timur melangkah ke majlis tersebut, adik pengantin perempuan memberi tahu tak perlu ada kompang mengiringi kepada anak saudaraku! Terkedu anak saudaraku walhal dia diamanah oleh mak pengantin menyusun program tersebut. Murid-muridnya sudah standby dengan kompang. Serba salah dibuatnya!

Maka berlangsunglah rombongan pengantin menuju ke majlis itu dengan senyap tanpa iringan alunan kompang! Sebaik pengantin duduk di atas pelamin, rombongan pengantin lelaki terus serbu bergambar sakan dan mengamit yang lain untuk bergambar! Sepatutnya ketika itu murid-murid sekolah mempersembahkan paluan cak lempong tapi pelamin penuh dengan rombongan tanpa rasa sensitif kerana ini majlis orang! Majlis cicah inai sepatutnya diadakan ketika itu langsung tiada gara-gara seronok sakan bergambar!

Kini barulah aku tahu, anak saudaraku mengadu, dia sangat ralat! Rancangan sudah diatur, boleh pulak rombongan pengantin lelaki nak berselawat semasa mengiringi pengantin! Bila anak murid-murid sudah mula berkompang boleh pulak seorang dari rombongan itu menunjuk isyarat tangan 'stop, stop'! Eehhh sedar ke ni majlis orang dan kau tu tetamu! Tanpa rasa bersalah, mereka pun berselawat tapi tetamu tidak dengar pun sebab mereka tak pakai mic.

Rupa-rupanya ada juga perangai manusia tak tahu adab ke majlis orang. Konon nak cari pahala nak tunjuk sangat Islamik tapi sedar tak apa hukum merosak majlis orang! Sedangkan tetamu dilayan dengan baik dan diberi kemudahan sebagai tetamu! Bukannya tidak biasa mengiringi pengantin dengan selawat Nabi! Kalau berhajat sangat nak berselawat beritahu awal-awal sebab pihak pengantin perempuan sudah menempah kompang dan itulah majlis perkahwinan sulong anak mereka! Insyallah kompang mengiringi pengantin, selepas itu rombongan pengantin lelaki boleh berselawat dengan mic dan semua tetamu berdiri bersama-sama berselawat! Bukan susah pun! Tapi nak merosakan majlis memang mudah!

Nak kata mereka muda tapi sudah berusia! Kadang-kadang kita lupa di mana kita berdiri! Islam itu mudah! Menghormati majlis adalah adab yang termasuk dalam ajaran Islam. Konon pahala hendak dicari tapi dosa yang dapat. Jadikan kejadian itu iktibar untuk kita semua! Bila tuan rumah menghargai tetamu, tetamu sepatutnya berterima kasih tapi sudah melawan tauke! Tepuk dada tanya iman!

MC tak sempat annouce mereka dah serbu atas pelamin bergambar sakan tanpa perdulikan
tetamu tuan rumah yang hadir!






Saturday, May 16, 2015

Namun ku punya hati!

Kekal hati yang hijau sehingga akhir hayat kita.....







Assalamualaikum pada pembaca yang disayangi semoga sihat disamping dapat beramal di sisi-Nya.


Alhamdulillah ketemu kita di alam maya! Maaf sudah lama aku tak posting kerana kesibukan tugas! Nak tulis apa errrk! Ilham-ilham datang kau segera! Hiii apa nak tulis ni! Kalau aku terus malas alamat blog ni terus jadi gajah mati...biarlah merangkak asalkan ada penyerinya!


Tiba-tiba aku teringat satu peristiwa sedih! Akulah menjadi saksi dalam peristiwa tersebut! Abu anak jiran berusia belasan tahun memang pelajar pandai dan aktif aktiviti sekolah. Namun kelebihan dia tidak pernah disanjung tinggi oleh ibu bapanya. Apa saja Abu buat terbaik ibu bapanya buat-buat tak nampak!


Ibubapa Abu lebih memberi tumpuan kepada abangnya, Lokman seorang oku yang cacat kaki dan tangannya sehingga sukar untuk makan dan bergerak sendiri. Ini membuat Abu menjadi bengang dan sakit hati. Sudahlah tidak pernah dipuji  disuruh pulak Abu memberi makan bila ibu tiada di rumah!


Hati Abu bertambah bosan dan marah! Maka terdengarlah bisikan syaitan agar membuat sesuatu kepada abangnya, yang sedang menganga mulut minta disuap! Biarpun Lokman insan cacat dan tidak boleh bercakap tapi akalnya normal! Hati Abu panas meluap-luap bila tenguk abang Lokman mengangga-nganga mulut macam anak burung! Nahhhh! Makan, makan lapar sangat ya! Tanpa rasa kasihan Abu menyumbat nasi kedalam mulut abangnya tanpa berhenti-henti! Belum habis mengunyah Abu suap lagi!


Lokman tercekik sampai naik buntang matanya! Tercekik ya! Minum air ni. Abu menyua air paip yang ditadah di dalam kole. Bila Lokman nak minum ditarik kole itu sambil ketawa mengekek-gekek! Sempat dua tiga teguk abang Lokman minum, Abu menyiram air ke atas kepala abangnya! Puas hati Abu meninggalkan abangnya yang menangis tersedu-sedu!


Perbuatan jahat Abu tidak pernah diketahui oleh ibu bapanya yang selama ini menaruh harapan boleh menjaga ketika mereka pergi ke ladang. Satu hari Abu buat hal lagi. Lagi sekali Abu ditugaskan memberi makan abang Lokman kerana ibu Abu membantu  jiran memasak kerana ada kenduri. Abang Lokman seperti biasa duduk di lantai sedia untuk disuap. Abu menyenduk luah kari kedalam baldi dan ditambah air paip sehingga setengah baldi.


Ambik kau! Kau mandi sekarang ya! Abu mencurah air bercampur kuah kari itu ke atas kepala abang Lokman. Abang Lokman menangis kepedihan sambil mengosok mata dengan tangannya yang bengkok itu! Abu bagaikan dirasuk hantu...dan terus mencelup air itu dan melumur pada muka abang Lokman! Abang Lokman terus meraung-raung!


Woiiii ni kerja kau ya Abu! Terkejut Abu tak sangka bapanya balik awal. Bapa Abu hilang sabar terus merembat Abu sampai separuh mati. Belum aku mati kau dah kerjakan abang kau! Macamana kalau aku dah mati nanti! Nah rasakan! Bukan setakat itu bapa Abu mengheret Abu ke halaman diikat pada pokok rambutan!


Ditinggal Abu hingga ke malam tiada siapa peduli. Abu kelaparan, sakit dan digigit nyamuk lagi. Timbul penyesalan di hati Abu. Tiba-tiba Abu ternampak pintu dapur berkuak perlahan-lahan, macam tidak percaya Abu melihat abang Lokman mengensot-gensot dan dimulutnya menjinjing air minuman di dalam plastik! Ya Allah kau ampun dosa aku. Mulianya hati abang Lokman! Bagaimana abang Lokman turun dari tangga dan mengisi air minuman ke dalam plastik!


Abang Lokman mendekati Abu, dan menyua bekas plastik kepada Abu. Tapi Abu tidak dapat mencapainya sebab tangannya terikat! Abu meraung menyesal malu pada dirinya sendiri. Baiknya hati abang Lokman biarpun selalu dihina oleh adiknya.


Airmataku meleleh entah berapa kali aku menyeka menyaksikan peristiwa tersebut! ....Pukkk! pukkk! Pukkk! Terkejut aku, rupa-rupanya Mardiah menepuk cermin kereta aku setelah 10 minit berada di dalam kereta dengan enjin kereta terpasang! Potong steam betul si Mardiah sambil mengesat air mata yang benar-benar menyentuh jiwaku setelah  kehilangan anak saudaraku lima bulan lepas.


Itulah rancangan kegemaranku Aku, Dia dan Lagu (Radio Klasik) berkumandang setiap jam 5.30 hingga 6.30 petang. Biasanya aku tidak sempat mendengar satu cerita sehingga habis! Cerita benar dikongsi dari pengirim yang pernah melalui peristiwa silam dengan cerita gembira, sedih dan lucu. Belum sempat habis cerita, aku dah sampai di depan rumah!


Selamat mendengar rancangan Aku, Dia dan Lagu.

Sunday, April 26, 2015

Tegarnya hatimu!

Alhamdulillah bertemu sekali lagi dengan pembacaku yang dikasihi semoga dipermudahkan segala urusan!

Rasanya lebih sebulan juga corat-coretku kisah percutian di Turki! Harap-harap lepas ni hasrat untuk pergi ke satu negara yang lama terpendam akan dimakbulkan Allah swt! Hanya masa dan ketika sahaja. Betullah berjalan ni ketagih dibuatnya! Kenalah cari extra money dan berjimat cermat!

Kali ini aku nak berkongsi dengan pembaca sekelian tentang hati! Yalah, aku ni sorang-sorangkan! Dah tua-tua ni nak fikir yang baik-baik saja! Sebenarnya aku rasa sedikit kesal tentang seorang kawan dan juga sepupuku biarlah aku namakan S berterus terang memutuskan silatulrahim denganku! Ini ekoran posting blogku bertajuk 'Antara lorong nostalgik dan kisah sebuah rumah' diposting pada bulan Ogos tahun 2014. Kisah itu ada menyebut tentang tuan tanah iaitu datuk kepada S dan juga moyang kepadaku!

Aku tidak mahu komen panjang hal ini. Baru-baru ini aku mesej sekali lagi bertanya khabar bila mendengar kau masuk hospital! Aku mengajak berbaik-baik semula! Lagi sekali aku memohon maaf! S sekarang mengalami krisis dalaman dengan keluarga dan juga sepupunya sendiri! Aku tahu tika ini jiwa S kusut dan gelisah apatah sudah berpisah dengan suami! Anak sulung pula berkahwin dengan suami orang yang ada firma guaman sendiri! 

Aku ingat bila perkara ni dah lama berlaku S akan sejuk! Aku tersilap! Aku dibalas perkataan seolah-olah tiada iman di dalam dirinya! Selama ini aku mengenali S seorang yang manis bertutur! Tenguk saja dalam FBnya ramai terpesona dengan perkataan hebat dan motivasinya! Seorang pemaaf ! Rupa-rupanya kau berhati serigala! Aku benar-benar tertipu! Pengalaman pahit kau diuji tuhan rupa-rupanya menjadi kau lebih tegar dan mulut kau amat berbisa!

Selama ini aku bersangka baik pada S rupa-rupanya tersilap! Aku masih belum cukup mengenali S! Artikel aku dijadikan alasan untuk menghukum aku. 'Tulisan kau, aku anggap pemutus silatulrahim dan hubungan darah aku dan kau! Itulah mesej dari dia! Teruk sangat ke artikel aku tu! Sedangkan kaum kerabatnya tidak kisah pun! Hebat sangatkah kau sehingga tidak boleh tersentuh sikit biarpun artikel itu berkisar tentang semangat ibuku yang melawan penyakitnya! 

Kebaikan aku dan perkongsian kisah sedih kau bersamaku langsung tidak dihargai! Siapalah aku! Aku tiada anak! Kau ada anak-anak yang cantik dan tampan yang boleh menjaga kau di masa depan! Kau menjatuhkan hukum atas kesilapan orang, tapi kau tidak menyedari bila anak saudaraku dan juga anak saudara sepupumu sendiri meninggal dunia! Apa kau kata? Jauh sekali nak ucapkan takziah....tapi kau semburkan kata-kata tidak sepatutnya pada orang yang menyampaikan berita tentang kematian itu!

S, aku ingat hati kau selembut baldu! Ya, aku sentiasa muhasabah diri dan buang egoku, mengaku kesilapan dan kelemahanku! Aku  mohon maaf padamu kerana aku tidak mahu diperkatakan cerita buruk tentang diriku bila aku mati kelak! Aku tiada daya untuk mengubahmu melainkan doa yang baik untuk mu! Semoga Allah beri petunjuk dan hidayah dan berubah sebelum jantung kau terhenti! Kau tahu bukan apa hukum memutus silatulrahim yang termaktub di dalam al-Quran. Berbaik-baiklahlah kau dengan abang kandungmu, sepupu-sepupumu dan orang keliling yang benar-benar mengenalimu!  


Tariklah perkataan yang kau lepaskan padaku. Aku takut ia menjadi ketulahan pada diri kau sendiri! Kalau kau benar-benar sayangkan arwah datukmu, buatlah terbaik bukan menyakitkan kerana arwah mengharapkan waris-waris yang hidup untuk menyambung kebajikan yang tidak sempat dilunaskan! Kau hanya hebat berbicara dengan ilmu tapi kau tidak pernah berbicara dengan hati! Semoga Allah ampunkan dosa kau dan renung-renunglah kataku dengan mata hatimu!

Jadikan hati kita umpama salji yang mencair di bawah panahan mentari
dan memudahkan setiap langkah kearah kebaikan!













Saturday, April 18, 2015

Istanbul aku akan datang lagi!

Assalamualaikum para pembaca yang sudi membaca blogku. Semoga kalian sentiasa diberkati rezeki dunia dan akhirat!

Sebaik aku melangkah keluar dari lif aku terpandang seorang lelaki kurus berambut hitam, berjanggut dan bermisai nipis. Aku dah dapat agak inilah si Ardan. Berbadan kurus, bermata coklat gelap dan wajah agak serius. Sebaik naik bas Ardan memberi salam. Bahasa Inggerisnya lebih fasih dan lancar! Bila memberi salam terasa seronok kami menjawabnya! Sebab Aydin tidak pernah memberi salam! Aydin ni syiah! Biasalah orang syiah memang susah nak beri salam!

Pagi ini kami akan melayari selat Bosphorus selama dua jam! Alhamdulillah hari ini panas! Suasana terang benderang. Wow! Memang cantik panorama sepanjang perjalanan selat ini yang memisahkan Asia dan Eropah! Selat ini dihubungi dengan dua jambatan antara Asia dan Eropah! Jambatannya macam Golden Bridge, San Francisco!

Biarpun panas, cuaca amat sejuk! Apa yang dapat aku lafazkan dikala itu betapa pengasih Dia meminjamkan keindahan-Nya kepada hamba-Nya. Kami turun naik, bersidai di tepi bot biarpun sejuk kerana tidak mahu terlepas menyaksikan pemandangan indah! Adakalanya aku bersendirian di tepi bot sambil melelapkan mata! Aku menyedut  nafas segar sedalam-dalamnya! Tiba-tiba satu perasaan hiba menerjah jiwaku... aku benar-benar dapat menghayati betapa Allah amat mengasihiku! Alhamdulillah aku dapat merasainya!

Banyaknya masjid indah dan bangunan cantik tinggalan sejarah! Turki kaya sejarah, kaya keindahan, orangnya cantik tampan tapi adakah jiwa mereka seperti keindahan Turki? Seperti diterangkan oleh Aydin, golongan muda ramai tersasar dari pegangan agama! Kehebatan Ottaman tidak akan berulang lagi! Tanpa Ottaman Turki tidak segah seperti sekarang. Allah memberi nikmat kepada rakyat Turki hasil perjuangan kerajaan Ottaman menegakkan Islam! Namun sejauhnya mana hamba-Nya menikmati rahsia anugerah dari Allah... hanya Dia sahaja yang tahu!

Melalut pulak aku! Kami pergi ke Spice Bazaar pula! Pelbagai rempah, manisan, kekacang, aneka teh, cenderahati dan bermacam-macam lagi ada jual di sini! Dalam masa sejam aku pastikan barang diperlukan saja aku beli. Memang menarik! Teringin juga nak beli rempah dan saffron. Tapi takut terperam sampai expired pula! Aku sekadar membeli karkade (rouselle kering), lokum, kekacang dan barang hiasan sebagai kenangan!

Selepas itu kami berkunjung ke Masjid Ayub Al-Ansari iaitu sahabat Rasulullah dan pernah menjadi panglima perang mengalahkan Constantinople. Makamnya ada di sini. Kami berkesempatan solat berjemaah. Sedia maklum ruang solat wanita  amat sempit. Sedangkan jemaah wanita ramai dan bersesak-sesak nak solat. Ada seorang wanita Turki baik hati memberi ruang untukku setelah sekian lama berdiri tersepit! Syukur pada-Nya! Aku menepuk-nepuk bahu wanita itu sambil tersenyum. Sebaik nak mulakan solat, seekor kucing gemok tidor betul-betul tempat aku bersujud! Buat dek aje! Tak takut langsung pada orang ramai! Mungkin dia nak cari tempat panas kut! Puas juga aku bersilat mengelak dari menghimpit dia! Bertuah punya kucing!

Di depan makam Ayub Al-Ansari ada punca air yang dikatakan suci. Kawasan berpagar ini tak nampak apa-apa sebab diselaputi salji. Aku lihat ramai orang Turki berdoa! Banyak juga kepercayaan dan bidaah di kalangan mereka! Lawatan terakhir kami ke Masjid Sulaimaniyyeh. Ketika Ardan briefing, beberapa anak-anak kecil mengelilingi kami minta duit! Aku bagi coklat tapi sebenarnya mereka mahukan duit! Aku lihat ibu-ibu mereka duduk tidak jauh sambil memerhati. Wajah mereka tidaklah seperti Turki mungkin Kurdistan!

Masjid Sulaimaniyyeh dibina pada abad ke 16 oleh arkitek Ottaman, Mimar Sinan. Di dalam masjid ini kemudahan seperti hospital, perpustakaan, madrasah, dapur dan ruang untuk orang miskin. Ardan walaupun agak garang tapi amat tertib di dalam masjid. Sambil duduk dia memberi keterangan panjang lebar ada kalanya aku lost sekejap! Cerita Ardan lagi, pakar khat sampai mata berdarah mengejar masa untuk menyiarkan lukisan khat yang menghiasi dome dan dinding! Dahsyatnya! Dari reka bentuk masjid hinggalah hiasan dalaman semuanya cantik dan indah! 

Inilah lawatan terakhir kami di Istanbul. Hatiku bercampur baur antara gembira, sedih dan rindu! Esok kami akan meninggalkan Istanbul, bumi Turki yang indah. Terus terang aku katakan trip ini sangat menghiburkan dan bertambah seronok lagi dapat mengenali kawan baru yang baik hati dan masing-masing ada kelebihan. 

Pada keluarga Sharkawi, Ronnie, Kak Tila, Kak Sarah, Azlina & Razak dan teman sebilik Aishah, aku sentiasa mengingatimu semua! Semoga perhubungan kami berkekalan dan terus menjadi teman travelling! 

Tidak lupa pada Aydin, Ibrahim dan Ardan! Namun Aydin dan Ibrahim selalu di hatiku! Mereka baik! Ibrahim walaupun tidak faham bahasa Inggeris tapi dia mampu berbual dengan kami macam itek dan ayam! Aku ingin pergi Turki lagi! Insyallah kalau Allah izinkan, Istanbul aku akan datang lagi!

Bangunan lama dan baru  menghiasi sepanjang selat Bosphorus
Manisan dan pandangan di pintu depan Spice Bazaar
Ardan ... di depan masjid Ayub Al Ansari
Mereka berdoa di depan tempat dikatakan air suci yang ujud di sini
Kenangan... bila dapat bersama lagi!
Bersama Ibrahim yang sentiasa tersenyum dan cool
Tak sangka pulak Aydin mahu berkongsi kisah peribadi!
Kak Tila lepas ni nak jalan ke mana pula?
Ronnie dan Aydin sampai terjatuh... ini mesti Ronnie teruja sangat!